-- Syarikat Vietnam pertama yang mengambil alih pengendali telekomunikasi aktif di luar negara, sebahagian strategi perluasan global Viettel.
PHNOM PENH, Kemboja, 8 April 2015 /PRNewswire/ -- Viettel (Cambodia) Pte. Ltd. (Metfone) mengumumkan ia telah mencapai persetujuan bagi pembelian aset dan lesen telekomunikasi Sotelco Ltd. (Beeline Cambodia) termasuk tetapi tidak terhad kepada lesen frekuensi 2G, 3G dan 4G. Perjanjian penting ini, iaitu kali pertama sebuah syarikat Vietnam mengambil alih pengendali telekomunikasi aktif di luar negara, merupakan sebahagian daripada strategi perluasan global yang dijalankan oleh syarikat itu.
"Pelaburan kami dalam Beeline Cambodia amat bersesuaian dengan visi global dan rancangan pertumbuhan kami, iaitu untuk menjadi syarikat telekomunikasi utama menjelang 2020. Kami sentiasa mencari lebih banyak peluang pelaburan bersama pengendali telekomunikasi di sebarang bahagian dunia dan kami telah menetapkan sasaran untuk melabur di 20 buah negara menjelang 2020," kata En. Tao Duc Thang, Pengarah Besar Viettel Global.
Dengan pembelian aset dan lesen telekomunikasi Beeline, perjanjian itu mengukuhkan kedudukan Viettel sebagai pengendali mudah alih utama di Kemboja, memegang 50% bahagian pasaran dan menjadi penyedia khidmat Internet terbesar merangkumi 96% daripada seluruh negara termasuk kawasan terpencil serta terasing. Pelanggan baharu dan sedia ada juga bakal memanfaatkan capaian serta kemampuan rangkaian cemerlang daripada Metfone.
Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaannya untuk Kemboja, Viettel akan berusaha untuk meningkatkan serta membangunkan infrastruktur telekomunikasi negara itu dengan penambahan perkhidmatan 4G dan 5G pada masa hadapan.
"Pengumuman hari ini merupakan pencapaian penting bagi kami, ketika kami berusaha meningkatkan ketersediaan dan kualiti rangkaian kami, serta meluaskan rangkaian produk dan juga perkhidmatan kami di Kemboja. Pelanggan dapat menjangkakan untuk menikmati kualiti dan liputan yang lebih baik, kelajuan lebih tinggi, perkhidmatan bernilai tambah serta akses kepada perkhidmatan 4G dalam masa terdekat. Kami akan terus membangunkan infrastruktur dan kemampuan kami di Kemboja untuk memberikan pengguna penyelesaian berteknologi maju, mampu milik serta andal," kata En. Thang.
Viettel telah melabur dalam 10 pasaran sepanjang 10 tahun lalu dengan hasil bernilai hampir AS$10 bilion pada 2014 dan kini menghubungkan lebih 260 juta orang di Amerika Selatan, Afrika dan Asia, termasuk Vietnam, Kemboja, Laos, Timor-Leste, Haiti, Mozambique, Peru serta Cameroon. Ia turut dijangka melancarkan perkhidmatan di Burundi dan Tanzania lewat tahun ini.
Maklumat lanjut di: Viettelglobal.vn