SHANGHAI, 11 Mei 2015 /PRNewswire/ -- Soventix Chile SpA dan JA Solar (Nasdaq: JASO) hari ini mengumumkan pembentukan usaha sama di Santiago de Chile yang akan membangunkan projek kuasa fotovoltan solar berskala besar di Chile.
Soventix GmbH semakin menumpukan usahanya untuk melaksanakan projek solar di luar Eropah, terutamanya di negara-negara yang menunjukkan potensi pasaran mantap ekoran daripada radiasi suria yang tinggi dan kos tenaga yang meningkat.
Amerika Latin menjadi tumpuan khusus kerana tuntutan tenaganya yang tinggi dan meningkat. Anak syarikat tempatan Soventix iaitu Soventix Chile SpA sedang membangunkan portfolio projek, yang kini berada dalam pelbagai peringkat pembangunan dan pelaksanaan, melibatkan perancangan akan datang sebanyak lebih 250 MW. Atas sebab pasaran yang serupa, JA Solar turut mengukuhkan kedudukannya di Amerika Latin.
Soventix dan JA Solar melihat kelebihan jelas untuk bekerjasama, yang mendorong pembentukan usaha sama ini. Bagi JA Solar, kolaborasi dengan syarikat pembangunan projek yang telah bertapak kukuh dapat membolehkan penembusan yang lebih cepat ke dalam pasaran baharu ini. Bagi Soventix pula, kerjasama dengan salah satu pengeluar modul utama industri dapat membantu menarik modal daripada pelabur-pelabur antarabangsa untuk projek-projeknya.
Usaha sama itu pada mulanya akan melibatkan kerjasama dalam projek-projek berjumlah 130 MW, kesemuanya menggunakan modul JA Solar.
"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pengeluar modul premium seperti JA Solar," kata Thomas Stetter, Ketua Pegawai Eksekutif Soventix Chile SpA. "Kehadiran pembekal modul yang mantap daripada segi teknikal dan ekonomi membolehkan kami bergerak dengan pantas ke peringkat kejuruteraan projek kami yang terperinci, selain mencapai kemajuan dalam meningkatkan modal."
"Satu elemen penting bagi strategi kemasukan pasaran kami adalah dengan menyertai pembangunan projek pada peringkat paling awal. Ini membolehkan kami mendapatkan perjanjian bekalan lebih awal, selain menjadi berpengaruh dalam pelaksanaan projek dan bukan hanya bertindak sebagai vendor," kata Jian Xie, Presiden JA Solar.
"Operasi di Chile ini mengesahkan komitmen kami terhadap pasaran Amerika Latin, memandangkan ia meneruskan projek-projek yang kami telah mula bangunkan di Mexico dan Panama," tambah Giovanni Landi, Pengurus Besar Pembangunan Projek di JA Solar.
Kedua-dua syarikat menjangkakan penyempurnaan projek-projek kolaboratif pertama pada 2015.
SUMBER JA Solar Holdings Co., Ltd.