omniture

Teknologi Honeywell yang Pertama Dapat Mengurus Risiko Keselamatan Siber Secara Proaktif untuk Tapak Perindustrian

Honeywell
2015-05-20 02:43 390

KUALA LUMPUR, Malaysia, 20 Mei 2015 /PRNewswire/ --

  • Pengurus Risiko Keselamatan Siber Honeywell Memberi Pengguna Perindustrian Kebolehlihatan Masa Sebenar
  • Honeywell Memanfaatkan Kelebihan Pengalaman Selama Lebih Sedekad dalam Membangunkan Perlindungan Siber Perindustrian
  • Dua Pertiga daripada Orang Dewasa yang Dikaji Selidik Menganggap Industri Minyak dan Gas, Bahan Kimia, dan Industri Kuasa sebagai Berisiko Tinggi

Honeywell (NYSE:HON) Process Solutions (HPS) melancarkan papan pemuka digital pertama yang direka bagi memantau, mengukur dan mengurus risiko keselamatan siber secara proaktif untuk sistem kawalan loji penapis, loji kuasa, dan tapak pengeluaran berautomasi lain di seluruh dunia yang sedang menghadapi peningkatan ancaman serangan siber.

Pengurus Risiko Keselamatan Siber Perindustrian Honeywell direka untuk meringkaskan tugas dalam mengenal pasti kawasan ancaman keselamatan siber, menyediakan kebolehlihatan masa sebenar, memahami, dan sokongan keputusan yang diperlukan untuk bertindak. Ia memantau dan menilai risiko keselamatan siber dalam persekitaran perindustrian berbilang vendor.

Ancaman serangan siber terhadap sasaran perindustrian merupakan kerisauan utama menurut kaji selidik sedunia tentang keselamatan siber yang dijalankan oleh Ipsos Public Affairs pada September 2014 bagi pihak Honeywell. Lebih 5,000 orang dewasa di 10 buah negara telah dikaji selidik tentang ancaman serangan siber ke atas industri kritikal dalam negara mereka. Tiga suku daripada responden berkata mereka bimbang penjenayah siber akan menggodam dan mengawal sektor utama serta unsur penting ekonomi. Dua pertiga daripada mereka yang dikaji selidik merasakan industri minyak dan gas, bahan kimia, serta kuasa terutamanya terdedah kepada serangan siber.

"Pemproses perindustrian sudah semakin tercabar untuk memahami risiko keselamatan siber mereka," kata Jeff Zindel, pemimpin perniagaan global Keselamatan Siber, HPS. "Sering kali, mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan data yang diberikan kepada mereka atau tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang insiden. Pengurus Risiko mengubah keadaan tersebut. Ia memberi panduan tentang impak ancaman dan kelemahan yang berpotensi serta penyelesaian yang mungkin boleh dilaksanakan, bagi memudahkan pengurusan risiko keselamatan siber."

Pengurus Risiko menggunakan teknologi canggih yang mentafsir penunjuk keselamatan siber yang kompleks kepada ukuran jelas serta penunjuk prestasi utama (KPI), dan juga menyediakan maklumat penting melalui antara muka yang mudah digunakan. Aliran kerja yang intuitif itu membenarkan pengguna mencipta amaran pemberitahuan risiko tersuai khusus serta melakukan analisis ancaman dan kelemahan yang terperinci agar mereka dapat memfokuskan pengurusan risiko yang paling penting bagi tujuan pengendalian loji yang andal.

"Kemudahan perindustrian kini semakin jelas menjadi sasaran serangan siber. Keselamatan dan kesinambungan operasi memerlukan pemahaman yang jelas tentang risiko yang serius dan dinamik ini serta satu program bagi memastikan ia kekal dalam paras yang boleh diterima. Sementara kebanyakan organisasi menyedari keperluan ini, kakitangan pengendalian sering tidak memiliki kepakaran yang diperlukan untuk menilai dan mengurus risiko siber dengan teratur," kata Sid Snitkin, naib presiden, ARC Advisory Group. "Dengan itu, kami memuji usaha Honeywell dalam membangunkan Pengurus Risiko Keselamatan Siber Perindustrian ini. Daripada apa yang kami lihat, ia merupakan penyelesaian yang menyeluruh namun masih boleh difahami yang seharusnya dapat memenuhi keperluan kakitangan IT operasi, automasi, dan pengeluaran."

"Dengan Pengurus Risiko, pelanggan perindustrian tidak perlu menjadi pakar keselamatan siber," kata Zindel. "Antara muka yang mudah digunakan itu membenarkan pengguna memberi keutamaan dan juga menumpukan usaha bagi mengurus risiko yang paling penting bagi operasi loji yang andal, melindungi daripada kelemahan dan ancaman seperti rangkaian serta konfigurasi sistem tidak kukuh, peranti liar, cubaan menceroboh, perisian hasad, dan banyak lagi."

Honeywell telah memasukkan perisian perlindungan siber milik mereka selama lebih 10 tahun dengan penyelesaian automasi proses terkemuka mereka termasuk kawalan proses Experion, yang digunakan di tapak perindustrian seperti di kilang penapisan, loji kimia, unit pemprosesan gas, loji kuasa, lombong, dan kincir di seluruh dunia. Ketika itu, kumpulan Keselamatan Siber Perindustrian Honeywell telah menyediakan lebih 1,000 projek keselamatan siber perindustrian di seluruh dunia.

Pengurus Risiko memantau aset loji dari dalam dan merentasi semua zon keselamatan sesebuah loji, termasuk sistem pihak ketiga. Dengan memahami zon keselamatan, Pengurus Risiko mematuhi ISA 62443 dan dapat menghitung skor risiko dengan tepat. Ukuran risiko masa sebenar Pengurus Risiko adalah sejajar dengan kaedah pengurusan risiko piawaian industri agar skor risiko itu boleh digunakan secara tekal dan tepat untuk seluruh usaha risiko serta pentadbiran sesebuah syarikat. Pengurus Risiko merupakan penambahan terkini kepada portfolio hujung ke hujung Honeywell yang terdiri daripada perkhidmatan profesional dan terurus untuk bidang perindustrian.

Untuk maklumat lanjut tentang penyelesaian keselamatan siber perindustrian Honeywell, lawati www.becybersecure.com

Latar Belakang Honeywell Process Solutions

Honeywell Process Solutions (www.honeywellprocess.com) merupakan perintis dalam kawalan automasi, instrumentasi dan perkhidmatan untuk industri minyak dan gas; penapisan; pulpa dan kertas; penjanaan kuasa perindustrian; bahan kimia dan petrokimia; bahan bakar bio; sains hayat; dan industri logam, mineral, serta perlombongan. Process Solutions merupakan sebahagian daripada kumpulan perniagaan strategik Bahan dan Teknologi untuk Prestasi Honeywell, yang turut melibatkan UOP, pembekal dan pelesen antarabangsa terkemuka bagi teknologi proses, pemangkin, penjerap, peralatan, dan khidmat rundingan untuk industri penapisan petroleum, petrokimia, serta pemprosesan gas.

Latar Belakang Honeywell

Honeywell (www.honeywell.com) merupakan peneraju teknologi dan pengeluaran berkepelbagaian Fortune 100, memberi khidmat kepada pelanggan seluruh dunia dengan produk dan perkhidmatan aeroangkasa; teknologi kawalan untuk bangunan, kediaman, dan industri; pengecas turbo; serta bahan prestasi. Bagi mendapatkan berita dan maklumat lanjut tentang Honeywell, sila lawati www.honeywellnow.com.

Kenyataan Perlindungan Keselamatan

Siaran ini mengandungi beberapa kenyataan yang mungkin boleh dianggap sebagai "kenyataan jangkaan" yang terkandung di dalam maksud Seksyen 21E Akta Bursa Sekuriti 1934. Semua kenyataan, selain daripada kenyataan dengan fakta sejarah, yang menyentuh tentang aktiviti, kejadian, atau perkembangan yang kami atau pihak pengurusan kami inginkan, menjangkakan, mengunjurkan,percaya, atau menduga akan atau mungkin akan berlaku pada masa depan adalah kenyataan jangkaan. Kenyataan sedemikian dibuat berdasarkan andaian dan penilaian tertentu yang dibuat oleh pihak pengurusan kami berdasarkan pengalaman dan tanggapan mereka tentang ikutan sejarah, keadaan ekonomi dan industri semasa, kemajuan masa depan yang dijangka, serta faktor lain yang mereka anggap bersesuaian. Kenyataan jangkaan yang terkandung di dalam siaran ini turut tertakluk kepada sebilangan risiko dan ketidakpastian yang besar, termasuk tetapi tidak terhad kepada faktor ekonomi, persaingan, pentadbiran, dan teknologi yang memberi kesan kepada operasi, pasaran, produk, perkhidmatan dan harga kami. Kenyataan jangkaan berikut bukan merupakan jaminan prestasi masa depan serta keputusan sebenar, kemajuan dan keputusan perniagaan mungkin berbeza daripada apa yang dibayangkan oleh kenyataan jangkaan tersebut. Kami mengenal pasti risiko dan ketidakpastian utama yang boleh memberi kesan kepada prestasi kami dalam Borang 10-K kami serta pemfailan lain yang dibuat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa.

Source: Honeywell
Related Stocks:
NYSE:HON
Related Links:
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics High Tech Security New products/services