omniture

Enterprise Holdings Bekerjasama dengan Al Jomaih Group untuk Memacu Pertumbuhan Sewaan Kereta di Teluk

Enterprise Holdings
2015-05-28 01:49 334

LONDON, 28 Mei 2015 /PRNewswire/ --

Enterprise Holdings hari ini mengumumkan perluasannya ke Kerajaan Arab Saudi dan Semenanjung Arab melalui satu kerjasama dengan Al Jomaih Group, salah satu perniagaan perindustrian dan pengguna terbesar negara itu.

Perniagaan sewaan kenderaan yang baru ditubuhkan itu, Al Jomaih Auto Rental (Ajar), akan membuka rangkaian cawangan di lokasi-lokasi lapangan terbang, bandar dan komuniti utama di Arab Saudi sepanjang tahun 2015. Syarikat tersebut, yang akan mengendalikan jenama-jenama Enterprise-Rent-A-Car, National Car Rental, Alamo Rent A Car dan Ajar, juga ingin mengadakan sub francais di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar) dan rantau Levant (Jordan dan Lubnan). Pelaburan itu akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu di seluruh rantau tersebut.

Al Jomaih Group, yang telah diasaskan pada tahun 1936 dan mempunyai lebih 7,000 orang kakitangan, merupakan perniagaan yang amat pelbagai dan dikenali sebagai peneraju dalam banyak sektor pengguna, komersial dan perindustrian di Arab Saudi. Melalui kerjasama yang dipilih dengan teliti bersama jenama-jenama terkenal dunia, seperti General Motors, Shell, Pepsi dan Yokohama, Al Jomaih Group telah mewujudkan kepentingan yang signifikan dalam beberapa sektor perniagaan termasuk automotif, minuman, pelincir, kelengkapan berat, hartanah, penjanaan kuasa, komunikasi, minyak & gas serta pelaburan. Anak syarikatnya, Al Jomaih Automotive, merupakan pengedar terbesar General Motors di Timur Tengah.

Ibrahim M. Abdulaziz Al Jomaih, Ketua Pegawai Eksekutif Al Jomaih Group, berkata: "Terdapat potensi hebat dalam menyatukan kekuatan dan komitmen syarikat sewa kereta terbesar dunia, Enterprise, dengan salah satu perniagaan terbesar dan paling berjaya di Arab Saudi."

"Al Jomaih Group telah berkembang melalui kerjasama dengan jenama-jenama global yang terkenal melalui inovasi, kualiti dan penjagaan pelanggan. Wawasan kami adalah untuk mewujudkan perniagaan sewa kereta yang hebat di Arab Saudi, rantau Teluk dan Levant dengan mengaplikasikan komitmen yang serupa terhadap perkhidmatan dan pengetahuan yang teliti untuk pasaran tempatan yang membolehkan kami berkembang maju dalam bidang-bidang lain."

"Seperti di bahagian lain di dunia, permintaan terhadap sewaan kereta fleksibel sedang berkembang pesat di Arab Saudi, Teluk dan Levant. Melalui kerjasama dengan Enterprise, kami menyasarkan untuk menjadi penyedia terbaik di rantau ini dari segi kepuasan pelanggan dan prestasi."

Peter A. Smith, naib presiden francais global di Enterprise Holdings, berkata: "Al Jomaih Group merupakan salah satu rakan francais kami yang terbesar dan paling pelbagai, dengan keluasan dan kedalaman pengalaman yang tiada bandingan di Arab Saudi serta merentasi Semenanjung Arab. Seperti Enterprise, ia merupakan sebuah perniagaan milik keluarga dengan minat yang tinggi terhadap perkhidmatan serta kualiti dan kami amat berbesar hati mengalu-alukan mereka sebagai rakan kerjasama untuk perniagaan global kami."

"Ini merupakan perjanjian yang amat signifikan untuk Enterprise Holdings. Dari perspektif strategik, ia merupakan rantau penting yang akan membentuk bahagian penting bagi rangkaian global kami. Oleh itu, amat penting untuk kami mencari syarikat yang tepat untuk menjalinkan kerjasama. Ini penting khususnya dalam pasaran yang pesat membangun seperti Arab Saudi, Teluk dan Levant yang melaluinya, amat penting untuk kami menemui rakan kerjasama yang mempunyai rekod terbukti dari segi penjagaan pelanggan yang hebat, serta keinginan yang tinggi terhadap pertumbuhan."

Enterprise Holdings kini mengendalikan jenama Enterprise Rent-A-Car, National Car Rental dan Alamo Rent A Car di seluruh Eropah serta Timur Tengah. Ini termasuk Albania, Austria, Belgium, Bosnia Herzegovina, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Ireland, Israel, Itali, Macedonia, Montenegro, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Romania, Serbia, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turki dan UK. Syarikat ini akan beroperasi di negara-negara tambahan di seluruh Eropah dan Timur Tengah beberapa bulan akan datang.

Di peringkat global, Enterprise Holdings beroperasi di lebih 70 buah negara dan wilayah.

Latar Belakang Enterprise Holdings

Enterprise Holdings - syarikat sewa kereta terbesar di dunia mengikut hasil, flit dan kakitangan - mengendalikan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 8,600 lokasi kejiranan dan lapangan terbang di bawah jenama Enterprise Rent-A-Car, National Car Rental dan Alamo Rent A Car. Selain itu, Enterprise Holdings dan sekutunya, Enterprise Fleet Management secara bersama menawarkan kemudahan pengangkutan penuh, termasuk khidmat sewa dan kongsi kereta yang luas, sewaan trak komersial, pengurusan flit korporat serta jualan kereta runcit. Apabila digabungkan, perniagaan ini menyumbang hasil sebanyak $17.8 bilion, menggajikan 83,000 orang kakitangan dan mengendalikan 1.5 juta kenderaan di seluruh dunia pada tahun fiskal 2014.

Enterprise Holdings kini tersenarai sebagai salah satu Syarikat Persendirian Terbesar Amerika. Selain itu, jika didagangkan secara awam, Enterprise Holdings akan tersenarai dalam senarai Fortune bagi 500 syarikat awam terbesar di Amerika. Enterprise Holdings, melalui anak-anak syarikat serantaunya, mengendalikan lebih 6,000 pejabat berkakitangan penuh di A.S. - hampir 70 peratus melebihi pesaing terdekatnya - semuanya terletak dalam jarak 15 batu daripada 90 peratus populasi A.S. Selain itu, Enterprise Holdings bukan sahaja membentuk bahagian pasaran lapangan terbang terbesar di A.S., tetapi flit sewaan domestiknya juga merupakan antara yang terbaharu dalam industri. Sekutu syarikat itu, Enterprise Fleet Management, menyediakan pengurusan flit khidmat penuh kepada syarikat-syarikat dan organisasi-organisasi dengan flit bersaiz sederhana. Lain-lain perkhidmatan pengangkutan yang dipasarkan di bawah jenama Enterprise termasuk Enterprise CarShare, Enterprise Rideshare, Enterprise Car Sales, Enterprise Truck Rental dan Zimride by Enterprise.

Untuk maklumat lanjut tentang Enterprise Holdings, lawati http://www.enterpriseholdings.com.

Sumber: Enterprise Holdings

Source: Enterprise Holdings
Keywords: Auto Transportation Travel Corporate Expansion Licensing/marketing agreements