Keamanan di Eropah capai tahap tertinggi dalam sejarah
Timur Tengah semakin terjebak dalam keganasan
LONDON, 17 Jun 2015/PRNewswire/ -- Ketidaktenteraman awam yang memuncak dan krisis pelarian yang menyusul telah menjadi antara pendorong utama dalam peningkatan kos mengawal keganasan global, menurut Global Peace Index 2015 (GPI) yang diterbitkan hari ini oleh kumpulan pemikir global, Institut Ekonomi dan Keamanan.
Sejak tahun 2008 kesan ekonomi keseluruhan terhadap keganasan telah meningkat sebanyak AS$1.9 trilion (+15.3%). Kesan ekonomi pelarian dan IDP sahaja telah meningkat sebanyak 267% sejak tahun 2008, dan kini berjumlah AS$128 bilion. Walau bagaimanapun, perbelanjaan ketenteraan, pembunuhan dan angkatan polis kekal sebagai kategori paling mahal, secara kolektif membentuk 68.3% daripada kos keseluruhan.
Steve Killelea, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif IEP berkata, "Pengurangan konflik merupakan bahagian penting dalam memastikan pemulihan ekonomi dunia yang berterusan. Jika keganasan global menurun sebanyak 10% secara sekata, tambahan sebanyak AS$1.43 trilion akan ditambah kepada ekonomi dunia. Ini berjumlah lebih enam kali ganda nilai keseluruhan jaminan dan pinjaman Greece daripada IMF, ECB dan negara Eurozone lain digabungkan."
Secara keseluruhan, tahap keamanan global kekal stabil pada tahun 2014; tetapi lebih rendah berbanding pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, skor keseluruhan menyembunyikan jurang yang bertambah antara negara yang paling aman dan paling tidak aman. Sejak tahun lalu, 81 buah negara meningkatkan tahap keamanan mereka sementara 78 buah negara terus merosot.
Banyak negara Eropah kini mengalami tahap keamanan yang tertinggi dengan kadar pembunuhan menurun, belanjawan ketenteraan berkurangan serta pengunduran tentera dari Iraq dan Afghanistan. Sebaliknya, negara-negara yang secara tradisinya berada di tangga terbawah indeks seperti Iraq, Syria, Nigeria, Sudan Selatan dan Republik Afrika Tengah semuanya menjadi semakin kurang aman. Libya menyaksikan kemerosotan keamanan paling buruk tahun ini – menurun ke tangga ke-149 daripada 162 buah negara. Ukraine, yang mengalami lebih 6,000 kematian akibat daripada konflik dan mempunyai lebih 1 juta orang kehilangan tempat tinggal, mencatatkan kejatuhan kedua tertinggi.
Empat buah rantau - Eropah, Amerika Utara, Afrika Sub-Sahara, dan Amerika Tengah serta Carribean - mengalami peningkatan dalam keamanan sejak tahun lalu. Pergolakan puak dan konflik awam terus mengurangkan tahap keamanan di MENA, menyebabkan skornya yang terendah pernah dicatatkan, sementara Amerika Selatan juga menyaksikan kemerosotan dalam skornya didorong terutamanya oleh peningkatan dalam pemberontakan popular dan peningkatan dalam tanggapan jenayah.
Di sebalik peningkatan berterusan dalam keamanan di kebanyakan negara, bilangan dan keseriusan konflik bersenjata telah meningkat secara dramatik dengan peningkatan sebanyak 267% dalam jumlah kematian akibat konflik sejak tahun 2010, mewujudkan tahap pelarian yang terbanyak setakat ini. Anggaran terkini daripada UNHCR mencadangkan bahawa pelarian dan IDP membentuk kira-kira 0.75% daripada populasi dunia semasa, iaitu lebih 50 juta orang. Peningkatan sebanyak 131% dalam tempoh kurang sedekad ini bukan sahaja didorong oleh konflik dalam rantau MENA, tetapi juga oleh konflik yang berterusan di Republik Demokratik Congo serta Colombia dengan 23% dan 13% IDP mengikut negara asal pada tahun 2013.
Pada tahun 2014, 69 buah negara mencatatkan kematian daripada aktiviti pengganas, meningkat daripada 60 pada tahun sebelumnya, memperlihatkan peningkatan penggunaan taktik keganasan. Peningkatan aktiviti pengganas bertambah dari MENA ke Afrika Sub-Sahara dengan peningkatan terbanyak dicatat di Nigeria, Cameroon dan Niger. Nigeria kini merupakan negara kedua paling berbahaya akibat daripada keganasan selepas Iraq, mengalami peningkatan kematian sebanyak 140% kepada 4,392. Jirannya Cameroon mencatatkan 191 kematian pada tahun 2014 berbanding tiada kematian pada tahun sebelumnya. Kurang daripada 1% kematian pengganas pada tahun 2014 berlaku di OECD. Pembunuhan beramai-ramai oleh Boko Haram melibatkan lebih 2000 orang awam di Baga, Nigeria pada Januari 2015 merupakan insiden pengganas paling dahsyat sejak 9/11, kejadian yang dibayangi pembunuhan 11 wartawan di akhbar Perancis Charlie Hebdo pada bulan berikutnya.
Steve Killelea berkata, "Tahun 2014 menunjukkan dua trend berlawanan: di satu sisi, banyak negara di OECD mencapai tahap keamanan yang tinggi sementara di sisi lain pula, negara yang dilanda pergolakan, terutamanya di Timur Tengah, menjadi lebih ganas. Ini amat membimbangkan; apabila konflik ini menjadi semakin tidak terkawal, ia kemudian merebak ke negara-negara lain."
Satu tema biasa dalam negara yang mengalami peningkatan terbesar tahun ini adalah penurunan tahap konflik luar yang terancang atau peperangan dengan negara jiran, dengan Afrika menerima manfaat daripada trend ini; Guinea-Bissau, Cote d'Ivoire, Mesir dan Benin menduduki tangga tertinggi dalam kalangan negara yang menunjukkan peningkatan. Eropah turut menyaksikan penurunan bagi angka kematian akibat daripada konflik luar terancang.
SOROTAN SERANTAU
Eropah kekal sebagai rantau geografi paling aman di dunia, menduduki tiga kedudukan teratas dalam GPI. Keamanannya telah meningkat setiap tahun bagi tempoh empat tahun lalu. Iceland menduduki tangga pertama. Greece mencatat peningkatan terbesar, meningkat 22 anak tangga. UK meningkat 8 anak tangga setelah keluar dari Afghanistan.
Skor Amerika Utara meningkat sedikit. Ini sebahagian besarnya kerana AS meningkat dua anak tangga ekoran skor yang lebih baik dari segi bilangan, tempoh dan peranan dalam konflik luar apabila ia mengurangkan kehadiran di Afghanistan serta Iraq.
Asia Pasifik berada di kedudukan ketiga di belakang Eropah dan Amerika Utara dalam GPI. Walaubagaimanapun, ia mengandungi kepelbagaian skor terbesar dalam mana-mana rantau dengan tiga buah negara berada dalam kedudukan 10 terbaik dan satu negara, Korea Utara, dalam sepuluh terbawah. Laut China Selatan kekal sebagai kawasan berpotensi untuk tercetusnya konflik, dengan negara-negara terlibat dalam perbalahan menunjukkan kemerosotan skor.
Skor serantau Amerika Selatan merosot dan kini berada di bawah purata global. Sesetengah negara Amerika Selatan telah meningkat: Peru mempunyai peningkatan terbesar ekoran pengurangan bilangan kematian daripada konflik dalaman terancang; Chile mengalami peningkatan berikutan skor lebih baik untuk pemindahan senjata manakala skala keganasan politik Ecuador telah bertambah baik selain jumlah dan tempoh konflik dalaman. Skor telah menurun untuk semua negara lain di Amerika Selatan, dengan kemerosotan paling jelas dilihat di Uruguay, Venezuela dan Brazil.
Amerika Tengah dan Caribbean meningkatkan skornya sedikit, walau bagaimanapun ia tetap kurang aman berbanding purata global. Costa Rica dan Jamaica telah mengalami peningkatan paling kukuh. Costa Rica menyaksikan peningkatan dalam skornya untuk pembunuhan, sementara peningkatan Jamaica berpunca daripada pengurangan keterhutangannya terhadap misi pengaman PBB. Negara-negara yang mengalami kemerosotan skor paling besar ialah El Salvador, disebabkan oleh peningkatan dalam Skala Keganasan Politik dan Nicaragua ekoran peningkatan jenayah keganasan.
Skor Afrika Sub-Sahara meningkat pada tahun 2015, meletakkannya lebih ke hadapan berbanding Rusia dan Eurasia, Asia Selatan, serta MENA. Peningkatan keseluruhan ini menyembunyikan variasi besar prestasi negara; negara-negara Sub-Sahara mencatatkan antara perubahan skor paling mendadak, secara positif dan negatif. Guinea-Bissau dan Cote d'Ivoire mencatatkan peningkatan skor terbesar di seluruh dunia sementara kedudukan Djibouti menurun 42 tempat, mencerminkan insiden yang meningkat dalam ketidakstabilan sosial, jenayah serta penentangan terhadap pemerintahan autoritarian kerajaan.
Rusia dan Eurasia mencatatkan sedikit penurunan dalam skor keseluruhannya tahun ini, sementara kedudukannya dalam kedudukan mengikut rantau tidak berubah. Terdapat variasi signifikan antara negara; Ukraine mencatatkan satu daripada kejatuhan terbesar tahun ini akibat skor agregatnya untuk keamanan dalaman.
Kedudukan Asia Selatan meningkat satu tempat dalam kedudukan serantau setelah berada di bawah pada tahun 2014, tetapi hanya kerana keadaan menjadi lebih buruk pada kadar lebih pantas di MENA. Secara keseluruhan, skor kebanyakan negara di rantau ini semakin teruk, dengan hanya Bhutan, Nepal dan Bangladesh mencatatkan peningkatan.
MENA terus diselubungi oleh konflik dan mencatatkan skor serantau terburuk dalam GPI. Skor ini merosot daripada indeks tahun lalu, ketika peningkatan kecil terutamanya di Mesir dan Tunisia telah dibelakangkan oleh skor merosot terutamanya di Libya, Yemen, Iraq serta Syria.
Untuk maklumat lanjut, sila ke http://bit.ly/GPIreport.
NOTA UNTUK EDITOR
Laporan GPI, video, dan peta interaktif disediakan di: http://www.visionofhumanity.org
Twitter: https://twitter.com/GlobPeaceIndex (#peaceindex)
Facebook: http://www.facebook.com/globalpeaceindex
Latar Belakang Global Peace Index (GPI)
GPI merupakan ukuran utama dunia bagi keamanan global yang dihasilkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP). Ia mengukur konflik domestik dan antarabangsa yang sedang berlangsung, keselamatan dan sekuriti dalam masyarakat, serta ketenteraan di 162 buah negara dengan mengambil kira 23 petunjuk.
Latar Belakang Institut Ekonomi dan Keamanan
IEP merupakan sebuah kumpulan pemikir bebas bertaraf antarabangsa yang berdedikasi dalam mengubah fokus dunia kepada keamanan sebagai ukuran positif, dapat dicapai, dan dapat dirasai bagi kesejahteraan dan kemajuan manusia.
Sumber: Institute for Economics and Peace