LONDON, 18 Jun 2015 /PRNewswire/ --
-- Dua pembentangan lisan tentang data Daftar GARFIELD-AF akan memberi pemahaman kehidupan sebenar bagi impak profil risiko pesakit serta kawalan antipenggumpalan yang rendah terhadap pencegahan angin ahmar dalam AF --
Analisis baharu daripada Daftar Antipenggumpalan Global dalam Lapangan – Pemfibrilan Atrium (GARFIELD-AF) akan dibentangkan semasa Kongres XXV bagi Persatuan Trombosis dan Hemostatis Antarabangsa (ISTH) di Toronto, Kanada, 20-25 Jun 2015. Dua pembentangan GARFIELD itu akan turut memuatkan data kehidupan sebenar bagi pencegahan angin ahmar daripada hampir 17,200 orang pesakit, memberi pakar perubatan maklumat lanjut tentang bagaimana profil risiko pesakit dan kualiti kawalan antagonis vitamin K dikaitkan dengan kadar kematian serta angin ahmar yang meningkat dalam pesakit yang baru didiagnosis dengan AF.
Pembentangan lisan GARFIELD-AF semasa ISTH 2015 akan merangkumi:
Profil risiko dan keputusan selepas 1 tahun bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan pemfibrilan atrium: Keputusan daripada GARFIELD-AF (Abstrak OR119)
Kejadian angin ahmar/embolisme sistemik, kematian, dan pendarahan teruk setahun selepas diagnosis baharu bagi AF bukan injap telah dianalisis berdasarkan ciri garis dasar pesakit serta terapi antitrombosis yang disediakan semasa diagnosis.
Kualiti kawalan antagonis vitamin K dan keputusan selepas satu tahun: Perspektif global daripada Daftar GARFIELD-AF (Abstrak OR096)
Kajian itu menganalisis masa dalam julat terapeutik (TTR) serta nisbah ternormal antarabangsa optimum (iaitu julat INR 2.0-3.0) dalam kalangan pesakit dengan AF bukan injap yang baru didiagnosis berhubung dengan demografi, tempat penjagaan dan keputusan selepas satu tahun.
Daftar GARFIELD-AF akan mempertingkatkan keluasan dan kedalaman pemahaman terhadap pencegahan angin ahmar dalam AF, dan akhirnya ia akan membantu membangunkan strategi bagi tujuan memperbaiki hasil keputusan pesakit seluruh dunia.
Data garis dasar daripada GARFIELD-AF (kini boleh didapati untuk 31,666 pesakit) menunjukkan, buat masa kini, pengurusan ramai pesakit yang baru didiagnosis adalah tidak sejajar dengan garis panduan berasaskan bukti, dengan pesakit menerima rawatan antipenggumpalan yang tidak sesuai ataupun tidak cukup dirawat dengan antipenggumpalan, walaupun dengan terdapat peningkatan ketersediaan ubat makan antipenggumpalan antagonis bukan vitamin K (NOAC). Impak strategi pengurusan yang kurang optimum ini ke atas hasil keputusan yang ditunjukkan dalam pembentangan GARFIELD-AF semasa ISTH menimbulkan kebimbangan berterusan.
GARFIELD-AF merupakan inisiatif penyelidikan akademik bebas, yang diketuai oleh jawatankuasa pandu antarabangsa yang bernaung di bawah Institut Penyelidikan Trombosis (TRI), London, UK. Sehingga ke hari ini, GARFIELD-AF telah merekrut lebih 40,000 pesakit yang baru didiagnosis dengan AF di 35 buah negara, menjadikannya salah satu kajian pemerhatian terbesar dalam bidang terapeutik ini. Dengan pengambilan pesakit bagi Kohort 5 yang bakal dimulakan, Daftar itu bakal mengambil sehingga 57,000 orang pesakit.
Latar Belakang Daftar GARFIELD-AF
GARFIELD-AF merupakan kajian prospektif pemerhatian berbilang pusat antarabangsa bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan AF. Ia akan mengikuti secara prospektif 57,000 orang pesakit daripada sekurang-kurangnya 1,000 buah pusat di 35 buah negara di negara-negara benua Amerika, Eropah Timur dan Barat, Asia, Afrika, serta Australia.
Pemahaman kontemporari AF adalah berdasarkan data yang dikumpul melalui ujian percubaan klinikal terkawal. Walaupun ia penting untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan baharu, percubaan ini tidak mewakili amalan klinikal harian, oleh itu ketidakpastian masih wujud tentang beban dan pengurusan kehidupan sebenar bagi penyakit ini. GARFIELD-AF ingin menyediakan pemahaman tentang impak terapi antipenggumpalan ke atas komplikasi tromboembolus dan komplikasi pendarahan yang dilihat dalam populasi pesakit itu. Ia akan menyediakan pemahaman yang lebih baik tentang peluang berpotensi bagi memperbaiki penjagaan dan hasil klinikal antara kumpulan pesakit berperwakilan, berkepelbagaian, dan merentasi populasi berbeza. Ini patut membantu pakar perubatan dan sistem penjagaan kesihatan menggunakan inovasi dalam cara yang sesuai bagi memastikan hasil yang terbaik bagi pesakit dan populasi.
Daftar itu dimulakan pada Disember 2009. Empat ciri rekaan utama bagi protokol GARFIELD-AF yang memastikan gambaran yang menyeluruh serta mewakili AF adalah:
Pesakit yang terlibat mestilah telah didiagnosis dengan AF bukan injap pada 6 minggu sebelumnya dan mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko tambahan angin ahmar; oleh itu, mereka merupakan calon berpotensi untuk terapi antipenggumpalan bagi mencegah darah beku yang akan menyebabkan angin ahmar. Terpulang kepada penyelidik untuk mengenal pasti faktor (atau faktor-faktor) risiko angin ahmar seseorang pesakit, yang tidak perlu dihadkan kepada hanya yang termasuk dalam markah risiko yang telah ditetapkan. Pesakit akan dimasukkan sama ada mereka menerima terapi antipenggumpalan atau tidak, agar strategi dan kegagalan rawatan semasa dan pada masa depan boleh difahami dengan baik berhubung dengan profil risiko tersendiri pesakit.
Daftar GARFIELD-AF dibiayai oleh geran penyelidikan tanpa had daripada Bayer Pharma AG.
Beban AF
Hampir 2% daripada populasi global menghidap AF.[1] Kira-kira 6 juta orang di Eropah[2], 3-5 juta orang di Amerika Syarikat[3],[4] dan sehingga 8 juta orang di China menghidap AF.[5],[6] Dianggarkan kadar prevalens ini akan bertambah sekurang-kurangnya dua kali ganda menjelang tahun 2050 ketika populasi global meningkat usia. AF memberi peningkatan lima kali ganda dalam risiko angin ahmar, dan satu dalam lima kes angin ahmar disebabkan oleh aritmia ini. Angin ahmar iskemik yang berkait dengan AF selalunya membawa maut, dan pesakit yang masih hidup biasanya akan menjadi kurang upaya dengan lebih kerap dan teruk serta berkemungkinan besar akan menderita pengulangan serangan berbanding pesakit dengan punca angin ahmar lain. Akibatnya, risiko kematian daripada angin ahmar berkaitan AF meningkat dua kali ganda dan kos penjagaan turut meningkat sebanyak 50%.[7]
AF berlaku apabila sebahagian atria mengeluarkan isyarat elektrik yang tidak teratur. Ini menyebabkan ruang jantung mengepam terlalu cepat dan tidak sekata, lalu tidak membenarkan darah dipam keluar sepenuhnya.[8] Akibatnya, darah akan bertakung, membeku dan menyebabkan trombosis, yang merupakan pembunuh kardiovaskular nombor satu di dunia.[9] Jika darah beku keluar daripada atrium kiri, ia boleh tersekat dalam arteri bahagian tubuh yang lain, termasuk otak. Darah beku pada arteri yang terdapat di dalam otak akan membawa kepada serangan angin ahmar. Sembilan puluh dua peratus daripada angin ahmar yang membawa maut terjadi disebabkan oleh trombosis.[9] Pesakit AF juga berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan jantung, kelesuan kronik, dan masalah ritma jantung lain.[10] Angin ahmar merupakan punca utama kematian serta ketidakupayaan jangka masa panjang di seluruh dunia – setiap tahun 6.7 juta orang maut[11] dan 5 juta orang kekal cacat.[12]
Latar Belakang TRI
TRI merupakan yayasan amal serta institut penyelidikan berbilang disiplin yang dikhususkan untuk mengkaji trombosis dan gangguan berkaitan. Misi TRI adalah untuk menyediakan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pendidikan trombosis, untuk membangunkan strategi baharu bagi mencegah dan merawat trombosis sekali gus memperbaiki kualiti penjagaan, memajukan hasil keputusan klinikal, dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan. TRI merupakan ahli Sistem Sains Kesihatan Akademik Rakan Kongsi Universiti Kolej London.
Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.tri-london.ac.uk/garfield.
________________________
SUMBER Thrombosis Research Institute (TRI)