omniture

Dubai bakal Bina Pejabat Cetakan 3D Pertama Dunia

Museum of the Future
2015-07-01 17:00 294

DUBAI, UAE, 1 Julai 2015 /PRNewswire/ --

Rancangan telah didedahkan hari ini di Dubai berkaitan bangunan cetakan 3D berfungsi sepenuhnya yang pertama di dunia, satu usaha bercita-cita tinggi yang akan meletakkan kedudukan Emiriah Arab Bersatu sebagai pusat global teknologi seni bina pembinaan dan reka bentuk.

Untuk melihat Hebahan Berita Multimedia, sila klik di sini: http://www.multivu.com/players/uk/7565251-dubai-first-3d-printed-office/

"Bangunan ini akan menjadi testimoni kepada kecekapan dan kreativiti teknologi pencetakan 3D, yang kami percaya akan memainkan peranan besar dalam membentuk semula sektor pembinaan dan reka bentuk. Kami ingin memanfaatkan pertumbuhan ini dengan menjadi hab global inovasi dan pencetakan 3D. Ini merupakan langkah pertama daripada banyak lagi yang akan dilakukan seterusnya," kata Tuan Yang Terutama Mohammed Al Gergawi, Menteri Hal Ehwal Kabinet Emiriah Arab Bersatu dan Pengerusi Jawatankuasa Inovasi Nasional Emiriah Arab Bersatu pada majlis tersebut.

Bangunan tersebut akan ditempatkan berhampiran 'Muzium Masa Depan', yang dilancarkan awal tahun ini di Dubai, dan akan berfungsi sebagai ibu pejabat sementara untuk kakitangannya. Ia berukuran seluas kira-kira 2,000 kaki persegi dan akan dicetak secara lapisan demi lapisan dengan menggunakan pencetak 3D setinggi 20 kaki, kemudian dipasang di lokasi tersebut dalam tempoh beberapa minggu. Kesemua perabot dalaman, kemasan dan komponen struktur akan turut dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D. Ini akan menjadikannya bangunan cetakan 3D berfungsi sepenuhnya yang paling canggih setakat ini.

Projek ini merupakan inisiatif utama yang pertama bagi 'Muzium Masa Depan' dan merupakan sebahagian daripada kerjasama yang lebih besar antara Dubai dan WinSun Global – usaha sama antara firma teknologi cetakan 3D China, WinSun dan para pelabur antarabangsa - bersama firma seni bina dan kejuruteraan global yang terkemuka, Gensler, Thornton Thomasetti dan Syska Hennessy.

Rekaannya adalah berdasarkan penyelidikan mendalam tentang keperluan kerja masa depan dan melambangkan pemikiran terkini dalam rekaan tempat kerja. Ruangnya terbuka dan fleksibel, membenarkan pelbagai kegunaan serta saiz pasukan, dan akan menyatukan ahli-ahli profesional, ahli-ahli masyarakat serta pakar-pakar melalui gabungan acara awam dan juga persendirian. Ia akan turut menampilkan kemudahan fabrikasi digital kecil dan ruang pameran cetakan 3D.

Projek ini menandakan permulaan transformasi penting dalam sektor pembinaan dan reka bentuk; peralihan kepada cetakan 3D serta fabrikasi digital. Walaupun telah lama diuji di dalam makmal, teknologi cetakan 3D semakin matang dengan pantas. Projek ini akan menjadi struktur cetakan 3D paling canggih pernah dibina pada skala ini dan akan menjadi hasil teknologi cetakan 3D pertama yang benar-benar digunakan.

Pakar-pakar menganggarkan teknologi cetakan 3D boleh mengurangkan masa pengeluaran sebanyak 50 hingga 70 peratus, mengurangkan kos buruh sebanyak 50 hingga 80 peratus, dan dapat menjimatkan antara 30 dan 60 peratus sisa pembinaan. Penjimatan ini membawa kepada produktiviti yang dipertingkat, pulangan ekonomi lebih tinggi dan kelestarian yang lebih baik.

Video: http://www.multivu.com/players/uk/7565251-dubai-first-3d-printed-office/

Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20150630/227084 

Sumber: Museum of the Future

Source: Museum of the Future
Keywords: