omniture

Loceng HMS Hood Telah Berjaya Dikeluarkan

Vulcan Inc.
2015-08-10 09:37 221

SEATTLE dan PORTSMOUTH, England, 10 Ogos 2015 /PRNewswire/ -- Satu pasukan penyelidikan yang diketuai oleh dermawan dan usahawan AS, Paul G. Allen telah berjaya mengeluarkan loceng kapal tempur HMS Hood, yang karam pada tahun 1941 semasa Perang Dunia Kedua. Setelah dipulihkan, loceng tersebut akan dapat menjadi peringatan penting dan sesuai untuk 1,415 nyawa yang terkorban apabila Bismarck menenggelamkan kapal itu di lautan Atlantik Utara.

Loceng tersebut telah berjaya dikeluarkan pada 7 Ogos. Pasukan En. Allen mengetuai operasi tersebut menggunakan kapal layarnya M/Y Octopus, yang dilengkapi kenderaan operasi jarak jauh (ROV) yang canggih.

Kementerian Pertahanan (MOD) dan Tentera Laut Diraja berterima kasih atas kemurahan hati En. Allen atas usaha mengeluarkan loceng itu tanpa sebarang kos oleh MOD.

"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 tamatnya Perang Dunia Kedua, dan usaha ini memperingati ratusan pelayar berani yang telah terkorban di laut," kata Allen. "Ini merupakan satu penghormatan besar dalam menjalankan ekspedisi mengeluarkan loceng daripada 'The Mighty Hood'."

Loceng itu telah ditemui dan ditangkap gambarnya buat pertama kali pada Julai 2001. Loceng tersebut ditemui di dasar laut, jauh daripada bahagian badan kapal tempur itu. Sebuah ekspedisi 2012 diketuai oleh Allen untuk mengeluarkan loceng itu telah terhalang oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan serta kesukaran teknikal.

Kedua-dua operasi telah disokong oleh Blue Water Recoveries Ltd yang mengkhusus dalam misi pencarian dan penyiasatan kapal karam.

Loceng tersebut berada dalam keadaan baik tetapi memerlukan usaha pemeliharaan dan pembaikpulihan pakar untuk tempoh satu tahun kerana ia telah terlalu lama berada dalam air laut yang dalam.

Pengarah Blue Water Recoveries, David Mearns, berkata:

"Saya amat berbesar hati kerana kami telah dapat memenuhi salah satu permintaan terakhir Ted Briggs, seorang daripada hanya 3 orang yang terselamat daripada anak kapal Hood yang seramai 1,418 orang, untuk mendapatkan semula loceng kapal itu sebagai tanda peringatan untuk rakan-rakan sekapalnya. Walaupun telah berada di dasar lautan selama 74 tahun dalam perairan Selat Denmark yang mencabar, loceng itu masih berada dalm keadaan yang amat baik. Inskripsi yang menghiasi permukaannya jelas menyatakan loceng itu telah disimpan untuk digunakan dalam kapal tempur Hood setelah lebih awal digunakan sebagai loceng Kapal Perang Hood sejak tahun 1891 hingga 1914. Dengan itu, loceng tersebut telah menyaksikan pertempuran dalam dua kapal Utama Tentera Laut Diraja sepanjang tempoh 50 tahun. Satu ukiran pada loceng itu turut merakamkan permintaan Lady Hood yang melancarkan kapal tersebut sempena memperingati mendiang suaminya Laksamana Muda Sir Horace Hood KCB DSO MVO yang telah terkorban dalam pertempuran Jutland. Loceng yang kami keluarkan ini merupakan artifak sejarah yang unik, yang menunjukkan betapa pentingnya Hood sebagai kapal utama Skuadron Kapal Tempur British. Ini merupakan loceng yang istimewa untuk kapal yang istimewa dan selamanya, ia akan menjadi tanda ingatan terbaik bagi Hood yang Gagah dan peringatan terhadap khidmat serta pengorbanan anak-anak kapalnya."

Mengulas kejayaan mendapatkan semula loceng itu, First Sea Lord, Laksamana Sir George Zambellas berkata:

"Suatu simbol kekuasaan Tentera Laut Diraja dalam tahun-tahun antara perang, 'The Mighty Hood' merupakan salah satu kapal tempur terhebat dalam sejarah maritim negara kita yang panjang dan penuh gemilang. Peristiwa kemusnahannya semasa berjuang bermati-matian melindungi konvoi yang menjadi talian hayat Britain merupakan peringatan tragik terhadap harga tinggi yang dibayar oleh negara pulau kita untuk meneruskan hidup, dan untuk tujuan kebebasan serta kemakmuran yang kita nikmati hari ini. Kisahnya, pengorbanannya, terus memberi inspirasi kepada Tentera Laut Diraja hari ini. Usaha penemuan Loceng Kapal ini akan membantu memastikan 1,415 anggota yang terkorban, dan nama Hood sentiasa diingati oleh sebuah negara yang bersyukur."

HMS Hood merupakan kapal Tentera Laut Diraja terbesar yang pernah ditenggelamkan, mengakibatkan kehilangan nyawa terbesar dialami oleh sebarang kapal perang British tunggal dan usaha mendapatkan semula itu disokong sepenuhnya oleh Persatuan HMS Hood yang ahlinya terdiri daripada veteran yang berkhidmat dalam kapal itu sebelum misi terakhirnya pada tahun 1941, dan saudara mereka yang terkorban bersamanya.

Presiden Persatuan itu ialah Laksamana Muda Philip Wilcocks, yang mana bapa saudaranya merupakan antara yang terkorban dalam HMS Hood. Laksamana Wilcocks berkata:

"Persatuan HMS Hood amat berterima kasih kepada Paul Allen, David Mearns dan anak-anak kapal M/Y Octopus atas usaha luar biasa dan profesionalisme mereka dalam mendapatkan semula loceng HMS Hood dari dasar laut Selat Denmark yang gelap. Khususnya, sokongan Paul Allen yang amat luar biasa dan kami memuji komitmen peribadi beliau terhadap operasi menyelamat itu.

"Tiada batu tanda dikalungi bunga untuk mereka yang terkorban di laut. Bagi 1,415 orang pegawai dan kakitangan yang kehilangan nyawa mereka dalam HMS Hood pada 24 Mei 1941, hasil mendapatkan semula locengnya dan tempat terhormat yang seterusnya di Muzium Tentera Laut Diraja Kebangsaan di Portsmouth menandakan generasi akan datang dapat melihat loceng ini dan memperingati dengan rasa kesyukuran semangat keperwiraan, keberanian dan pengorbanan peribadi anak-anak kapal Hood yang terkorban ketika berkhidmat untuk negara mereka."

Setelah proses mendapatkan semula loceng tersebut lengkap, ia akan dipamerkan oleh Muzium Tentera Laut Diraja Kebangsaan (NMRN) dan akan menjadi tarikan utama dalam pameran baharu yang didedikasikan kepada Tentera Laut Abad ke-20 dan 21, yang dibuka di Muzium Tentera Laut Diraja Kebangsaan di Pelabuhan Bersejarah Portsmouth pada tahun 2014. Ia merupakan lokasi yang sesuai kerana HMS Hood dahulunya berpangkalan di Portsmouth.

Mengulas tentang kejayaan mendapatkan semula loceng itu, Profesor Dominic Tweddle, Pengarah Besar NMRN, berkata:

"Ini merupakan satu penghormatan dan kelebihan untuk mempamerkan loceng daripada HMS Hood. Galeri baharu kami mengenang dan memperingati keperwiraan, tugas dan pengorbanan anggota Tentera Laut Diraja pada abad ke-20 dan 21. Loceng HMS Hood melambangkan keseluruhan kisah tersebut yang tidak dapat diungkapkan oleh sebarang objek lain. Kami telah pun memiliki loceng HMS Prince of Wales yang turut serta bersama HMS Hood untuk bertempur dalam Bismarck pada 24 Mei 1941, dan pastinya hebat dapat menyatukan kedua-dua kapal ini sekurang-kurangnya dalam bentuk semangat."

Lokasi karam HMS Hood menerima designasi di bawah Akta Perlindungan Tinggalan Ketenteraan 1986. Selain menyediakan tanda peringatan, pencarian itu telah menghalangnya daripada diambil oleh sebarang operasi tidak sah untuk kepentingan peribadi.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pegawai Akhbar Tentera Laut Diraja di 44-7748932702

Latar Belakang Paul G. Allen
Paul G. Allen merupakan pelabur, usahawan dan dermawan penting yang telah menyumbangkan lebih $2 bilion kepada tujuan amal sepanjang hayatnya. Beliau mengasaskan Vulcan Inc. pada tahun 1986 bersama Jody Allen untuk menyelia perniagaan dan aktiviti amalnya. Beliau juga merupakan pengasas bersama Yayasan Keluarga Paul G. Allen. Kini, Vulcan Inc. menyelia rangkaian luas pelaburan dan inisiatif Allen di seluruh dunia. Pada tahun 2003, beliau mengasaskan Institut Allen untuk Sains Otak bagi mendorong kefahaman tentang otak manusia dalam bidang kesihatan serta penyakit dan, sedekad kemudian, melancarkan perluasan Institut Allen untuk Kepintaran Buatan bagi meneroka peluang pembangunan dalam bidang Kepintaran Buatan (AI). Pada tahun 2014, beliau mendermakan $100 juta untuk menubuhkan Institut Allen untuk Sains Sel dan membuat komitmen tambahan sebanyak $100 juta untuk membasmi Ebola. En. Allen juga merupakan pengasas bersama Microsoft dan pemilik Seattle Seahawks serta Portland Trail Blazers. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.paulallen.com dan www.vulcan.com

UNTUK PERTANYAAN MEDIA: 
hoodbell@vulcan.com atau +1-206-342-2526

Source: Vulcan Inc.
Related Links:
Keywords: Aerospace/Defense Maritime/Shipbuilding Veterans