LONDON, 20 Ogos 2015 /PRNewswire/ -- Analisis baharu daripada Daftar Antipenggumpal Global dalam Lapangan – Pemfibrilan Atrium (GARFIELD-AF) akan dibentangkan semasa Kongres ESC 2015 yang akan diadakan di London, United Kingdom, mulai 29 Ogos hingga 2 September 2015. Tinjauan dunia sebenar tentang pilihan terapi masa kini untuk pesakit yang baru didiagnosis dengan AF akan memberi pakar perubatan pemahaman lebih baik tentang sejauh mana pemberian antipenggumpal oral antagonis bukan vitamin K (NOAC) memberi kesan ke atas penjagaan dan hasil klinikal secara amnya dan juga dalam populasi tertentu.
Data sebenar daripada lebih 40,000 pesakit akan dibentangkan dalam satu simposium satelit, dan melalui satu platform serta tiga pembentangan poster:
Antipenggumpalan dan pemfibrilan atrium (AF): data sebenar daripada Daftar GARFIELD-AF
Satu fakulti pakar akan membincangkan rekaan GARFIELD-AF dalam konteks nilai yang dibawakan daftar kepada penyelidikan klinikal. Mereka akan turut membentangkan data terkini tentang rawatan dan hasil dalam populasi global serta dalam subkumpulan pesakit khusus.
Kawalan antagonis Vitamin K di Asia Timur dan Asia Tenggara (3278)
Perbandingan taburan nilai nisbah normal antarabangsa (INR) dalam kalangan pesakit yang menerima antagonis vitamin K (VKA) untuk AF yang baru didiagnosis di negara-negara di Asia Timur dan Asia Tenggara dengan nilai untuk pesakit di negara-negara lain yang diwakilkan dalam GARFIELD-AF.
Corak pengambilan antipenggumpal oral antagonis bukan vitamin K di Eropah: analisis daripada daftar GARFIELD-AF (P1513)
Perbandingan perubahan mengikut masa bagi pengambilan NOAC dalam kalangan pesakit dengan AF yang baru didiagnosis di sembilan buah negara Eropah.
Corak rawatan antitrombotik yang berubah dalam kalangan pesakit dengan pemfibrilan atrium yang baru didiagnosis dalam GARFIELD-AF (P4404)
Corak yang berubah untuk terapi antitrombotik dalam kalangan pesakit yang baru didiagnosis dengan AF dianalisis dengan ciri-ciri garis dasar dan skor risiko untuk angin ahmar serta pendarahan parah.
Angin ahmar, pendarahan parah dan kematian dalam pemfibrilan atrium yang baru didiagnosis dengan penyakit ginjal kronik sederhana-hingga-parah: keputusan daripada GARFIELD-AF (P5598)
Perbandingan hasil berikutan rawatan antipenggumpal dunia sebenar dalam kalangan pesakit dengan AF dan penyakit ginjal kronik (CKD) sederhana-hingga-parah berbanding pesakit dengan AF dan tanpa atau ringan CKD.
Pembentangan ini akan mempertingkatkan lagi keluasan dan kedalaman pemahaman tentang kepentingan pencegahan angin ahmar dalam AF, dan akhirnya dapat membantu membentuk strategi bagi memperbaiki hasil pesakit seluruh dunia. Buat masa kini, data garis dasar untuk lebih 40,000 pesakit menunjukkan pengurusan ramai pesakit yang baru didiagnosis adalah tidak sejajar dengan garis panduan berasaskan bukti; walaupun NOAC semakin mudah didapati, masih ada pesakit menerima antipenggumpal yang tidak sepatutnya atau tidak dirawat dengan antipenggumpal yang mencukupi. Impak strategi pengurusan sub-optimum pada hasil pesakit mencadangkan sebab bagi kebimbangan berterusan.
Latar Belakang Daftar GARFIELD-AF
GARFIELD-AF merupakan satu inisiatif penyelidikan akademik bebas, dipimpin oleh jawatankuasa pandu antarabangsa yang dinaungi oleh Institut Penyelidikan Trombosis (TRI), London, United Kingdom.
Inisiatif ini merupakan kajian pemerhatian, berbilang pusat, antarabangsa bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan AF. Ia akan mengikuti 57,000 pesakit daripada sekurang-kurangnya 1,000 pusat di 35 buah negara di negara-negara benua Amerika, Eropah Timur dan Barat, Asia, Afrika serta Australia. Hampir 45,000 pesakit telah direkrut dalam empat kohort berturutan antara Disember 2009 dan Julai 2015. Kohort kelima dan terakhir akan memulakan pengambilan pada awal Ogos 2015.
Pemahaman semasa AF adalah berdasarkan data yang dikumpul dalam percubaan klinikal terkawal. Walaupun ia penting untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan baharu, percubaan ini tidak mewakili amalan klinikal harian, oleh itu, ketidakpastian masih wujud tentang beban dan pengurusan kehidupan sebenar bagi penyakit ini. GARFIELD-AF ingin menyediakan pemahaman tentang impak terapi antipenggumpal ke atas komplikasi tromboembolus dan komplikasi pendarahan yang dilihat dalam populasi pesakit ini. Ia akan menyediakan pemahaman yang lebih baik tentang peluang yang mungkin wujud bagi memperbaiki penjagaan dan hasil klinikal antara kumpulan pesakit berperwakilan, berkepelbagaian dan merentasi populasi berbeza. Ini seharusnya membantu pakar perubatan dan sistem penjagaan kesihatan untuk menggunakan inovasi dalam cara yang sesuai bagi memastikan hasil yang terbaik untuk para pesakit dan populasi.
Daftar itu dimulakan pada Disember 2009. Empat ciri rekaan utama bagi protokol GARFIELD-AF yang memastikan gambaran yang menyeluruh dan mewakili AF adalah:
Pesakit yang terlibat mestilah telah didiagnosis dengan AF bukan-injap dalam tempoh 6 minggu sebelumnya dan mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko tambahan angin ahmar; oleh itu mereka menjadi calon berpotensi untuk terapi antipenggumpal bagi mencegah darah beku yang akan menyebabkan angin ahmar. Terpulang kepada penyelidik untuk mengenal pasti faktor (atau faktor-faktor) risiko angin ahmar seseorang pesakit, yang tidak perlu dihadkan kepada hanya yang berada dalam skor risiko yang telah ditetapkan. Pesakit akan dimasukkan sekali sama ada mereka menerima terapi antipenggumpal atau tidak, makan, strategi dan kegagalan rawatan semasa dan pada masa depan boleh difahami dengan baik berhubung dengan profil risiko tersendiri pesakit.
Daftar GARFIELD-AF dibiaya oleh geran penyelidikan tanpa-had daripada Bayer Pharma AG (Berlin, Jerman).
Beban AF
Sehingga 2% daripada populasi global menghidap AF.[1] Kira-kira 6 juta orang di Eropah[2], 3-5 juta orang di Amerika Syarikat[3],[4] dan sehingga 8 juta orang di China menghidap AF.[5],[6] Dianggarkan prevalens ini akan bertambah sekurang-kurangnya dua kali ganda menjelang tahun 2050 ketika populasi global meningkat usia. AF memberi peningkatan lima kali ganda dalam risiko angin ahmar, dan satu daripada lima bagi semua kes angin ahmar berlaku disebabkan oleh aritmia ini. Angin ahmar iskemik yang berkait dengan AF selalunya membawa maut, dan pesakit yang selamat biasanya akan jadi kurang berkeupayaan dengan lebih kerap dan teruk serta berkemungkinan besar akan mengalami serangan berulang berbanding pesakit dengan punca angin ahmar lain. Akibatnya, risiko kematian daripada angin ahmar berkaitan AF meningkat dua kali ganda dan kos penjagaan akan meningkat sebanyak 50%.[7]
AF berlaku apabila sebahagian atrium mengeluarkan isyarat elektrik yang tidak selaras. Ini menyebabkan ruang jantung mengepam terlalu cepat dan tidak sekata, lalu tidak membenarkan darah dipam keluar sepenuhnya.[8] Akibatnya, darah akan bertakung, membeku, dan menyebabkan trombosis, yang merupakan pembunuh kardiovaskular nombor satu di dunia.[9] Jika darah beku keluar daripada atrium kiri, ia boleh tersekat dalam arteri bahagian tubuh yang lain, termasuk otak. Darah beku dalam arteri pada bahagian otak akan menyebabkan serangan angin ahmar. Sembilan puluh dua peratus daripada angin ahmar yang membawa maut terjadi disebabkan oleh trombosis.[9] Pesakit AF juga berisiko tinggi mengalami kegagalan jantung, kelesuan kronik, dan masalah ritma jantung lain.[10] Angin ahmar merupakan punca utama kematian serta ketidakupayaan jangka masa panjang di seluruh dunia - setiap tahun, 6.7 juta orang mati[11] dan 5 juta orang cacat kekal akibat daripadanya.[12]
Latar Belakang TRI
TRI merupakan sebuah yayasan amal dan institut penyelidikan berbilang disiplin yang dikhususkan untuk kajian trombosis dan kecelaruan berkaitan. Misi TRI adalah untuk menyediakan kecemerlangan dalam penyelidikan dan pendidikan trombosis, untuk membangunkan strategi-strategi baharu bagi mencegah serta merawat trombosis yang seterusnya memperbaiki kualiti penjagaan, memajukan hasil klinikal, dan juga mengurangkan kos penjagaan kesihatan. TRI merupakan ahli Rangkaian Sains Kesihatan Akademik Rakan Kongsi Kolej Universiti London.
Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.tri-london.ac.uk/garfield.
1. Davis RC, Hobbs FD, Kenkre JE, et al. Prevalence of atrial fibrillation in the general population and in high-risk groups: the ECHOES study. Europace 2012; 14(11):1553-9. 6/16/15. Boleh didapati di: http://europace.oxfordjournals.org/content/14/11/1553.long |
Sumber: Thrombosis Research Institute