omniture

Johnson Controls dan Hitachi Sempurnakan Usaha Sama Penyamanan Udara Global

Johnson Controls
2015-10-01 15:11 420

Kerjasama produk dan teknologi baharu mulakan operasi

MILWAUKEE dan TOKYO, 1 Oktober 2015 /PRNewswire/ -- Johnson Controls, (NYSE: JCI), Hitachi, Ltd. (TSE: 6501) dan Hitachi Appliances, Inc. hari ini mengumumkan syarikat-syarikat itu telah menyempurnakan perjanjian usaha sama global mereka dan akan memulakan operasi serta-merta bagi Johnson Controls-Hitachi Air Conditioning untuk memberikan pelanggan global dengan rangkaian penuh produk dan teknologi penyamanan udara.

Melalui perjanjian itu, Johnson Controls telah mengambil alih 60 peratus kepentingan pemilikan entiti baharu itu, yang memiliki lebih JPY350 bilion dalam jualan tahunan (kira-kira AS$2.8 bilion). Hitachi Appliances mengekalkan baki pemilikan 40 peratus syarikat itu.

Usaha sama ini mempunyai kira-kira 14,000 pekerja dan 24 lokasi global yang dikhususkan untuk rekaan, kejuruteraan dan pengeluaran di seluruh Asia, Eropah serta Amerika Latin. Usaha sama ini juga akan meneruskan kepimpinan teknologi, penyelidikan dan pembangunan kedua-dua organisasi, selain meluaskan saluran pasaran.

Pelanggan-pelanggan di seluruh dunia kini akan memperoleh rangkaian produk penyaman udara yang paling pelbagai dalam industri ini, termasuk sistem aliran penyejuk boleh ubah, penyelesaian penyamanan udara kediaman, pendingin tinggi kecekapan serta pemampat berputar dan skrol tercanggih bertaraf dunia daripada Hitachi – selain penyelesaian HVAC dan automasi bangunan Johnson Controls yang terkenal dalam industri.

Pasukan pengurusan usaha sama itu akan dipimpin oleh Franz Cerwinka, ketua pegawai eksekutif, dan Shinichi Iizuka, ketua pegawai operasi serta presiden. Cerwinka mempunyai 20 tahun pengalaman dengan Johnson Controls, termasuk empat tahun di Jepun sebagai naib presiden kewangan bersama perniagaan automotif syarikat itu dan bertugas dengan lebih daripada sepuluh usaha sama. Iizuka telah bersama Hitachi selama lebih 35 tahun, setelah meluangkan tempoh selama lapan tahun di India sebagai presiden Hitachi Home & Life Solutions India Ltd. Beliau telah memimpin perniagaan penyamanan udara Hitachi sejak tahun 2013.

"Kami amat gembira dapat memulakan operasi ini dan teruja untuk memberi khidmat kepada pelanggan kami menerusi rangkaian saluran global dan teknologi yang tiada tandingan," kata Cerwinka. "Johnson Controls dan Hitachi merupakan padanan sempurna dengan barisan produk kami yang saling melengkapi, jenama-jenama yang tiada tandingan dengan kekayaan sejarah selama 100 tahun."

"Saya telah membina kerjaya saya bersama Hitachi dan mengetahui bahawa hasil gabungan dengan Johnson Controls akan mendorong kami untuk maju ke hadapan bagi mengatasi para pesaing," tambah Iizuka. "Seperti mana Hitachi dan Johnson Controls masing-masing menjadikan inovasi sebagai asas kepada kejayaan berasingan mereka, kini inovasi akan menjadi teras kejayaan Johnson Controls-Hitachi Air Conditioning."

Johnson Controls merupakan syarikat berbilang industri dengan sejarah selama 130 tahun dalam membekalkan sistem pemanasan, pengudaraan, penyamanan udara, kawalan bangunan, penyejukan dan keselamatan untuk bangunan. Melalui perniagaan Kecekapan Bangunannya, syarikat itu menyediakan penyelesaian yang dapat meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan kos operasi untuk lebih sejuta pelanggan yang diberi khidmat melalui hampir 700 buah pejabat di lebih 150 buah negara. Melalui perjanjian OEM sebelum ini, Johnson Controls telah mula menjual sistem Aliran Penyejuk Boleh Ubah (VRF) Hitachi di Amerika Utara dan baru-baru ini membuka pusat latihan VRF di Dallas, Texas.

Sebagai penyedia perkakasan rumah dan penyelesaian penyamanan udara global, Hitachi Appliances membekalkan produk-produk HVAC Hitachi yang berkualiti tinggi, cekap dan andal daripada penyamanan udara bilik kediaman kepada sistem aliran penyejuk boleh ubah, serta kelengkapan penyamanan udara lain untuk kegunaan komersial dan juga perindustrian. Hitachi Appliances akan terus menyediakan produk-produk HVAC berjenama Hitachi dalam pasaran Jepun selepas urus niaga ini.

Untuk maklumat lanjut tentang perjanjian usaha sama global itu, sila kunjungi: http://photos.prnasia.com/prnk/20150930/8521506395-b

Latar Belakang Johnson Controls

Johnson Controls merupakan peneraju teknologi pelbagai dan perindustrian global yang memberi khidmat kepada pelanggan di lebih 150 buah negara. Seramai 130,000 orang kakitangan kami menghasilkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian berkualiti untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga dan operasi bangunan; bateri kenderaan plumbum-asid serta bateri canggih untuk kenderaan hibrid dan juga elektrik; selain komponen dan sistem tempat duduk untuk kenderaan. Komitmen kami terhadap kelestarian bermula sejak awal lagi iaitu pada tahun 1885, dengan penciptaan termostat bilik elektrik pertama. Melalui strategi pertumbuhan kami dan dengan meningkatkan bahagian pasaran kami beriltizam untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan memastikan kejayaan pelanggan kami. Pada tahun 2015, Corporate Responsibility Magazine mengiktiraf Johnson Controls sebagai syarikat #14 dalam senarai "100 Warga Korporat Terbaik" tahunannya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi http://www.johnsoncontrols.com atau ikuti kami @johnsoncontrols di Twitter

Latar Beakang Hitachi, Ltd.

Hitachi, Ltd. (TSE: 6501), beribu pejabat di Tokyo, Jepun, menyediakan inovasi yang dapat mengatasi cabaran masyarakat melalui pasukan berbakat dan pengalaman terbukti kami di pasaran global. Pendapatan tergabung syarikat itu bagi tahun fiskal 2014 (berakhir 31 Mac 2015) adalah berjumlah 9,761 bilion yen ($81.3 bilion). Hitachi kini semakin fokus terhadap Perniagaan Inovasi Sosial, yang melibatkan sistem kuasa & infrastruktur, sistem maklumat & telekomunikasi, jentera pembinaan, bahan & komponen berfungsi tinggi, sistem automotif, kesihatan dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut tentang Hitachi, sila kunjungi laman sesawang syarikat itu di http://www.hitachi.com

Latar Belakang Hitachi Appliances, Inc.

Hitachi Appliances, Inc., beribu pejabat di Tokyo, telah ditubuhkan pada 1 April 2006 melalui penggabungan antara Hitachi Air Conditioning Systems Co., Ltd. dan Hitachi Home & Life Solutions, Inc. yang kedua-duanya dimiliki sepenuhnya oleh Hitachi, Ltd. Jualan tergabungnya bagi tahun fiskal berakhir 31 Mac 2015 adalah berjumlah 688 bilion yen (kira-kira $5.7 bilion). Syarikat itu membekalkan perkakasan rumah serta produk penyamanan udara yang mesra alam dan selesa ke seluruh dunia dengan memanfaatkan teknologi tercanggihnya.

Untuk maklumat lanjut tentang Hitachi Appliances, sila kunjungi http://www.hitachi-ap.com/index.html

Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20150623/8521504142LOGO

Source: Johnson Controls
Related Stocks:
NYSE:JCI OTC:HTHIY Tokyo:6501
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics Household Products Household/Consumer/Cosmetics HVAC Contracts Joint ventures