omniture

Seruan Untuk Meningkatkan Kualiti Kematian - Amat Penting untuk Kerajaan Menjadikan Penjagaan Paliatif Sebahagian Daripada Penjagaan Kesihatan Menyeluruh

Sebagai respons terhadap penemuan indeks Kualiti Kematian 2015, pertubuhan-pertubuhan penjagaan paliatif global & rantau menyeru kerajaan untuk bertindak mengikut resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) untuk penjagaan paliatif[1], menjelang Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia pada 10 Oktober 2015
Kajian mendapati beberapa buah negara berpendapatan rendah yang berinovasi dan mengadakan inisiatif mampu menongkah arus dan mencapai keputusan lebih baik berbanding negara-negara maju
Lien Foundation
2015-10-07 13:57 544

SINGAPURA, 7 Oktober 2015 /PRNewswire/ -- Yayasan Lien menyeru kerajaan dan pembuat dasar untuk segera memperbaiki peruntukan mereka terhadap penjagaan paliatif, pertubuhan-pertubuhan penjagaan paliatif rantau dan negara dari seluruh dunia mengetengahkan situasi genting yang sangat memerlukan tindakan ini apabila penemuan penting daripada Indeks Kualiti Kematian (QOD) 2015 daripada Economist Intelligence Unit menunjukkan:

  • Dasar dan strategi penjagaan paliatif kebangsaan adalah penting untuk melanjutkan akses kepada penjagaan paliatif. Banyak negara dengan pemeringkatan tinggi mempunyai kerangka kerja menyeluruh yang menyepadukan penjagaan paliatif ke dalam sistem penjagaan kesihatan. Contohnya, Chile (ke-27) menyepadukan penjagaan paliatif ke dalam perkhidmatan penjagaan kesihatannya dan mempunyai dasar untuk mendapat akses kepada opioid. [2]
  • Penjagaan paliatif memerlukan pelaburan tetapi menawarkan penjimatan dalam kos penjagaan kesihatan. Penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan sejauh mana pengenalan awal terhadap penjagaan kesihatan boleh mengurangkan kos penjagaan kesihatan. Ini sangat diakui oleh beberapa negara dengan pemeringkatan tinggi. 
  • Walaupun tahap pendapatan merupakan penunjuk penting untuk ketersediaan dan kualiti penjagaan paliatif, negara-negara yang kurang mewah masih boleh memperbaiki standard penjagaan paliatif dengan pantas. Mongolia (ke-28), Panama (ke-31) & Uganda (ke-35) mencapai kemajuan dalam penjagaan paliatif melalui inovasi dan inisiatif individu.
  • Permintaan terhadap penjagaan paliatif akan berkembang pantas di beberapa negara yang tidak cukup lengkap untuk memenuhinya. Negara-negara seperti Hungary (ke-41), Greece (ke-56) & China (ke-71) mempunyai bekalan terhad tetapi permintaan untuk penjagaan paliatif meningkat dengan pantas. Negara-negara ini memerlukan pelaburan aktif bagi memenuhi keperluan orang awam.
  • Penglibatan masyarakat penting dalam meningkatkan kesedaran dan menggalakkan perbincangan tentang kematian. Taiwan (ke-6) berjaya menggunakan media aliran utama dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan paliatif.

Setelah mendapati penemuan seperti di atas, penyokong paliatif seluruh dunia menyeru pembuat dasar mengambil langkah yang aktif bagi bertindak bagi melaksanakan resolusi WHA untuk penjagaan paliatif yang diluluskan semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2014. Resolusi itu mengiktiraf penjagaan paliatif sebagai penting dalam penambahbaikan kualiti kehidupan, kesejahteraan, keselesaan dan maruah sebagai manusia. Resolusi itu menggesa Negara-negara Ahli agar dapat:

  • Memasukkan penjagaan paliatif dalam semua dasar dan belanjawan kesihatan negara
  • Menyepadukan penjagaan paliatif ke dalam sistem penjagaan kesihatan
  • Memastikan penjagaan paliatif dimasukkan ke dalam pendidikan dan latihan asas serta berterusan untuk semua pekerja penjagaan kesihatan
  • Menyediakan bekalan mencukupi untuk semua ubat-ubatan penjagaan paliatif yang penting, termasuk ubat penahan sakit yang kuat, kepada semua pesakit

Semua negara ahli diminta untuk melaporkan perkembangan mereka bagi pelaksanaan resolusi itu sebelum kemas kini Ketua Pengarah semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia akan datang pada tahun 2016. [3]

Dijalankan oleh Yayasan Lien, rumah amal Singapura, Indeks QOD 2015 merupakan pemeringkatan penjagaan paliatif yang diperluas dan dipertingkat bagi 80 buah negara, bermula daripada keluaran pertamanya pada tahun 2010 [4]. Kajian yang dijalankan baru-baru ini merujuk kepada lebih 120 pakar dari seluruh dunia. "Penjagaan paliatif perlu menjadi tiang asas untuk sistem penjagaan kesihatan yang berperikemanusiaan, berpandukan tanggungjawab untuk meredakan penderitaan," kata En. Lee Poh Wah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Lien. "Sudah menjadi kewajipan setiap seorang daripada kita untuk berusaha lebih keras lagi dan menghapuskan halangan yang mengganggu dalam sistem, institusi, dan amalan budaya penjagaan kesihatan kita; serta menuntut kebertanggungjawaban lebih tinggi daripada kerajaan kita bagi memperbaiki penjagaan untuk orang yang sakit tenat."

Walaupun pemeringkatan QOD terkini menunjukkan kesan positif intervensi dasar dan penglibatan orang awam di beberapa buah negara, banyak lagi yang masih perlu dilakukan untuk melaksanakan penjagaan paliatif di seluruh dunia. Anggaran menunjukkan kurang 10% daripada golongan yang memerlukan penjagaan paliatif telah menerimanya [5]. Selain itu, kadar warga yang meningkat usia dan prevalens barah terus meningkat di kebanyakan negara. Indeks itu turut menyerlahkan yang negara-negara berperingkat tinggi juga "berjuang untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif yang mencukupi untuk setiap rakyat" [6].

Penting untuk menyepadukan penjagaan paliatif ke dalam sistem penjagaan kesihatan 

"Masalah yang paling besar adalah sistem penjagaan kesihatan kita direka untuk menyediakan penjagaan akut, sedangkan apa yang kita perlukan adalah penjagaan kronik ... Itu masih lagi boleh dilihat di hampir setiap tempat di dunia," kata Dr. Stephen Connor, Felow Kanan, Perikatan Penjagaan Paliatif Hospis Seluruh Dunia. Situasi ini boleh berubah sekiranya negara-negara melaksanakan dasar negara bagi menyepadukan penjagaan paliatif ke dalam sistem kesihatan. Contohnya A.S. (ke-9), mempunyai tahap perbelanjaan yang tinggi untuk penjagaan paliatif melalui pembayaran balik dibiayai kerajaan bagi penjagaan hospis, Medicare [7]. Ia juga mempunyai Akta Perancangan Penjagaan sebagai panduan keputusan penamatan hayat. Negara-negara kurang mewah lain seperti Mongolia dan Afrika Selatan telah mendapat manfaat daripada penyepaduan penjagaan paliatif. Mongolia diperingkatkan pada kedudukan ke-28 yang patut dipuji dan telah berjaya dalam penyepaduan penjagaan paliatif sebagai sebahagian daripada undang-undang kesihatan dan kebajikan sosial mereka, selain program kawalan barah kebangsaan. Afrika Selatan (ke-34) mempunyai model penjagaan paliatif yang bersepadu tinggi kerana gerakan hospisnya.

Sebarkan ilmu dan latihan penjagaan paliatif dalam kalangan pekerja kesihatan

Pekerja kesihatan mesti diberi ilmu dan latihan yang lebih baik dalam penjagaan paliatif agar ia boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada penjagaan menyeluruh kitar kehidupan. "Mungkin perubahan ini memerlukan masa yang lama," kata Dr. Sheila Payne, Presiden Persatuan Penjagaan Paliatif Eropah (2011-2015). "Tetapi jika semua orang mempunyai penjagaan paliatif dalam pendidikan asas mereka, tiada siapa yang akan keluar tanpa memahami tentang pengurusan kesakitan, bagaimana untuk berkomunikasi dengan pesakit dan keluarga atau mengetahui yang penjagaan psikologi, sosial, dan spiritual merupakan sebahagian daripada penjagaan paliatif, bukan sekadar pengetahuan sampingan pilihan."

Di Asia Pasifik, permintaan terhadap penjagaan paliatif akan berkembang pesat di negara-negara seperti China (ke-71), India (ke-67) dan Filipina (ke-78). Dr. Cynthia Goh, Pengerusi, Rangkaian Penjagaan Paliatif Hospis Asia Pasifik, mengulas, "Asia menampung lebih separuh daripada populasi dunia, termasuk dua buah negara besar, China dan India. Jurang antara peruntukan dan keperluan terhadap penjagaan paliatif di negara-negara ini adalah cukup besar. Selain itu, populasi di China sedang meningkat usia dan kedua-dua negara berhadapan dengan cabaran besar dalam peningkatan penyakit tidak berjangkit, seperti barah, penyakit jantung dan kencing manis."

Keperluan untuk memastikan bekalan ubat penahan sakit yang mencukupi

Namun begitu, hanya sedikit peningkatan dalam kualiti penjagaan paliatif yang boleh dicapai jika tiada akses kepada analgesik opioid yang mencukupi. En. Emmanuel Luyirika, Pengarah Eksekutif Persatuan Penjagaan Paliatif Afrika berkata, "Memandangkan kesakitan merupakan punca penderitaan yang utama bagi kebanyakan pesakit penjagaan paliatif, pengurusannya adalah penting dalam penjagaan paliatif yang berkualiti. Kekurangan ketersediaan dan akses kepada ubat penahan sakit yang kuat, terutamanya analgesik opioid, masih kekal sebagai penghalang besar bagi penjagaan ini. Usaha mesti diambil bagi memastikan akses untuk semua."

EIU melaporkan hanya 33 daripada 80 buah negara yang dikaji selidik mempunyai ubat penahan sakit opioid yang mudah diakses dan didapati. Antara penghalang untuk mendapatkan ubat penahan sakit termasuk kerenah birokrasi, sekatan undang-undang, kekurangan latihan dan kesedaran, serta stigma sosial. Lebih 90% daripada penggunaan analgesik opioid global berlaku dalam beberapa buah negara maju, sementara 80% daripada semua negara mempunyai akses yang rendah atau sangat terhad terhadap ubat-ubatan sebegitu. [8]

Pelaburan dalam penjagaan paliatif besar faedahnya 

Menggesa kerajaan untuk melonggarkan perbelanjaan dan mengeluarkan lebih banyak sumber untuk penjagaan paliatif, Dr. James Tulsky, Pengerusi Jabatan Onkologi Psikososial dan Penjagaan Paliatif di Institut Barah Dana-Farber dan Ketua Bahagian Penjagaan Paliatif di Brigham and Women's Hospital, A.S., berkata, "Penjagaan paliatif mewakili salah satu daripada peluang yang sukar didapati untuk kita hidup sejahtera dengan berbuat baik. Bukti telah menunjukkan yang kita boleh memperbaiki kualiti, malah kuantiti kehidupan, sambil mengurangkan kos." Walaupun penjagaan paliatif memerlukan pelaburan besar, ia akan memberi imbuhan dalam bentuk penjimatan kos penjagaan kesihatan [9]. Contohnya, satu kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati jika penjagaan paliatif diperkenalkan kepada pesakit barah lanjut dalam masa 2 hari selepas didiagnosis, ia boleh membawa kepada penjimatan kos sehingga 24%. Kajian QOD menunjukkan yang "peralihan daripada tindakan campur tangan kesihatan yang bersifat penyembuhan semata-mata kepada pengurusan kesakitan dan simptom yang lebih holistik boleh mengurangkan beban ke atas sistem penjagaan kesihatan dan mengehadkan penggunaan rawatan yang mahal namun sia-sia."

Simpul Dr. Connor, "Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2014 bagi Mengukuhkan Penjagaan Paliatif merupakan perkembangan paling penting dalam penjagaan paliatif global yang pernah berlaku, mungkin sejak penubuhan gerakan kami ini. Ini merupakan peluang yang amat penting untuk negara-negara dan W.H.O merangsang kemajuan dalam mengembangkan penjagaan paliatif, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah hingga sederhana, dengan keperluan tidak dipenuhi adalah sangat tinggi."

Indeks Kualiti Kematian 2015 oleh Economist Intelligence Unit, meliputi 80 buah negara menggunakan 20 penunjuk kuantitatif dan kualitatif merentasi 5 kategori: persekitaran paliatif dan penjagaan kesihatan; sumber manusia; kemampuan penjagaan; kualiti penjagaan; dan tahap penglibatan komuniti.

Latar Belakang Yayasan Lien ( www.lienfoundation.org )

Yayasan Lien merupakan rumah amal Singapura yang terkenal kerana model dermawan mereka yang radikal. Ia melabur dalam penyelesaian inovatif, mengadakan perkongsian strategik dan memangkinkan tindakan untuk cabaran sosial serta alam sekitar. Yayasan itu ingin menyemai pendidikan awal usia yang boleh dicontohi, mencapai kecemerlangan dalam penjagaan warga emas dan kemampanan alam sekitar yang berkesan untuk air dan kebersihan. Dalam bidang penjagaan warga emas, Yayasan itu memfokuskan penjagaan penghujung hayat melalui inisiatif seperti menugaskan indeks Kualiti Kematian global yang pertama pada tahun 2010, dan pertandingan Rekaan untuk Kematian bagi inovasi penjagaan kematian. Ia juga mempertingkatkan kepimpinan dan kapasiti penjagaan paliatif di negara-negara membangun melalui Kolaborasi Lien untuk Penjagaan Paliatif dengan kerjasama Rangkaian Hospis dan Penjagaan Paliatif Asia Pasifik.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.qualityofdeath.org.

Wakil Media
Genevieve Kuek     Qeren Communications    gen@qeren.biz     +65 9763 3110
May Tan                Qeren Communications    may@qeren.biz   +65 9791 3059

[1]

Perhimpunan Kesihatan Sedunia, badan pemutus keputusan WHO yang terdiri daripada perwakilan negara ahlinya, meluluskan Ketetapan itu.

[2]

Brenda Cameron dan Anna Santos Salas, "Understanding the Provision of Palliative Care in the Context of Primary Health Care: Qualitative research findings from a pilot study in a community setting in Chile", Journal of Palliative Care, jilid 25 no. 4, 275-283, 2009. Boleh didapati di http://uofa.ualberta.ca/nursing/-/media/nursing/about/docs/cameronsantossalas.pdf

[3]

http://apps.who.int/gb/ebwha/pdf_files/WHA67/A67_R19-en.pdf

[4]

Kualiti Indeks Kematian yang pertama telah mencetuskan perdebatan dasar tentang peruntukan penjagaan paliatif seluruh dunia. Indeks tahun 2015 diperluaskan kepada 20 penunjuk dalam 5 kategori: persekitaran paliatif dan penjagaan kesihatan; sumber manusia; kemampuan penjagaan; kualiti penjagaan; dan tahap penglibatan komuniti.

[5]

Global Atlas of Palliative Care at the End of Life, Worldwide Hospice Palliative Care Alliance and World Health Organization, Januari 2014. Boleh didapati di http://www.who.int/nmh/Global_Atlas_of_Palliative_Care.pdf

[6]

Indeks Kualiti Kematian 2015, The Economist Intelligence Unit

[7]

Medicare merupakan program persekutuan AS yang menyediakan perlindungan insurans kesihatan kepada semua individu melebihi usia 65 tahun.

[8]

Global Atlas of Palliative Care at the End of Life, Worldwide Hospice Palliative Care Alliance and World Health Organization, Januari 2014. Boleh didapati di http://www.who.int/nmh/Global_Atlas_of_Palliative_Care.pdf

[9]

Peter May et al, Prospective Cohort Study of Hospital Palliative Care Teams for Inpatients With Advanced Cancer: Earlier Consultation Is Associated With Larger Cost-Saving Effect, Journal of Clinical Oncology, Jun 2015.

Source: Lien Foundation
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Advocacy Group Opinion Not for profit Survey, Polls & Research