omniture

Akademi Diplomatik Emiriah Lantik Diplomat Tertinggi PBB Bernardino Leon Gross sebagai Ketua Pengarah Pertama

Emirates Diplomatic Academy
2015-11-05 18:20 438

ABU DHABI, UAE, 5 November 2015 /PRNewswire/ --

  • Pelantikan tegaskan fokus EDA dalam menyampaikan latihan bertaraf dunia dalam diplomasi kepada pelajar Emiriah 
  • "Membangunkan bakat diplomatik Emiriah generasi akan datang adalah amat penting dalam menyokong objektif dasar luar kami, kata Yang Mulia Sheikh Abdullah 
  • EDA memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan, penyelidikan dan kepimpinan intelektual bertaraf dunia untuk diplomat Emiriah masa depan, kata Yang Mulia Sheikh Abdullah  

Akademi Diplomatik Emiriah hari ini mengumumkan pelantikan Bernardino Leon sebagai Ketua Pengarah pertama Akademi Diplomatik Emiriah (EDA), sebuah pusat kecemerlangan terkemuka UAE dalam pengajian diplomatik. En. Leon akan menjalankan tugasnya pada Disember 2015.

(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151104/283738LOGO )
(Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151104/283739 )

Seorang diplomat berkerjaya dengan pengalaman antarabangsa yang luas melebihi 25 tahun, peranan terkini En. Leon adalah sebagai Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke Libya, jawatan yang telah dipegang oleh beliau sejak setahun lalu.

Y.M. Sheikh Abdullah Bin Zayed Al Nahyan, Menteri Hal Ehwal Luar UAE dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah EDA, berkata: "Akademi Diplomatik Emiriah memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan, penyelidikan dan kepimpinan intelektual bertaraf dunia untuk para diplomat masa depan kami. Pengalaman dan kefahaman mendalam terhadap geopolitik global yang dibawakan oleh En. Leon untuk EDA akan menjadi sumber yang penting untuk generasi baharu diplomat kami.

"Angkatan diplomatik UAE merupakan teras penglibatan antarabangsa kami, menjaga kepentingan kami dan mempromosikan visi kepimpinan kami pada platform global. Membangunkan bakat diplomatik Emiriah generasi akan datang adalah amat penting bagi menyokong objektif dasar luar kami serta bagi memastikan suara negara kami didengari ketika kami berusaha mencapai matlamat kami dalam menggalakkan keamanan dan juga kestabilan serantau."

Seorang warga Sepanyol, En. Leon memiliki kefahaman mendalam terhadap politik global, diplomasi dan hal ehwal luar. Beliau telah bekerja dengan meluas di Timur Tengah, memainkan peranan penting dalam pasukan Kesatuan Eropah yang menyusuli dan menyokong perbincangan Taba selain Persetiaan Hebron, Wye River, Camp David dan Shepherdstown.

Beliau telah terlibat secara aktif dalam Perjanjian Geneva dan telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Diplomatik Sepanyol di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah yang baru ditubuhkan di Bangsa-bangsa Bersatu serta pusat-pusat antarabangsa lain. Beliau telah terlibat secara meluas dalam hal ehwal politik dan ekonomi, terutamanya sebagai Sherpa G20, dan telah menyumbang secara signifikan kepada diplomasi kebudayaan.

Sebagai Ketua Pengarah, En. Leon akan bekerja dengan Lembaga Pemegang Amanah EDA untuk menetapkan hala tuju strategik Akademi itu sebagai pemimpin pemikiran global dalam pengajian diplomatik. Beliau akan mengetuai fakulti pakar antarabangsa di EDA bagi memastikan standard tertinggi dalam pendidikan diplomatik dan kecekapan untuk mewujudkan diplomat Emiriah generasi baharu yang dididik di Akademi tersebut. Pelantikan itu akan turut membantu mempertingkatkan status EDA sebagai institusi diplomatik elit yang menyediakan hala tuju dasar penting serta maklumat tentang isu-isu kontemporari serantau dan juga global.

Mengulas tentang peranan baharunya, En. Leon berkata: "Saya gembira menerima jawatan baharu ini dan ternanti-nanti untuk berhubung dengan warga Emiriah muda dan bekerjasama dengan pasukan fakulti, latihan dan penyelidikan yang berpengalaman untuk menetapkan EDA sebagai titik rujukan dalam pengajian diplomatik. EDA merupakan inisiatif baharu oleh Kerajaan UAE untuk mendidik ahli-ahli profesional diplomatik dan hubungan luar generasi akan datang. Platform akademik dan penyelidikan bertaraf dunia yang unik dibina atas penawaran kursus dan tema penyelidikan yang bersesuaian dengan status UAE yang semakin menonjol dalam hal ehwal serantau serta antarabangsa."

Menekankan peranan penting EDA dalam membangunkan angkatan diplomatik dan kepimpinan pemikiran dasar luar masa depan untuk negara itu, En. Leon berkata: "Akademi ini membentuk kumpulan bakat berdedikasi yang terdiri daripada ahli-ahli profesional muda yang boleh memasuki kerjaya diplomatik dengan pandangan hidup yang berpengetahuan dalam politik dan hal ehwal luar. Inisiatif latihan berpandangan jauh seumpama ini akan terus membolehkan UAE mencapai kejayaan yang lebih signifikan dalam hubungan antarabangsanya."

Sepanjang kerjaya diplomatiknya yang penuh kejayaan, En. Leon telah terlibat secara aktif dengan kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan di Eropah, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Lubnan, Syria, Palestin dan Tunisia, antara lainnya. Bidang pengaruh beliau merangkumi diplomasi ekonomi, dialog antara budaya, keselamatan, tenaga dan juga migrasi.

En. Leon telah mengadakan rundingan penting di Libya, Mesir dan Tunisia bagi menggalakkan nilai-nilai Arab dan menegaskan keperluan terhadap toleransi serta kefahaman kebudayaan. Kehormatan beliau terhadap nilai-nilai Arab dan menggalakkan dialog antara budaya adalah penting untuk melancarkan Pusat Dialog antara Agama Vienna dan penubuhan Three Cultures, sebuah Pusat Maghribi-Sepanyol.

En. Leon memegang diploma dalam Hubungan Antarabangsa daripada University of Barcelona dan Ijazah Undang-undang daripada University of Malaga, Sepanyol. Beliau merupakan penulis dan penterjemah beberapa buah buku, menjadi pensyarah di universiti-universiti di seluruh dunia dan telah meraih lebih 20 anugerah antarabangsa untuk tugas diplomasi beliau.

Latar Belakang Akademi Diplomatik Emiriah: 

EDA ditubuhkan oleh Dekri Kabinet No. 29 bagi tahun 2014, sebagai pusat akademik dan penyelidikan bersepadu yang merintis dan berdedikasi untuk mengukuhkan pengetahuan dasar luar negara UAE.

Lembaga Pemegang Amanah EDA terdiri daripada para pemimpin disegani daripada kerajaan, akademia dan industri. Lembaga Pemegang Amanah memastikan Akademi ini tersu berpegang teguh kepada tujuan penubuhannya dan integriti serta sumber kewangan Akademi dikekalkan untuk objektif semasa dan akan datang.

EDA menyasarkan untuk membina asas pengetahuan yang luas dalam bidang hubungan antarabangsa dan diplomatik, di samping menyediakan sokongan teknikal dan nasihat kepada entiti kerajaan UAE, selain mengukuhkan kerjasama dengan pusat-pusat latihan penting dan universiti-universiti untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik.

Bidang utama EDA adalah saling terhubung, dengan aktiviti-aktiviti dalam satu bidang menyumbang kepada yang lain untuk mewujudkan keseimbangan dan sinergi.

1. Akademik dan Penyelidikan

  • Pelajar mempelajari kursus tersuai yang menyepadukan konteks UAE dan serantau bersama penyelidikan EDA
  • Fakulti EDA terlibat dalam projek penyelidikan yang disokong oleh cendekiawan pelawat Timur Tengah dan kerjasama institusi

2. Pendidikan Akademik dan Eksekutif

  • Pelajar mendapat faedah daripada kursus eksekutif yang disediakan oleh EDA
  • Pelajar diplomasi berkolaborasi dan membina rangkaian profesional (cth. batu tukup)

3. Penyelidikan dan Pendidikan Eksekutif

  • Penyelidik mereka bentuk kursus latihan dengan kandungan berkaitan UAE yang relevan
  • Penyelidik mempunyai akses kepada pelajar untuk tujuan kajian (kumpulan fokus, tinjauan, dll.)

Untuk maklumat lanjut tentang EDA, sila kunjungi http://www.eda.ac.ae

Untuk pertanyaan media, hubungi: Nedal Al Asaad, ASDA'A Burson-Marsteller, Nedal.alasaad@bm.com, +971-4-450-7600

Source: Emirates Diplomatic Academy
Related Links:
Keywords: Education Higher Education Personnel announcements