omniture

Maersk Container Industry Sampaikan Kontena Sejuk Beku Star Cool Pertama dari Kilang Baharu di Chile

Maersk Container Industry
2015-11-13 00:03 711

COPENHAGEN, Denmark, 13 November 2015 /PRNewswire/ -- Perdagangan antarabangsa dalam makanan mudah rosak memasuki era baharu apabila Maersk Container Industry (MCI), sebuah unit perniagaan bebas dalam konglomerat Maersk Group, hari ini mengumumkan ia telah memulakan pengeluaran kontena sejuk beku pertama dan jentera penyejukan Star Cool yang dibina di Amerika Selatan di kemudahan MCI baharu di San Antonio, Chile.

Untuk melihat Hebahan Berita Multimedia, sila klik:
http://www.multivu.com/players/uk/7688551-maersk-container-industry-factory-chile/

Keluaran percubaan pertama kontena sejuk beku 40 kaki dengan piawaian ISO ini telah berjaya disampaikan pada suku ketiga tahun 2015 ke dalam operasi Maersk Line dan CMA CGM. Tidak lama selepas itu, kedua-dua syarikat perkapalan telah membuat tempahan baharu. Untuk terus memanfaatkan cadangan nilai baharu ini, Maersk Line telah mendapatkan bilangan bulanan tetap daripada kemudahan MCI yang memberikan ketangkasan dipertingkat dan masa tindak balas pantas kepada permintaan di rantau ini.

"Di kawasan pengeksport buah-buahan ini, kami telah menempatkan kilang di tempat paling banyak mendapat permintaan. Buat kali pertama di Amerika Selatan, kontena sejuk beku boleh bergerak 'dari kilang ke ladang' secara terus," kata Stig Hoffmeyer, Ketua Pegawai Eksekutif MCI. "Menawarkan kontena sejuk beku Star Cool Integrated secara setempat kepada syarikat perkapalan, peladang, pengedar buah-buahan dan syarikat pemajakan akan membawa manfaat kewangan berjumlah ribuan dolar bagi setiap kontena, dan berjuta-juta bagi industri ini secara keseluruhannya," sambung beliau.

Setiap tahun, lebih 100,000 kontena sejuk beku diperlukan di Chile untuk memenuhi keperluan eksport yang besar. Termasuk Colombia, Ecuador dan Peru, keseluruhannya berjumlah kira-kira 300,000 kontena sejuk beku, ramal Seabury, penganalisis perkapalan dan pengangkutan antarabangsa. Selama bertahun-tahun, China sehingga kini merupakan satu-satunya negara yang mengeluarkan kontena sejuk beku.

"MCI merupakan pembekal strategik untuk Maersk Line. Pengeluaran kontena sejuk beku Star Cool di Chile bermakna kami dapat menggunakannya serta merta tanpa perjalanan penempatan semula yang kosong. Ia akan membantu kami mewujudkan peluang perniagaan baharu di Pantai Barat Amerika Selatan," kata Søren Toft, Ketua Pegawai Operasi Maersk Line.

Bagi para peladang tempatan, akses yang hampir kepada teknologi sejuk beku Star Cool Integrated membuka ruang kepada liputan pasaran yang lebih luas dan dapat menjadi pemangkin untuk eksport keluaran segar dari Amerika Selatan. Jentera penyejukan Star Cool bukan sahaja dapat memberikan servis kargo pada suhu sejuk beku dengan penggunaan tenaga terendah, perkhidmatan tambahan sistem "Atmosfera Terkawal" juga telah terbukti dapat membawa buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam jarak lebih jauh, seperti pisang, avokado, mangga dan asparagus.

"Kami berharap dapat terus mengaplikasikan penyelesaian sejuk beku canggih kami untuk keperluan kargo tertentu dalam industri buah-buahan tempatan. Kami berada dalam pasaran ini untuk jangka masa panjang dan 1,000 orang kakitangan kami beriltizam sepenuhnya untuk memastikan pengeluaran bertaraf dunia yang berterusan," kata Stig Hoffmeyer.

"Kilang MCI baharu kami merupakan pelaburan padang hijau USD 200 juta yang strategik. Dalam tahun-tahun mendatang, kami akan meningkatkan pengeluaran secara berperingkat kepada 25,000 kontena sejuk beku setahun dengan memberi keutamaan penuh kepada keselamatan dan kualiti. Kilang ini direka untuk potensi jualan akan datang iaitu sebanyak 40,000 kontena sejuk beku menjelang tahun 2020, semuanya di bawah satu bumbung," sambung beliau.

Latar Belakang Maersk Container Industry

Maersk Container Industry A/S (MCI) membangunkan dan mengeluarkan kontena sejuk beku, kontena kering dan jentera penyejukan Star Cool. Ibu pejabat MCI, termasuk kemudahan penyelidikan & pembangunan (R&D) dan ujian kejuruteraan terletak di Denmark. Syarikat itu memiliki kemudahan pengeluaran di China dan Chile. Produk terulung MCI, kontena sejuk beku Star Cool Integrated, menampilkan teknologi inovatif seperti Atmosfera Terkawal (CA) dan Pengudaraan Automatik (AV+). Ia diiktiraf secara meluas sebagai kontena sejuk beku paling menjimatkan tenaga yang terdapat di pasaran. MCI menggaji sekitar 5,500 orang kakitangan dan mempunyai rangkaian global dengan lebih 350 penyedia perkhidmatan. Bertujuan untuk memenuhi keperluan industri intermodal global, para pelanggan MCI terdiri daripada syarikat perkapalan, pengedar buah-buahan dan juga syarikat pemajakan. MCI merupakan unit perniagaan bebas daripada Maersk Group, konglomerat sedunia dengan hampir 89,000 orang pekerja dan mempunyai beberapa buah pejabat di 130 buah negara.

Maklumat lanjut: http://www.mcicontainers.com

Latar Belakang Maersk Container Industry San Antonio

Kemudahan pengeluaran Maersk Container Industry di San Antonio (MCIS) mengeluarkan kontena sejuk beku dan jentera penyejukan Star Cool. Kilang baharu itu memulakan pengeluaran pada tahun 2015 dan menggaji sekitar 1,000 orang. Ia merupakan kilang pertama seumpamanya di Amerika Selatan. Kemudahan itu telah direka untuk mengeluarkan sehingga 40,000 kontena sejuk beku dan jentera penyejukan Star Cool setiap tahun. Kedudukan geografinya adalah signifikan. Kedudukannya yang berhampiran dengan pengeksport makanan rantau ini dan pengurangan radikal dalam kos penempatan semula kontena sejuk beku kosong bermakna MCIS memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar daripada operasi intermodal global.

Latar Belakang Maersk Line

Maersk Line merupakan syarikat perkapalan kontena terbesar dunia, yang dikenali kerana perkhidmatan yang andal, fleksibel dan eko-cekap. Kami menyediakan pengangkutan lautan di semua bahagian dunia. Kami memberi khidmat kepada pelanggan kami melalui 374 buah pejabat di 116 buah negara. Kami menggaji seramai 7,100 pelayar dan 23,000 pekerja yang berpangkalan di darat dan mengendalikan 619 buah kapal kontena. Kami memasarkan perkhidmatan kami melalui jenama Maersk Line, Safmarine dan SeaLand (Intra-Amerika). Maersk Line merupakan syarikat pegangan untuk MCC Transport (Intra-Asia) dan Seago Line (Intra-Eropah). Maersk Line merupakan sebahagian daripada Maersk Group, beribu pejabat di Copenhagen, Denmark. Kumpulan ini menggaji lebih 89,000 orang kakitangan di sekitar 130 buah negara. Hasil tahun 2014: USD 48 bilion.

 (Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151111/286190)

SUMBER Maersk Container Industry

Source: Maersk Container Industry
Keywords: Food/Beverages Paper/Forest Products/Containers New products/services