PETALING JAYA, Malaysia, 4 Januari 2016 /PRNewswire/ -- Dalam satu kenyataan hari ini, Pacific Mutual Fund Bhd, sebuah syarikat pengurusan pelaburan di bawah OCBC Group, dengan sumber dalaman untuk mengurus kedua-dua pelaburan tempatan dan global, kekal optimistik terhadap pasaran ekuiti pada tahun 2016, tetapi akan berhati-hati dalam langkah-langkah pelaburannya.
Menurut ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai pelaburan dan pengarah eksekutif syarikat, Teh Chi-cheun, sikap berhati-hati ini berpunca dari penyusutan berterusan harga komoditi dan ekonomi Asia, terutamanya pertumbuhan negara China dan pasaran sahamnya yang telah menjunam.
"Walaupun penyusutan harga minyak mentah merupakan petanda baik bagi negara-negara pengimport tenaga yang terdiri daripada sebahagian besar dunia, penyusutan harga komoditi bukan tenaga agak negatif bagi kebanyakan negara membangun yang bergantung kepada komoditi seperti ini untuk tujuan eksport dan pertumbuhan KDNK. Tambahan pula, turun naik mata wang dijangka akan berterusan pada tahun 2016, tetapi tidak seteruk tahun 2015," kata Teh.
"Kami bersikap optimistik kerana ekuiti global dijangka akan meningkat memandangkan pertumbuhan ekonomi AS memuaskan dengan kecairan yang mencukupi didorong oleh pelonggaran kuantitatif oleh Eropah dan Jepun serta pelonggaran kewangan di Asia, terutamanya oleh negara China. Walaupun penilaian pasaran ekuiti semakin meningkat, ia belum lagi mencapai tahap yang terlalu tinggi," tambah Teh.
Bursa tempatan juga dijangka teguh disokong oleh kecairan tempatan yang mencukupi dan pegangan saham asing yang rendah (22.2% pada akhir bulan Oktober 2015 berbanding 23.8% pada bulan Disember 2014). Terdapat juga aliran masuk wang yang berterusan ke dalam pelbagai dana kerajaan dan dana berkaitan kerajaan yang perlu dilabur dalam bursa tempatan, dan penyaluran RM20 bilion ke dalam ValueCAP adalah positif untuk pasaran.
Memandangkan pasaran yang semakin tidak menentu pada tahun 2016, Pacific Mutual akan menumpukan langkah-langkah pelaburannya khususnya pada penilaian, kecairan, dasar-dasar dan peristiwa (seperti penghapusan sekatan ke atas Iran yang mungkin berlaku pada suku kedua 2016 dan pilihan raya Presidensi AS pada akhir tahun 2016).
Dalam kenyataan yang sama, Pacific Mutual juga mengumumkan pengagihan pendapatan berjumlah RM16.8 juta untuk tiga Dananya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015:
| Pacific Dividend Fund |
- |
5.00 sen seunit |
| Pacific AsiaPac Income Fund |
- |
2.00 sen seunit |
| Pacific Cash Fund |
- |
0.40 sen seunit (agihan suku tahunan) |
PACIFIC MUTUAL FUND BHD adalah anak syarikat Lion Global Investors Limited (dahulu dikenali sebagai Lion Capital Management Limited), sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura pada tahun 1986. Kedua-dua Pacific Mutual dan Lion Global Investors adalah ahli OCBC Group. Pada akhir bulan Disember 2015, Pacific Mutual mengurus hampir RM1.5 bilion bagi pihak pelabur unit amanahnya dan pelanggan mandat persendirian.
HUBUNGAN MEDIA:
Cindy Leong
+603-7725-9877 sambungan 238
cindy@pacificmutual.com.my
Cindy Thean
+603-7725-9877 sambungan 226
cthean@pacificmutual.com.my