SAN MATEO, Calif., 28 Jan. 2016 /PRNewswire/ -- Drawbridge, syarikat identiti digital tanpa nama (anonymized digital identity) terkenal, dan Miaozhen Systems, firma teknologi pemasaran data pihak ketiga yang terkemuka dari China, hari ini mengumumkan perkongsian eksklusif, yang melalui kerjasama ini, Miaozhen akan menggunakan teknologi Drawbridge untuk membina graf khas bagi mewujudkan satu perkhidmatan penyasaran, pengukuran dan atribusi silang peranti kepada pelanggan dalam sektor kesihatan dan sains, makanan dan minuman, penjagaan peribadi, automotif, teknologi dan lain-lain. Perkongsian ini juga akan menggabungkan liputan 1.5 bilion peranti mudah alih dan komputer meja yang luas menerusi Connected Consumer Graph™ milik Drawbridge dan algoritma pembelajaran mesin untuk mewujudkan penyelesaian identiti silang peranti tanpa nama berskala besar yang pertama untuk pasaran China.
"Matlamat kami adalah untuk menjadi piawaian sejagat bagi identiti digital, dan kejayaan untuk memasuki pasaran China bersama Miaozhen sebagai rakan kami adalah langkah yang hebat untuk membolehkan sesuatu jenama, agensi, dan pemasar digital menyampaikan produk mereka melalui Internet yang dijanjikan menjadi amat diperibadikan," kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Drawbridge, Kamakshi Sivaramakrishnan. "Kami sangat teruja untuk membawa Connected Consumer Graph ke dalam pasaran pengiklanan kedua terbesar di dunia bersama peneraju pasaran ini."
"Keputusan untuk bergandingan bersama Drawbridge untuk memberi akses Connected Consumer Graph kepada pemasar di China adalah sejajar dengan visi kami untuk memacu kemajuan data dan teknologi yang menjadi tunjang kepada sektor pemasaran di China," kata Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Miaozhen Systems, Wu Minghui, "Kami berbangga untuk menawarkan peluang pertama dan satu-satunya untuk menggunakan data silang peranti bagi tujuan penyasaran, pengukuran, dan atribusi di China."
Connected Consumer Graph daripada Drawbridge dibina menggunakan teknologi kebarangkalian yang meneliti pola akses pengguna, maklumat demografi, segmen kecenderungan, dan maklumat lain untuk membuat ramalan tentang pengguna serta status pemilikan peranti itu. Drawbridge memantau lebih 50 bilion aktiviti sehari untuk menghasilkan Connected Consumer Graph ini.
Rakan kongsi seperti Miaozhen kini boleh memilih menggunakan graf khas dan peribadi yang dihoskan daripada prasarana mereka sendiri, menggunakan data proprietari seperti maklumat pengguna berizin dan pautan peranti berketentuan. Fungsi graf peribadi memanfaatkan algoritma proprietari Drawbridge yang menghubungkan silang peranti untuk menjana graf khas serta berskala besar dengan manfaat tambahan iaitu menjaga kerahsiaan data rakan kongsi dan mengasingkannya daripada Connected Consumer Graph yang biasa.
Miaozhen Systems memberi tumpuan untuk memberikan perkhidmatan pemasaran korporat yang lebih berkesan dan cekap, berasaskan data objektif serta penyelesaian teknologi yang inovatif. Produk penyelesaian data besar syarikat tersebut, Miaozhen Marketing Cloud, membantu pengiklan, agensi, dan penerbit dalam talian menilai serta mengoptimumkan pelaburan media dalam talian selain menambah baik sasaran dan sasaran semula bagi meningkatkan pulangan pelaburan. Jenama-jenama global terkemuka termasuk Procter & Gamble, Microsoft, Volkswagen, L'Oreal, Coca-Cola, Xiaomi, Huawei, Yili dan Haier menggunakan produk dan penyelesaian daripada Miaozhen Systems.
Latar Belakang Drawbridge
Drawbridge ialah sebuah syarikat identiti silang peranti tanpa nama yang membangunkan teknologi yang merubah cara sesebuah jenama berhubung dengan pengguna. Produk Connected Consumer Graph™ Drawbridge melibatkan lebih satu bilion pengguna daripada tiga bilion peranti, dan baru-baru ini diperakui ketepatannya sebanyak 97.3% oleh pihak Nielsen. Jenama-jenama boleh menerima khidmat Drawbridge melalui tiga cara: dengan memperoleh lesen Connected Consumer Graph Drawbridge untuk digunakan pada data silang peranti; mengurus kempen pengiklanan silang peranti pada masa nyata menggunakan Platform Silang Peranti Drawbridge; atau bersama-sama Drawbridge untuk menjalankan kempen silang peranti. Syarikat itu beribu pejabat di Silicon Valley dan menerima sokongan daripada Sequoia Capital, Kleiner Perkins Caufield and Byers, dan Northgate Capital, serta diangkat sebagai syarikat pemasaran dan pengiklanan paling pesat berkembang dan juga berada pada kedudukan keenam dalam senarai 2015 Inc. 5000. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.drawbridge.com.
Latar Belakang Miaozhen Systems
Miaozhen Systems adalah syarikat teknologi data pemasaran pihak ketiga yang terkemuka di China. Aktiviti kami tertumpu pada pemasaran korporat yang cekap berdasarkan data yang objektif dan melalui penyelesaian teknologi yang inovatif. Ditubuhkan pada tahun 2006, Miaozhen Systems mempunyai ibu pejabat di Beijing, dan beberapa pejabat cawangan di Shanghai, Guangzhou, Yantai, Singapura serta AS.
Miaozhen Systems menyediakan penyelesaian pemasaran digital keseluruhan, Miaozhen Marketing Cloud, yang mengintegrasikan pengesanan iklan, pengoptimuman belanjawan, analisis, DMP, penayangan iklan berprogram dan pengautomatan pemasaran,untuk membantu pelanggan meningkatkan pulangan pelaburan. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.miaozhen.com.
Gambar - http://photos.prnasia.com/prnh/20160127/0861600867-a