omniture

Gordagen Berjaya Dapatkan Perintah Penggulungan terhadap Felda Wellness Corporation

- Felda Wellness Corporation, anak syarikat milik penuh FELDA Group, berhutang berjumlah $652,083.60 dengan Gordagen Pharmaceuticals Pty. Ltd. dan anak syarikat milik penuhnya Gordagen Pharmaceuticals Manufacturing Pty. Ltd.
- Gordagen dan anak syarikatnya memohon perintah berkanun dikeluarkan diikuti dengan petisyen penggulungan di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana kegagalan Felda Wellness Corporation membayar hutang mengikut ketetapan.
- Gordagen berjaya mendapat perintah penggulungan daripada Mahkamah Tinggi Malaysia terhadap Felda Wellness Corporation.
Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd
2016-03-10 18:15 352

MELBOURNE, Australia, 10 Mac 2016 /PRNewswire/ -- Gordagen Pharmaceuticals Pty. Ltd., syarikat milik persendirian yang mengkomersialkan produk nutraseutikal dan farmaseutikal berasaskan pembuktian, mendapat perintah penggulungan daripada Mahkamah Tinggi Malaysia terhadap Felda Wellness Corporation (FWC), sebuah anak syarikat milik penuh FELDA pada 3 Mac 2016.

Prosiding penggulungan bermula apabila FWC, setelah beberapa kali diminta oleh Gordagen dalam tempoh melebihi 14 bulan, enggan membayar hutang sebenar dan hutang diakui berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Gordagen dan anak syarikatnya, Gordagen Pharmaceuticals Manufacturing (GPM). Perkhidmatan ini diberikan kepada FWC di bawah arahan nyata daripada mantan pengarah FWC dan juga mantan Timbalan Ketua Pengarah FELDA Group, Muhammad Sufi Mahbub; dan Ketua Pegawai Eksekutif FWC, Mohd Nasir bin Shafion. FWC, melalui dua pegawai kanan ini, melaksanakan perjanjian berkontrak yang mengikat FWC untuk membuat pembayaran dan pembayaran balik semua perbelanjaan yang dibuat oleh Gordagen dan GPM dalam penyediaan perkhidmatan ini.

Paling penting, di bawah perjanjian berkontrak yang dibuat oleh Mohd Nasir bin Shafion bagi pihak FWC, dana yang diperoleh daripada FWC digunakan untuk membayar kos penggajian dan perbelanjaan sara hidup anak perempuan Muhammad Sufi Mahbub, Athirah Sufi ketika beliau tinggal di Australia. Segala persiapan dimulakan dan diselaraskan oleh pegawai FWC, Mohd Nasir bin Shafion dan Muhammad Sufi Mahbub, bagi pihak FWC. Walau bagaimanapun, semasa prosiding penggulungan, atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh FWC, ia cuba untuk membuat kenyataan yang tidak benar kepada Mahkamah yang perjanjian berkontrak ini di luar pengetahuan mereka.

Setelah beberapa cubaan Gordagen untuk merundingkan persetujuan penyelesaian hutang dalam tempoh 14 bulan lalu, penasihat undang-undang Gordagen dan GPM Malaysia mengeluarkan perintah berkanun berdasarkan Seksyen 218 Akta Syarikat Malaysia 1965 kepada FWC pada 20 Ogos 2015. FWC tidak mengendahkan perintah berkanun ini, dan hutang masih tidak dilunaskan.  Gordagen memohon petisyen penggulungan di Mahkamah Tinggi Malaysia pada 14 September 2015.

"FWC ialah pemegang saham Gordagen dan ia adalah sebuah anak syarikat milik penuh badan berkanun penting di Malaysia, FELDA, dan Gordagen telah menggunakan semua opsyen yang ada sebelum memulakan prosiding penggulungan di mahkamah. Jumlah wang yang terlibat ini terlalu besar untuk syarikat biofarmaseutikal yang dalam peringkat pembangunan seperti Gordagen hapus kira sebagai hutang lapuk dan pihak Lembaga Pengarah tiada pilihan lain selain memulakan prosiding di mahkamah," kata Dr. Glenn Tong, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Gordagen.

Semasa prosiding penggulungan, banyak bukti kukuh termasuk beberapa e-mel daripada Mohd Nasir bin Shafion dan Athirah Radzali (akauntan FWC) kepada Gordagen berserta pengesahan hutang secara bertulis daripada juruaudit FWC Price Waterhouse Coopers Malaysia, dikemukakan oleh peguam Gordagen kepada Mahkamah yang dengan jelas menunjukkan FWC menerima dan mengakui sepenuhnya hutang sebenar tersebut dan mereka tidak menimbulkan sebarang pertikaian yang sah berkaitan hutang itu. Kemudiannya, ketika prosiding mahkamah, FWC membuat beberapa kenyataan yang tidak konsisten dengan bukti yang dikemukakan oleh Gordagen.

 "Tindakan FWC setakat ini amat mengecewakan kerana sebuah anak syarikat milik penuh daripada badan berkanun Kerajaan Malaysia diharapkan dapat menjadi model warga korporat dan model litigan. Sebaliknya, mereka gagal membayar hutang besar yang tertunggak dan berhutang kepada Gordagen serta GPM.  Disepanjang prosiding penggulungan di mahkamah ini, pegawai FWC bersedia mengatakan dan melakukan apa sahaja, walaupun terpaksa mengelirukan Mahkamah dan pihak kami dengan sengaja, untuk mengelakkan daripada hutang itu," kata Dr. Glenn Tong

Pertanyaan berkaitan Media:

Syarikat

Dr Glenn Tong

Pengarah Urusan & KPE

Tel: +61 (0) 412 193 350

Latar Belakang Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd 

Gordagen Pharmaceuticals ialah sebuah syarikat persendirian Australia yang membangunkan dan mengkomersialkan makanan tambahan baharu serta ubat-ubatan preskripsi berasaskan tokotrienol yang terdapat dalam vitamin E. Syarikat tersebut membangunkan pendekatan baharu bagi menyediakan tokotrienol yang sangat berkesan menyasarkan tisu menggunakan teknologi penghantaran "melt-then-swallow" (MELT3TM) yang proprietari dan sedang menunggu paten. Syarikat ini memfokuskan tokotrienol yang memiliki potensi terapeutik yang luas, bermula dengan menumpukan kesihatan jantung, kesakitan otot dan latihan daya tahan. www.gordagen.com

Source: Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Legal issues