SHANGHAI, 16 Mac 2016 /PRNewswire/ -- Pada 12 Mac 2016, Kolej Ekonomi & Pengurusan Antai (ACEM), Universiti Shanghai Jiao Tong dan Kolej Perniagaan IE mengumumkan pelancaran program dwiijazah, satu langkah maju ke hadapan yang penting dalam perkongsian strategik antara kolej-kolej perniagaan itu. Dekan ACEM Prof. Lin Zhou dan Dekan Kolej Perniagaan IE Profesor Santiago Iñiguez berucap di hadapan hadirin terpilih yang terdiri daripada pelajar, alumni, dan pihak media pada acara itu.
ACEM merupakan satu-satunya kolej rakan kongsi IE serta yang pertama di tanah besar China yang mewujudkan program dwiijazah; program dwiijazah MBA dan program dwiijazah MIB-MIM. Program ini membolehkan para pelajar mendapat ijazah daripada kedua-dua institusi berkedudukan tinggi ini, dan mendapat pemahaman mendalam perspektif China dan Eropah tentang perniagaan global.
Program ini memudahkan lagi perkongsian sumber fakulti, alumni dan hubungan korporat, dua kolej perniagaan utama yang berganding bahu untuk menyediakan program yang terbaik serta membangunkan bakat perniagaan berwawasan global. Program MBA serta Ijazah Sarjana Pengurusan Antai masing-masing menduduki tempat ke-39 dan ke-36 seluruh dunia menurut Financial Times, dan kedua-duanya menduduki tempat pertama bagi kolej perniagaan domestik.
"ACEM dan IE sudah lama bekerjasama erat. Kedua-dua kolej menegaskan dan menggalakkan pendidikan inovasi dan keusahawanan. Saya gembira dapat menyaksikan sendiri pelancaran program dwiijazah ini dan pembangunan pemimpin perniagaan masa hadapan," kata Prof. Lin Zhou.
"IE menghargai kerjasama dengan rakan sejawat China mereka dan program dwiijazah ini merupakan hasil usaha gigih selama bertahun-tahun lamanya. Sepanyol, lokasi Kolej Perniagaan IE, menghubungkan Eropah dengan Amerika Latin, sementara ACEM pula terletak di pusat kewangan China. Kami berharap dapat mendalami inti pati ilmu pengetahuan perniagaan barat serta timur agar dapat mendidik pemimpin perniagaan berimpak tinggi dengan perspektif global," kata Prof. Santiago Iñiguez lagi.
ACEM merupakan kolej perniagaan pertama di tanah besar China yang melancarkan pendidikan keusahawanan dan telah membangunkan sistem pendidikan tiga langkah iaitu "teori-persaingan-amalan". Sejak ia dilancarkan pada 2002, Pertandingan Keusahawanan MBA telah menjadi pertandingan yang penting. Dalam tiga tahun lepas, Tabung Keusahawanan MBA ACEM telah membiayai 37 projek, dan telah menyumbang sejumlah 11 juta yuan.
Program Ijazah Sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa Antai berfokus kepada mempelajari perniagaan di China. Populasi pelajar yang mengikuti program ini datang dari pelbagai latar belakang dari lebih 30 negara merentasi benua Asia, Amerika Utara, Eropah, Afrika, dengan lebih 70% daripada mereka datang dari negara barat.