omniture

Majlis Pembukaan Baselword 2016

Baselworld / MCH Group
2016-03-21 10:06 281

BASEL, Switzerland, 21 Mac 2016 /PRNewswire/ -- Baselworld 2016, pameran yang tersohor di seluruh dunia sebagai platform unik industri jam tangan dan barangan kemas, dibuka hari ini dengan disaksikan Ahli Majlis Persekutuan Switzerland Simonetta Sommaruga. Dengan penyertaan 1,500 jenama paling terkenal dan berprestij di dunia, dan dihadiri lebih 4,000 wartawan yang mewakili media tradisional serta baharu dari seluruh dunia, Baselworld 2016 sekali lagi sudah siaga untuk menawan hati dan minda para profesional serta pengguna dari seluruh dunia. Baselworld 2016 akan berlangsung dari 17 ke 24 Mac 2016. 

BATU LONCATAN GLOBAL UNTUK INOVASI DAN CIPTAAN YANG MENATA GAYA

Tiada yang setanding Baselworld dalam penyediaan platform unik bagi pemain utama penting dari dunia jam tangan dan barangan kemas, intan berlian, batu permata, mutiara, mesin dan bekalan untuk berkumpul di bawah satu bumbung. Ia merupakan titik tumpuan tahunan bagi kira-kira 150,000 profesional dari lebih 100 negara yang berhimpun di Basel bagi menentukan tunjang industri, mendapat ilham daripada inovasi dan ciptaan yang dipamer dengan gahnya di kawasan seluas 141,000 m persegi, menemui trend ikutan baharu, dan mendapatkan koleksi terkini daripada 1,500 jenama paling terkenal dan berprestij seluruh dunia. Selama lapan hari dalam setahun, Baselworld umpama tunjang utama seluruh industri ini. Impak yang dicetuskan Baselworld bergema di seluruh dunia apabila berita tentang ciptaan terbaharu tersebar ke setiap pelosok bumi dan koleksi baharu yang dinanti-nantikan akhirnya tiba ke destinasi akhir mereka dan menghiasi jendela pameran gedung membeli-belah mewah di bandar-bandar terkemuka seluruh dunia.

SATU PENCAPAIAN GEMILANG DALAM SEJARAH 100 TAHUN MCH GROUP

Encik René Kamm, Ketua Pegawai Eksekutif MCH Group, mengalu-alukan Ahli Majlis Persekutuan Switzerland Simonetta Sommaruga, dan berbesar hati kerana beliau sudi merasmikan Baselworld 2016. Tahun ini adalah tahun yang istimewa untuk MCH Group kerana ia meraikan ulang tahun ke-100 Mustermesse Basel (Muba) mereka yang pertama, Encik Kamm mengimbau sejarah pameran yang merupakan titik bermulanya penubuhan kumpulan itu serta tempat kelahiran industri pameran Switzerland yang moden. Beliau memberi penghormatan istimewa kepada Baselworld, dan berkata betapa beliau gembira dan berbangga dengan pencapaian pameran itu yang telah maju daripada sekadar pesta kecil-kecilan jam Switzerland dalam Muba, sehingga kini ia telah "berevolusi ke status semasanya sebagai platform unggul untuk keseluruhan industri." Namun begitu, beliau menekankan yang usaha untuk "mengekalkan peranan kepimpinan ini diperjuangkan dengan penuh jerih, dan Baselworld masih terus menyepadu dan mengukuhkan kedudukan kepimpinannya tahun demi tahun – satu ciri yang sudah jarang ditemui yang perlu ditonjolkan." Beliau turut menyentuh tentang keadaan ekonomi menggusarkan yang sedang dihadapi seluruh dunia serta industri ini, namun selepas itu beliau menekankan lagi keyakinan beliau dalam industri ini dengan berkata, "Apabila keghairahan itu wujud, keinginan untuk mengatasi cabaran akan sentiasa menang. Industri jam tangan serta barangan kemas sudah pun memiliki keghairahan dan kekuatan untuk menangani semua cabaran ini."

SATU PAMERAN UNIK DI TUNJANG UTAMA KESELURUHAN INDUSTRI

"Selama lapan hari setahun, Baselworld umpama tunjang utama bagi keseluruhan industri yang berkumpul di sini bagi menentukan nadi perniagaan dan gaya ikutan," kata Cik Sylvie Ritter, Pengarah Urusan Baselworld. Beliau memberikan beberapa fakta dan angka yang mengagumkan yang menjadikan Baselworld begitu unik, dan menekankan kenapa tiada pameran lain yang setanding dengan Baselworld. "Tiada acara lain dalam dunia ini yang menghimpunkan sebegitu banyak jenama yang terkenal dan berprestij; tiada pameran jam tangan atau barang kemas lain dalam dunia ini yang menarik 150,000 pengunjung dari lebih 100 negara, atau memberi impak media, kecuali Baselworld. Setiap tahun, pameran ini menjana faedah ekonomi bernilai dua bilion Swiss Franc, serta mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan." Beliau turut menyentuh hakikat situasi ekonomi dan politik dunia hari ini yang suram dan penuh ketidakpastian, namun Cik Ritter meyakinkan bahawa kunjungan ke Baselworld dan menyaksikan sendiri keunggulannya, akan menyedarkan semua bahawa "sektor pembuatan jam tangan dan barang kemas berkemampuan tinggi untuk memberi tindak balas bersesuaian, mengambil kira situasi baharu, dan menyesuaikan diri. Dalam erti kata lain, untuk mengekalkan momentum mereka sejak dulu lagi." Kedinamikan inilah yang telah membantu industri ini mencapai tahap yang tidak terjangkau dek akal fikiran 10 tahun lalu.

Berkenaan situasi ekonomi semasa pula, Cik Ritter bercakap tentang ketidakpastian yang dirasai segelintir pempamer, khususnya pengusaha perniagaan kecil dan sederhana yang malangnya mungkin tidak berkemampuan untuk bertahan dengan kemerosotan permintaan dalam jangka masa sederhana ini. Namun begitu, yang penting sekali, kebanyakan pempamer masih kekal setia dengan Baselworld walaupun keadaan ini mengehadkan kehadiran mereka di lokasi lain. Cik Ritter mengakhiri ucapan beliau dengan menegaskan yang pameran ini akan bekerja tanpa jemu bagi mencerminkan keperluan dan keinginan industri, sebagai penghargaan kepada keyakinan pempamernya yang setia, "kerana mereka sudah tahu yang kami akan sentiasa mengorak langkah ke hadapan, akan terus melabur bagi masa hadapan, dan akan meningkatkan lagi kualiti dan tarikan pameran ini bagi menguatkan kedudukan penerajunya."

IMPAK BASELWORLD BERGEMA KE SELURUH DUNIA LALU MELETAKKAN BASEL SEBAGAI TUMPUAN MATA DUNIA

Ahli Majlis Kanton Basel-Stadt, Christoph Brutschin, mengalu-alukan kehadiran para tetamu dan menyampaikan ucapan selamat beliau daripada pihak kerajaan Basel-Land dan Basel-Stadt. Walaupun beliau mengakui keadaan sukar yang kini dialami dunia, Encik Brutschin memberi sorotan kepada peluang dalam dunia yang kini berada di ambang zaman perindustrian baharu dengan trend pendigitalan. Dengan pemerolehan data yang dikumpulkan dan digunakan bagi tujuan penyelidikan, serta untuk kemajuan produk pengguna baharu, hakikatnya kemajuan ini juga turut mempunyai potensi untuk memacu industri pembuatan jam tangan bagi menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu. Bercakap tentang kehebatan teknologi banyak jenama yang terkenal, Encik Brutschin memuji-muji jenama mewah buatan tangan yang memerlukan ketelitian berjam-jam lamanya, yang "mempesonakan kita daripada segi namanya, bentuknya, bahan berharganya, serta keseimbangan reka bentuknya." Beliau menggelarkannya sebagai "kehebatan mekanikal" yang "membangkitkan keghairahan dan menggamit minat baik pakar mahu pun amatur dan pengumpul", seraya menambah yang beliau tidak sabar-sabar lagi mahu melihat apa proses dan produk baharu yang bakal dihasilkan pada masa hadapan, kerana beliau tahu yang industri ini tentu akan mencuba sedaya upaya untuk mengukir masa hadapan yang cemerlang. Akhirnya,Encik Brutschin menyatakan betapa bangganya beliau serta masyarakat Basel kerana pameran Baselworld masih berjaya mengungguli semua keadaan ekonomi bergelora sebelum ini, dan tahun demi tahun, ia terus bertkembang menjadi satu pameran yang tidak boleh dilepaskan oleh keseluruhan industri.

Majlis pembukaan untuk platform terunggul bagi industri jam tangan dan barangan kemas, Baselworld disempurnakan Ahli Majlis Switzerland Simonetta Sommaruga yang turut sudi menyampaikan ucapan kepada para hadirin.

BASELWORLD 2016 BERLANGSUNG PADA 17-24 MAC 2016

Bahan bergambar untuk Baselworld boleh dimuat turun secara percuma di: baselworld.com

Hubungan Media: Loraine Stantzos
Internet: baselworld.com
E-mel: press@baselworld.com
+41-58-206-22-64
Facebook: facebook.com/baselworld
Twitter: twitter.com/baselworld
Weibo: weibo.com/baselworld

Source: Baselworld / MCH Group
Keywords: Fashion Retail Trade show news