NEW YORK, 7 April 2016 /PRNewswire/ -- Nespresso dan TechnoServe, iaitu pertubuhan pembangunan bukan berasaskan keuntungan, dengan sukacitanya mengumumkan satu kerjasama baharu bersama Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bagi menggalakkan usaha untuk membina semula industri kopi di negara baharu Sudan Selatan dan meningkatkan kehidupan pekebun kopi. USAID akan melabur sebanyak $3.18 juta sepanjang tiga tahun projek itu yang kini telah pun membantu menghidupkan semula industri kopi Sudan Selatan, mempelbagaikan pasaran eksport negara dan meningkatkan pendapatan isi rumah untuk pekebun kecil yang mengusahakan kopi.
(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20160406/352009 )
Sejak tahun 2011, Nespresso dan TechnoServe telah bekerjasama secara langsung dengan pekebun tempatan bagi menghidupkan semula aktiviti pengeluaran kopi yang berkualiti tinggi di Sudan Selatan, di samping membangunkan saluran komersial bagi menggalakkan jualan dan eksportnya. Nespresso sudahpun melabur sebanyak lebih $2.5 juta dalam projek tersebut. Industri kopi negara itu musnah akibat perang saudara yang berterusan selama beberapa tahun. Kini, minyak merangkumi 99 peratus daripada eksport negaranya.
Sehingga kini, lebih 700 pekebun terlibat dalam Program AAA Sustainable Quality™ Nespresso yang menyediakan sokongan, latihan dan bantuan teknikal bagi tujuan meningkatkan kemampanan dan produktiviti, di samping mengekalkan mutu kopi yang berkualiti tertinggi. Kilang basah (peralatan untuk mengolah buah kopi menjadi biji kopi) pertama Sudan Selatan telah pun ditubuhkan manakala hasil eksport kopi pertama dijual sebagai Nespresso Edisi Terhad di Perancis tahun lalu.
"Perkongsian baharu bersama USAID ini akan memainkan peranan penting bagi memacu kemajuan yang dibuat oleh Nespresso dan TechnoServe yang bekerjasama secara langsung dengan para pekebun Sudan Selatan," kata Jean-Marc Duvoisin, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Nespresso. "Dana yang disumbangkan akan membolehkan kami memperluas projek tersebut dan membantu lebih ramai pekebun untuk menanam dan menjual kopi yang berkualiti tinggi bagi pasaran eksport antarabangsa dengan harga yang tinggi, seterusnya mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik untuk para pekebun dan keluarga mereka."
George Clooney, Duta Jenama Nespresso mengulas, "Kopi ialah sumber pendapatan yang amat diperlukan oleh para pekebun di Selatan Sudan - sebuah negara yang musnah akibat perang. Pelaburan yang dibuat dalam pembangunan akar umbi dan pemerkasaan komuniti pekebun tempatan akan menyediakan asas bagi pembangunan ekonomi yang mapan. Komitmen yang ditunjukkan oleh USAID ini ialah bukti kukuh terhadap kepentingan program yang diwujudkan oleh Nespresso dan TechnoServe bersama masyarakat setempat selain membolehkannya menarik lebih ramai pekebun di lebih banyak kawasan di negara tersebut."
"Kewujudan program di Sudan Selatan ini membantu kami menanam semula pokok kopi yang habis musnah semasa berlakunya perang; dan sejak kami mula memulihara pokok kami dan menghantarnya ke kilang basah, kehidupan kami benar-benar berubah," kata pekebun kopi Sudan Selatan, Daniel Lomoro. "Kini, kami mampu menghantar anak-anak kami ke sekolah yang bagus dan menyediakan keperluan asas untuk keluarga. Semua ini tidak akan tercapai tanpa sebarang sokongan teknikal. Nespresso dan TechnoServe telah memberi kami kekuatan dan mengajar kami untuk bergantung kepada diri sendiri."
"Kami juga mendapati ia dapat membantu keluarga, membantu negara dan membawa banyak kebaikan," tambah pekebun Sudan Selatan Nicholas Taban Solomon. "Seseorang itu tidak lagi miskin seperti sebelum ini. Kadar kemiskinan semakin berkurangan dan anda dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik. Dengan itu, kami menasihatkan agar setiap orang menanam kopi bagi manfaat masa depan untuk membangunkan negara."
Sumbangan oleh USAID akan membantu memperluas prakarsa sedia ada bagi menyokong perkembangan dan rangkuman sektor kopi di Sudan Selatan dengan memperluas skala dan memastikan impak yang berpanjangan. Dana yang disumbangkan akan dapat memperluaskan program untuk komuniti baharu dan ini membolehkan lebih ramai pekebun di Sudan Selatan mendapat manfaat daripada kebangkitan semula industri kopi di Sudan Selatan.
Prakarsa tersebut bertujuan untuk menggandakan pendapatan daripada industri kopi dan meningkatkan daya tahan isi rumah. Menjelang tahun 2019, program tersebut akan melatih 1,500 pekebun Sudan Selatan dengan 25 peratus daripadanya terdiri daripada wanita, selain membantu membina sembilan buah kilang basah milik koperasi.
"Bagi sebuah negara yang terjejas akibat konflik yang teruk seperti Sudan Selatan, melabur dalam masyaratnya adalah satu langkah penting yang dapat membantu mereka meningkatkan kehidupan, mengurangkan kadar kemiskinan melampau dan memberi harapan masa depan," kata Pembantu Tadbir USAID untuk Afrika, Linda Etim. "Dengan membantu memperluas kejayaan yang dicapai oleh Nespresso dan TechnoServe dalam menambah baik kehidupan pekebun kopi Sudan Selatan, USAID memberi harapan pada saat yang amat sukar dan tidak menentu kepada penduduk Sudan Selatan. Kami bersemangat apabila melihat syarikat seperti Nespresso melabur untuk pertumbuhan jangka panjang di Sudan Selatan dan kami berharap dapat menjalin kerjasama bagi meningkatkan pertumbuhan dan peluang ekonomi di negara tersebut."
Dengan fokus untuk meningkatkan kehidupan para pekebun kecil, perkongsian ini juga melengkapi matlamat Kerajaan A.S. terhadap prakarsa kebuluran dan keselamatan makanan global, Feed the Future, bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan kekurangan zat makanan melalui pembangunan pertanian.
"Walaupun berdepan dengan kesukaran, pekebun kopi di Sudan Selatan telah menunjukkan keazaman yang luar biasa untuk mengubah masa depan anak-anak, masyarakat dan seterusnya, negara mereka," kata William Warshauer, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TechnoServe. "Dengan bekerja bersama kami dan Nespresso, mereka berbangga dapat berkongsi kopi mereka yang unik dengan dunia dan menyumbang kepada asas ekonomi yang lebih mapan untuk negara mereka. Melalui pertambahan dana daripada USAID, kopi berpotensi untuk menjadi salah satu daripada eksport bukan minyak terbesar Sudan Selatan yang dapat membawa kesan ekonomi dan politik yang penting serta positif pada masa depan."
Dana Inovasi Kemampanan Nespresso
Nespresso juga melancarkan Dana Inovasi Kemampanan Nespresso yang ditubuhkan bagi menggalakkan pelaburan daripada Nespresso melalui projek untuk menghidupkan semula asal usul kopi dan projek penyelarasan rantaian bekalan kopi yang melangkaui operasi perniagaan yang biasa dijalankan oleh syarikat. Nespresso membuat pelaburan awal sebanyak $10 juta dalam prakarsa rantaian nilai kopi yang khusus dan inovatif untuk tiga tahun akan datang (2016-2018).
Pengumuman ini dibuat sebagai sebahagian daripada mesyuarat tahunan kali keempat Lembaga Penasihat Kemampanan Nespresso.
Foto dan video tersedia di sini: http://www.nestle-nespresso.com/media/mediareleases/USAID-joins-Nespresso-and-TechnoServe-to-Support-South-Sudan-Coffee-Farmers
Latar Belakang Nestlé Nespresso SA
Nestlé Nespresso SA ialah perintis dan sumber rujukan untuk kopi dengan gred kualiti tertinggi. Beribu pejabat di Lausanne, Switzerland, Nespresso beroperasi di 64 buah negara dan mempunyai lebih 12,000 kakitangan. Pada tahun 2015, ia mengendalikan rangkaian perniagaan global yang terdiri daripada lebih 450 buah kedai yang eksklusif. Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang korporat Nespresso: http://www.nestle-nespresso.com .
Latar Belakang Program AAA Sustainable Quality™ Nespresso
http://www.nestle-nespresso.com/sustainability/the-positive-cup/coffee
Latar Belakang Lembaga Penasihat Kemampanan Nespresso
Latar Belakang TechnoServe
TechnoServe ialah peneraju dalam memanfaatkan kuasa sektor swasta bagi membantu orang ramai keluar daripada belenggu kemiskinan. Sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang beroperasi di 29 buah negara, kami berperanan dalam menggalakkan daya usaha golongan lelaki dan wanita di negara-negara yang sedang membangun untuk mewujudkan ladang, perniagaan dan industri yang kompetitif. Dengan menyediakan maklumat, modal dan pasaran kepada mereka, kami telah membantu berjuta-juta penduduk meningkatkan kehidupan secara berkekalan untuk keluarga mereka dan juga masyarakat. TechnoServe memperoleh penarafan 4 bintang daripada Charity Navigator sejak 10 tahun lalu, meletakkan kami dalam kedudukan 1 peratus terbaik dalam kalangan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menerima penarafan.
Dengan hasil terbukti selama hampir 50 tahun, TechnoServe yakin dengan kehebatan perusahaan persendirian dalam mengubah kehidupan. http://www.technoserve.org
Latar Belakang USAID
USAID ialah sebuah agensi Kerajaan A.S. terkemuka yang berperanan untuk membasmi kemiskinan global yang melampau dan memupuk masyarakat yang berdaya tahan dan demokrasi dengan merealisasikan potensi mereka. Mengiktiraf sumbangan kopi dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan menggalakkan kemajuan, USAID memperuntukkan sumber penting bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil yang menghasilkan kopi di Afrika, Amerika Latin dan Asia, khususnya melalui Feed the Future iaitu sebuah prakarsa berkaitan kebuluran dan keselamatan makanan oleh Kerajaan A.S. USAID ialah penderma terbesar untuk Sudan Selatan. USAID telah menyelaraskan bantuan pembangunan sejak berlakunya konflik sedia ada ini agar dapat memenuhi keperluan penduduk Sudan Selatan dengan cara terbaik. http://www.usaid.gov