"Persediaan Ujian TOEFL®: Panduan Berdasarkan Maklumat Dalaman" bakal dilancarkan pada Jun 2016
PRINCETON, New Jersey, 26 April 2016 /PRNewswire/ -- Bermula hari ini, anda boleh mula mendaftar bagi mengikuti Kursus Dalam Talian Terbuka Besar-Besaran (MOOC) TOEFL® melalui edX, destinasi pembelajaran dalam talian yang bukan berasaskan keuntungan, diasaskan oleh Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts. Kursus tersebut merupakan satu peluang unik buat anda agar dapat bersiap sedia menduduki ujian TOEFL® dan mempelajari kemahiran berbahasa Inggeris bagi memenuhi kriteria yang dicari-cari oleh universiti, agensi dan institusi dalam kalangan pemohon.
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20160421/358557LOGO
Persediaan Ujian TOEFL®: Panduan Berdasarkan Maklumat Dalaman, yang bakal bermula pada hari Isnin, 13 Jun 2016 ialah kursus yang dijalankan selama enam minggu, disediakan oleh pakar-pakar yang mencipta ujian TOEFL. Setiap minggu, kursus tersebut akan fokus terhadap aspek ujian yang berbeza. Pengenalan secara umum akan diadakan pada minggu pertama, diikuti dengan ujian yang dijalankan bagi empat kemahiran iaitu Membaca, Mendengar, Bertutur dan Menulis. Kursus ini berakhir pada minggu keenam dengan memberikan maklumat berkaitan hari ujian dan panduan penting yang lain.
Anda bakal mengikuti beberapa siri kuliah ringkas, termasuk video "Inside the TOEFL Test" bagi setiap soalan dan contoh soalan daripada ujian yang dijalankan sebelum ini, lengkap dengan penjelasan jawapan. Terdapat juga beberapa peluang untuk anda menjawab beberapa kuiz ringkas agar anda memperoleh sedikit gambaran tentang apa yang boleh dijangkakan pada hari ujian. Semasa kuliah berkaitan kemahiran Bertutur dan Menulis, pasukan yang menyediakan ujian TOEFL akan meneliti beberapa respons dan memberikan penilaian serta maklum balas. Anda juga berpeluang untuk bertemu dan berkongsi maklumat bersama para pelajar dari seluruh dunia menerusi forum perbincangan.
MOOC ialah tambahan terkini dalam portfolio persediaan ujian TOEFL dan menyediakan akses yang lebih luas kepada pencipta ujian TOEFL berbanding sebelum ini menerusi platform yang serupa kepada para pelajar. Anda juga bakal menerima ujian persediaan TOEFL tambahan sepanjang kursus tersebut agar lebih bersiap sedia menjelang hari ujian.
Anda akan memperoleh pemahaman yang lebih luas tentang setiap bahagian dalam ujian tersebut, selain mendapat panduan penting bagi mempersiapkan diri bagi menduduki ujian TOEFL. Anda juga akan mengetahui cara untuk mendaftar, bagaimana markah diberikan dalam ujian tersebut dan pusat pengajian yang menerima skor TOEFL.
Komitmen setiap minggu di MOOC adalah tidak lebih daripada dua jam pada setiap minggu. Walaupun kursus tersebut adalah percuma, anda juga boleh memilih untuk mendaftar sijil berbayar yang akan memberi tumpuan kepada pengetahuan dan kemahiran yang anda peroleh apabila tamat kursus di MOOC.
Kursus tersebut boleh diikuti menerusi sambungan Internet pada kebanyakan peranti. Jika anda berminat untuk mendapatkan skor TOEFL terbaik, sila layari https://www.edx.org/course/toeflr-test-preparation-insiders-guide-etsx-toeflx untuk mendaftar hari ini.
Latar Belakang Ujian TOEFL ®
Ujian akademik bahasa Inggeris TOEFL® ialah penilaian bahasa Inggeris yang paling diperakui secara meluas di seluruh dunia, serta diiktiraf di lebih 9,000 buah institusi yang berada di lebih 130 buah negara. Sehingga kini, lebih 30 juta pelajar telah menduduki ujian TOEFL. Maklumat lanjut tentang ujian TOEFL, termasuk pendaftaran, panduan belajar dan contoh soalan disediakan di laman sesawang TOEFL® Go Anywhere menerusi www.toeflgoanywhere.org.
Latar Belakang ETS
Di ETS, kami meningkatkan kualiti dan ekuiti dalam pendidikan untuk orang ramai di serata dunia dengan menghasilkan penilaian berasaskan penyelidikan yang teliti. ETS menyediakan perkhidmatan buat individu, institusi pendidikan dan agensi kerajaan dengan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan, bagi tujuan pensijilan guru, pembelajaran bahasa Inggeris serta pendidikan rendah, menengah dan setelah tamat sekolah menengah, menjalankan penyelidikan pendidikan, analisis dan juga kajian dasar. Ditubuhkan sebagai pertubuhan bukan keuntungan pada tahun 1947, ETS membangunkan, mengendalikan dan memberi markah kepada lebih 50 juta ujian setiap tahun — termasuk ujian TOEFL® dan TOEIC ®, ujian GRE® dan penilaian The Praxis Series ®— di lebih 180 buah negara dan di lebih 9,000 lokasi di seluruh dunia. www.ets.org