omniture

Agilent Technologies dan Universiti Monash Malaysia Merasmikan Makmal Bersama untuk Penyelidikan Sains Hayat

Makmal Biologi Integratif Baharu bakal meningkatkan peranan Malaysia sebagai hab global untuk penyelidikan integratif yang fokus terhadap isu-isu biologi khusus termasuk demam denggi, diabetes, kanser dan juga penyakit Alzheimer
Agilent Technologies
2016-04-27 08:00 409

PETALING JAYA, Malaysia, 27 April 2016 /PRNewswire/ -- Agilent Technologies Inc. (NYSE: A) dan Universiti Monash Malaysia hari ini mengumumkan perasmian makmal penyelidikan dan latihan bersama yang fokus terhadap penyelidikan proteomik, metabolomik dan berbilang-omik dalam sains hayat. Makmal Biologi Integratif (IBL) itu akan menyatukan kecemerlangan penyelidikan Monash dalam kajian protein, khususnya berkaitan penyakit seperti diabetes, kanser, penyakit Alzheimer dan demam denggi, bersama teknologi iFunnel terkini daripada Agilent. Kolaborasi ini dijangka akan membantu para saintis meningkatkan produktiviti makmal, seraya meningkatkan peranan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan sains hayat. 

Keempat dari kiri: Professor Iekhsan Othman, Timbalan Ketua Fakulti University Monash Malaysia (Penyelidikan); Robin Philp, Pengurus Akademik Asia Tenggara Agilent; Soh Lam Seng, Pengurus Jualan Penyelesaian Makmal Malaysia Agilent; Professor Shah Yasin, Ketua Interim Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah; Professor Dato' Dr. Anuar Zaini, Professor di Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah ; dan Selene Tan, Pengurus Akaun Strategik Agilent dengan kakitangan Monash.
Keempat dari kiri: Professor Iekhsan Othman, Timbalan Ketua Fakulti University Monash Malaysia (Penyelidikan); Robin Philp, Pengurus Akademik Asia Tenggara Agilent; Soh Lam Seng, Pengurus Jualan Penyelesaian Makmal Malaysia Agilent; Professor Shah Yasin, Ketua Interim Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah; Professor Dato' Dr. Anuar Zaini, Professor di Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah ; dan Selene Tan, Pengurus Akaun Strategik Agilent dengan kakitangan Monash.

Agilent akan menyediakan perkakasan dan perisian untuk IBL, selain latihan dan juga sokongan berterusan kepada kakitangan Universiti Monash Malaysia. Peralatan paling utama ialah spektrometer jisim Agilent 1290 UHPLC 6550 Q-TOF yang menghasilkan kepantasan, kepekaan dan ketepatan bagi meningkatkan hasil penyelidikan. Digabungkan dengan teknologi iFunnel, hasil inovasi Agilent yang dapat meningkatkan kadar pemindahan ion dengan pantas, instrumen tersebut mampu mencapai tahap pengesanan terendah bagi membantu penyelidik memanfaatkan sampel yang kompleks sepenuhnya.

"Dengan spektrometer jisim Agilent sebagai peralatan utama, makmal ini akan membantu mengukuhkan keupayaan penyelidikan proteomik, metabolomik dan molekul kecil yang sedia ada," kata Profesor Dato' Dr Anuar Zaini Md Zain, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah di Universiti Monash Malaysia.

"Kami berharap dapat mencapai tahap produktiviti, resolusi dan ketepatan jisim yang lebih tinggi penganalisaan sampel biologi termasuk peptida dan protein (proteomik); metabolit sel dan lipid (metabolomik); serta gabungan dan penyepaduan analisis berbilang-omik," tambah beliau.

"Keperluan terhadap analisis protein, peptida, lipid dan metabolit sel lain yang komprehensif, - dengan ciri-ciri kepantasan serta kepekaan - amat penting dalam kajian penyakit," kata Robin Philp, pengurus akademik Agilent bagi rantau Asia Tenggara. "Penubuhan IBL ini bukan sahaja dapat membantu penyelidik menangani cabaran penting dalam bidang biologi pada masa kini, bahkan ia dapat meningkatkan kemahiran saintis masa depan di Malaysia."

"Fakulti tersebut sedang menjalankan beberapa projek penyelidikan, khususnya berkaitan demam denggi yang dibiayai oleh geran dari dalam dan luar negara," tambah Profesor Anuar yang menyatakan geran tersebut membuktikan pentingnya usaha penyelidikan sedemikian terhadap Malaysia serta masyarakat negara sekeliling. Usaha penyelidikan oleh universiti tersebut juga melibatkan penyakit berjangkit dan kardiometabolik selain partikel nano dan juga neurosains.

Ditempatkan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash di Bandar Sunway, makmal tersebut akan digunakan oleh lebih 100 penyelidik dan pelajar Monash. Kemudahan tersebut juga akan mengadakan bengkel dan latihan untuk para saintis tempatan serta antarabangsa, yang dapat memanfaatkan komuniti penyelidikan bioperubatan dan klinikal di Malaysia dan juga Asia Tenggara. Agilent akan turut memberikan akses awal kepada aplikasi penyelidikan berasaskan mikrotatasusunan untuk Monash Malaysia selain berkolaborasi dengan universiti tersebut dalam reka bentuk mikrotatasusunan yang tertumpu kepada keperluan pemeriksaan dan juga projek penyelidikan yang khusus.  

Perasmian yang dibuat hari ini melanjutkan kerjasama antara Agilent dan Universiti Monash Malaysia dalam bidang penyelidikan sains hayat. Pada tahun 2011, kedua-duanya menubuhkan Pusat Perkhidmatan Mikrotatasusunan Berdaftar Monash-Agilent bagi menggalakkan pembangunan bakat serta kemahiran untuk penyelidikan genomik di Malaysia.

Latar Belakang Universiti Monash Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 1998, Universiti Monash Malaysia ialah usaha perluasan global Universiti Monash di rantau Asia. Universiti tersebut mempunyai keistimewaan sebagai konstituen Malaysia bagi universiti Australia terulung yang menjalankan penyelidikan secara intensif dengan kedudukan 100 universiti terbaik di dunia, dan merupakan anggota Kumpulan Lapan (Go8) yang berprestij di Australia. Universiti tersebut menawarkan pelbagai kursus profesional di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Sastera & Sains Sosial, Perniagaan, Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Perubatan & Sains Kesihatan, Farmasi dan Sains yang berkait rapat dengan keperluan sumber manusia di Malaysia dan rantau tersebut. Semua kursus diakreditasi di Malaysia dan Australia, bagi memastikan pendidikan yang disediakan sesuai dengan kawasan setempat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Fakulti berkenaan terdiri daripada gabungan antara ahli-ahli akademik dari dalam dan luar negara yang memiliki pengalaman mengajar, pengalaman dalam bidang perniagaan serta industri yang luas. Mereka berkongsi pengetahuan luas yang diperoleh menerusi hasil penyelidikan dalam bidang masing-masing di dalam bilik kuliah bagi mewujudkan persekitaran akademik yang menarik buat para pelajar.

Latar Belakang Agilent Technologies

Agilent Technologies Inc. (NYSE: A), peneraju global dalam pasaran sains hayat, diagnostik dan kimia gunaan, ialah rakan makmal terulung bagi mewujudkan dunia yang lebih baik. Agilent menjalin kerjasama dengan pelanggan yang berada di lebih 100 buah negara, dengan menyediakan peralatan, perisian, perkhidmatan dan barang guna habis untuk seluruh aliran kerja makmal. Syarikat tersebut menjana pendapatan sebanyak $4.04 bilion pada tahun fiskal 2015 dan menggajikan kira-kira 12,000 kakitangan di seluruh dunia. Maklumat tentang Agilent disediakan di www.agilent.com.

Maklumat Perhubungan Media

Agilent Technologies
Alexis Chuah, Malaysia dan Singapura
+60 4-680-3712
alexis.chuah@agilent.com

Universiti Monash Malaysia
Samantha Yong
+60 3-5514-4956
samantha.yong@monash.edu

Foto - http://photos.prnasia.com/prnh/20160425/8521602654

Source: Agilent Technologies
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals