SYDNEY, 30 April 2016 /PRNewswire/ -- Peminat bola sepak pasukan Arsenal boleh mula merancang perjalanan mereka ke Sydney dan NSW apabila pasukan tersebut mengumumkan tarikh perlawanan bagi jelajah dua permainan mereka pada tahun 2017. The Gunners akan menentang Sydney FC pada hari Khamis, 13 Julai 2017 serta Western Sydney Wanderers pada hari Sabtu 15 Julai 2017.
Menteri Perdagangan, Pelancongan dan Acara-acara Utama serta Menteri Sukan, Stuart Ayres berkata, "Peminat bola sepak di seluruh Australia dan dunia kini boleh mencatatkan tarikh tersebut dan mula membuat tempahan perjalanan ke Stadium ANZ di Sydney bagi menyaksikan dua perlawanan blokbuster."
"Tiket mula dijual pada 19 Julai 2016 dan saya menggalakkan kesemua peminat bola sepak untuk berkunjung ke Sydney dan mengalami sendiri kehebatan negara kami. Arsenal akan membawa skuad pertama mereka, dan bakal menentang dua pasukan negara kami yang terbesar."
Ketua Pegawai Eksekutif Arsenal Ivan Gazidis menambah, "Perlawanan pramusim kami membolehkan pasukan ini menyiapkan persediaan akhir sebelum menjalankan kempen baharu, dan Sydney FC serta Western Sydney Wanderers benar-benar akan menguji kehebatan pasukan ini. Jelajah tersebut akan turut memberi peluang istimewa buat skuad jelajah kami untuk bertemu para penyokong setia di sebuah negara yang amat meminati sukan bola sepak; ia benar-benar akan menjadi satu kunjungan istimewa dan setiap anggota Arsenal Football Club tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan jelajah tersebut."
Jelajah Sydney 2017 bakal menjadi kunjungan pertama oleh Arsenal ke Sydney dalam tempoh lebih 30 tahun, bagi memberikan peluang unik buat para peminat bola sepak di dunia untuk menonton kelab gergasi Liga Perdana Inggeris beraksi di bahagian Hemisfera Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Destination NSW, Sandra Chipchase berkata, "Sydney ialah lokasi tumpuan bola sepak di Australia serta destinasi terbaik untuk para peminat The Gunners, bukan sekadar untuk melihat pasukan tersebut beraksi, malah untuk mengalami percutian yang tidak akan dilupakan di NSW.
"Pakej pelancongan akan disediakan tidak lama lagi bagi membantu para peminat merancang jadual perjalanan yang sempurna ke Sydney dan NSW. Dengan pelbagai pilihan pakej pelancongan dan penginapan yang ditawarkan, pengunjung dapat memilih sama ada untuk menonton hanya satu atau kedua-dua perlawanan menarik ini, dan kemudian meluangkan masa untuk mengalami segala-gala yang ditawarkan oleh NSW termasuk pantai yang bertaraf dunia, lokasi pantai yang indah, pengembaraan, alam semula jadi dan acara sukan serta budaya lain yang amat hebat," kata Cik Chipchase.
Tiket bagi kedua-dua perlawanan akan dijual pada hari Selasa, 19 Julai 2016, dan butiran pakej pelancongan akan disiarkan tidak lama lagi.
Maklumat lanjut tentang jelajah tersebut boleh didapati di: www.arsenalinsydney.com
Maklumat lanjut tentang Sydney dan New South Wales, layari www.sydney.com atau www.visitnsw.com.