omniture

TUV SUD Menganugerahkan Kelayakan Makmal CTF kepada JA Solar

JA Solar Holdings Co., Ltd.
2016-05-16 10:28 383

BEIJING, 16 Mei 2016 /PRNewswire/ -- TUV SUD Group ("TUV SUD") hari ini mengumumkan ia menganugerahkan kelayakan makmal Kemudahan Pengujian Pelanggan (CTF) kepada JA Solar Holdings Co., Ltd. ("JA Solar" atau "JA") (NASDAQ: JASO). Kelayakan makmal CTF itu diterima secara meluas oleh industri fotovolta (PV) sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan keupayaan kawalan kualiti dan profesionalisme dalam pengujian makmal.

Kelayakan CTF tersebut menandakan keputusan ujian makmal bagi produk PV suria boleh terus disertakan dalam laporan CB (Skim Badan Pensijilan) yang dikeluarkan oleh TUV SUD, seraya menggalakkan pengiktirafan pasaran bagi produk tersebut, selain memperlihatkan tahap keupayaan pengujian makmal yang profesional oleh perusahaan tersebut. Maklumat lanjut tentang CTF disediakan melalui laman sesawang rasmi IEC.

Dr. Xinming Huang, Naib Presiden kawalan kualiti JA Solar mengulas, "sebagai salah satu pengeluar utama bagi produk suria berprestasi tinggi, JA Solar amat berbesar hati kerana makmal pengujian modul PV kami yang berada di tapak pengeluaran Shanghai serta Hefei menerima kelayakan CTF. TUV SUD ialah sebuah agensi pengujian, pemeriksaan dan pensijilan yang diiktiraf di dunia, dan kelayakan yang diterima dapat terus memperlihatkan pengiktirafan jenama JA dan menjadikan kualiti produk kami lebih dipandang tinggi."

Dr. Huang menyambung, "Makmal pengujian modul kami memainkan peranan yang amat penting dalam kawalan kualiti serta penggunaan bahan serta produk baharu di JA. Kelayakan makmal CTF ini adalah satu lagi testimoni terhadap kawalan kualiti produk JA Solar yang cemerlang."

En. Hailiang Xu, Ketua Pemerika PV bagi TUV SUD Rantau China mengulas, "Kelayakan makmal CTF menjadikannya sebagai penaiktarafan ketiga bagi makmal JA oleh TUV SUD. Setiap penaiktarafan mengiktiraf keupayaan pengurusan dan pengujian makmal JA serta pematuhan makmal menurut peraturan IECEE/CB. Laporan ujian dan pensijilan CB merupakan keperluan kualiti yang teknikal untuk produk PV suria di seluruh dunia. Sebelum ini, hampir semua laporan pengujian CB hanya boleh diperoleh daripada agensi pengujian pihak ketiga. Dengan pensijilan CTF untuk makmal kilang ini, kini JA Solar boleh mendapatkan laporan ujian CB sama ada daripada TUV SUD atau daripada makmal pengujiannya sendiri yang menerima pensijilan CTF. Ini merupakan satu kejayaan penting dalam industri suria."

Latar Belakang JA Solar Holdings Co., Ltd. 

JA Solar Holdings Co., Ltd. ialah pengeluar utama bagi produk kuasa suria berprestasi tinggi yang menukar cahaya matahari kepada tenaga elektrik bagi tujuan penjanaan kuasa untuk kediaman, secara komersial dan berskala utiliti. Syarikat ini ialah salah satu daripada pengeluar produk kuasa suria yang terbesar di dunia. Tawaran produknya yang standard dan berkecekapan tinggi adalah antara produk yang paling hebat dan berkesan kos dalam industri ini. Syarikat ini mengedarkan produknya melalui jenamanya sendiri dan turut mengeluarkan produk bagi pihak pelanggannya. Kunjungi mereka secara dalam talian di www.jasolar.com.

Latar Belakang TUV SUD Group 

TUV SUD ialah penyedia penyelesaian dengan tahap kualiti, keselamatan dan kemampanan yang premium, khusus untuk perkhidmatan pengujian, pemeriksaan, pengauditan, pensijilan, latihan dan pengetahuan. Sejak tahun 1866, syarikat ini kekal komited terhadap prinsip asasnya iaitu untuk melindungi orang ramai, harta benda dan alam sekitar daripada risiko yang berkaitan teknologi. Beribu pejabat di Munich, Jerman, TUV SUD berada di lebih 800 lokasi di seluruh dunia. TUV SUD beroperasi secara global bersama pasukan yang terdiri daripada lebih 22,000 pakar dalam pelbagai bidang, yang diakui sebagai pakar dalam bidang masing-masing. Hasil gabungan kepakaran yang saksama serta pandangan yang penting, syarikat tersebut dapat menambah nilai yang ketara kepada syarikat, pengguna dan juga alam sekitar. Matlamat TUV SUD adalah untuk menyokong pelanggan menerusi pelbagai perkhidmatan yang komprehensif ke seluruh dunia bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos serta mengatasi risiko. www.tuv-sud.com

Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20150522/0861504483LOGO

Source: JA Solar Holdings Co., Ltd.
Related Stocks:
NASDAQ:JASO
Related Links:
Keywords: Alternative Energies Computer/Electronics Electronic Components Environmental Products & Services Green Technology Oil/Energy Utilities Awards