WASHINGTON, 26 Julai 2016 /PRNewswire/ -- Laporan Komitmen Pengeluar 2015 menunjukkan syarikat-syarikat penandatangan tampil untuk melaksanakan Komitmen mereka bagi menyumbang ke arah pencapaian sasaran global untuk mengurangkan kemudaratan yang berkaitan dengan minuman beralkohol sebanyak 10% menjelang tahun 2025. Ini merupakan Laporan ketiga dan yang pertama sejak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang baharu dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan pada tahun 2015.
(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20160524/371287LOGO )
Laporan tersebut menunjukkan 257 inisiatif pendidikan di bawah umur dilaksanakan pada tahun 2015, satu peningkatan sebanyak 49% berbanding tahun sebelumnya, dengan peningkatan ketara dilihat dari segi jumlah negara yang terlibat, iaitu daripada 57 menjadi 82 buah negara. Program ini secara langsung melibatkan hampir 30 juta individu berpengaruh daripada golongan dewasa seperti ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat tentang kepentingan mematuhi had umur sah untuk membeli minuman beralkohol. Lebih 192 juta individu tambahan dapat ditarik menerusi program pendidikan, media massa dan juga kempen media sosial.
Usaha yang giat dilaksanakan ini dapat disaksikan menerusi penglibatan pihak-pihak penandatangan bersama pihak berkepentingan utama dalam usaha mengurangkan masalah tabiat minum di bawah umur melalui penguatkuasaan Umur Pembelian Sah (LPA). Pelaksanaan dan penguatkuasaan had umur disokong oleh pihak pengeluar melalui lebih satu juta penglibatan bersama agensi kerajaan, badan penguatkuasaan undang-undang dan juga peniaga pada tahun 2015.
"Saya berbesar hati apabila melihat program kami ini semakin berkembang," kata Carlos Brito, Ketua Pegawai Eksekutif AB InBev, Pengerusi IARD CEO Group. "Walau bagaimanapun, kami tidak akan mampu mencapai kemajuan ini sendirian. Ia adalah hasil kerjasama dengan persatuan industri, kerajaan, NGO dan peniaga yang semakin bertambah jumlahnya. Namun begitu, usaha kami masih belum berakhir dan kami akan berusaha lebih giat untuk terus meluaskan kerjasama dan inisiatif kami ke seluruh dunia bagi menangani pengambilan minuman beralkohol yang memudaratkan."
Pencapaian program ini terhasil daripada lima Komitmen yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat pengeluar bir, wain dan minuman beralkohol yang terkemuka di dunia bagi membantu menangani masalah berkaitan alkohol: mengurangkan tabiat minum di bawah umur, mengukuhkan dan memperluas kod amalan pemasaran, menyediakan maklumat pengguna dan inovasi produk yang bertanggungjawab, mengurangkan tabiat minum dan memandu, serta menyenaraikan sokongan peniaga terhadap usaha mengurangkan tabiat minum yang memudaratkan. Mereka percaya jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan lain, termasuk pihak kerajaan dan pertubuhan kemasyarakatan untuk menangani masalah berkaitan alkohol ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan juga perniagaan mereka.
"Keputusan tahun ketiga bagi program lima tahun ini menunjukkan kemajuan sebenar terhadap Komitmen global yang dinyatakan pada tahun 2012," kata Ann Keeling, Ketua Pegawai Eksekutif IARD. "Program-program semakin bertambah dari segi jumlah negara, dan menjadi lebih positif apabila melihat program-program rintis dibiayai dan diteruskan oleh pihak kerajaan serta rakan kerjasama lain di peringkat kebangsaan."
2015 - Pencapaian penting menerusi Lima Komitmen tersebut:
Laporan kemajuan terkini yang dikeluarkan oleh International Alliance for Responsible Drinking (IARD), selaku Sekretariat Komitmen adalah berasaskan petunjuk prestasi utama yang disediakan oleh Accenture Strategy, yang turut menyokong proses pengumpulan data setiap tahun. Data dan laporan dijamin oleh KPMG Sustainability.
Mengurangkan tabiat minum di bawah umur
Penguatkuasaan undang-undang bagi meminum minuman beralkohol di bawah umur adalah satu cabaran sosial yang hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama yang luas antara pihak kerajaan, agensi penguatkuasaan dan peniaga. Pada tahun 2015, 12 penandatangan melaporkan terdapat lebih 1 juta penglibatan, khususnya peniaga yang terlibat, untuk menguatkuasakan undang-undang LPA. Turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh ibu bapa dan pendidik bagi memupuk nilai dalam kalangan generasi muda, program ini menyasarkan golongan dewasa yang utama bagi menangani masalah tabiat minum di bawah umur. Jumlah individu berpengaruh yang bersama-sama terlibat dalam program pendidikan semakin bertambah menjadi hampir 30 juta pada tahun 2015.
Mengukuhkan dan memperluas kod amalan pemasaran
Pada tahun 2015, satu kaedah alternatif bagi menilai peletakan iklan telah diterima pakai bagi menangani isu berkaitan pihak yang tertarik oleh iklan minuman beralkohol di kawasan yang kekurangan data. Maklumat ini adalah penting bagi memastikan kaedah pemasaran syarikat disasarkan kepada golongan dewasa, seperti yang sepatutnya. Data tahun 2015 menunjukkan di Kenya, Uganda, dan Nigeria iaitu tiga buah negara yang dikaji, pengiklanan minuman beralkohol oleh syarikat-syarikat yang menandatangani komitmen tersebut melangkaui standard industri bagi mendekati golongan dewasa.
Hampir separuh daripada negara dengan syarikat-syarikat penandatangan yang aktif secara komersial telah merangkumkan penyertaan bukan industri yang bebas dalam proses pengawalseliaan sendiri bagi pengiklanan minuman beralkohol.
Menyediakan maklumat pengguna dan inovasi produk yang bertanggungjawab
Media sosial dan komunikasi digital melengkapi program industri untuk melibatkan pengguna berkaitan pengambilan minuman beralkohol secara berhemah, selain mendekati individu di seluruh rantau. Laman sesawang maklumat pengguna, http://www.responsibledrinking.org, dilancarkan pada Mei 2015, bersama syarikat individu lain serta laman sokongan industri, bagi memberikan pengguna akses kepada maklumat yang lengkap dan tepat tentang produk minuman beralkohol agar mereka dapat membuat pilihan yang bijak sama ada untuk minum secara berhemah atau mengelakkannya.
Mengurangkan tabiat pemanduan mabuk
Pada tahun 2015, empat program rintis tambahan sebagai usaha untuk mengurangkan tabiat pemanduan mabuk dilancarkan oleh IARD dengan kerjasama pihak-pihak yang menandatangani komitmen di Kemboja, Republik Dominican, Namibia, dan Afrika Selatan, dengan sejumlah sembilan buah negara kini menjalankan program rintis tersebut.
Pada tahun 2015, anggota IARD dan pertubuhan industri menyokong 345 program pencegahan tabiat minum dan memandu, melibatkan 99 buah negara merentasi kesemua tujuh rantau.
Menyenaraikan sokongan peniaga bagi mengurangkan tabiat minum yang memudaratkan
Prinsip Panduan Penjualan secara Bertanggungjawab diterbitkan pada November 2015 sempena Kongres Jualan Sedunia di Afrika Selatan. Prinsip-prinsip ini mengenal pasti standard untuk menggalakkan penjualan secara bertanggungjawab di seluruh dunia dengan memberi penekanan terhadap penguatkuasaan umur pembelian yang sah, mengurangkan minum secara berpesta atau minum secara berlebihan di pertubuhan runcit, menggalakkan keselamatan jalan raya melalui pilihan pengangkutan yang selamat, dan menekankan ciri-ciri kawasan perniagaan yang selamat. Sejumlah 251 inisiatif penjualan secara bertanggungjawab peringkat tempatan dijalankan di lebih 75 buah negara yang melibatkan pihak-pihak penandatangan yang aktif secara komersial, meningkat hampir 20% berbanding tahun sebelumnya.
Nota untuk editor
Sebarang maklumat lanjut dan untuk mendapatkan laporan penuh, sila layari: http://www.producerscommitments.org/
Terdapat 12 pihak yang memeterai persetujuan terhadap Komitmen tersebut: Anheuser-Busch InBev; Asahi Group Holdings; Bacardi; Beam Suntory; Brown-Forman Corporation; Carlsberg; Diageo; Heineken; Kirin Holdings Company; Molson Coors; Pernod Ricard; dan SABMiller. .
IARD ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, khusus bagi menangani isu-isu kesihatan masyarakat awam global berkaitan tabiat minum yang memudaratkan dan menggalakkan tabiat minum secara berhemah. Sebagai sebuah NGO kesihatan awam global, kami menjalin kerjasama dengan masyarakat awam, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan swasta bagi meneruskan wawasan kami. Kami menyokong usaha global yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi pelaksanaan Strategi Global bagi Mengurangkan Pengambilan Alkohol yang Memudaratkan, sasaran Rangka Kerja Pemantauan Global Penyakit Tidak Berjangkit dengan "sekurang-kurangnya 10% penurunan relatif bagi pengambilan alkohol yang boleh memudaratkan" menjelang tahun 2025, serta Matlamat Pembangunan Lestari 3.5, "Mengukuhkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan dadah, termasuk penyalahgunaan dadah narkotik dan pengambilan alkohol yang memudaratkan."
IARD disokong oleh Syarikat Ahli iaitu pengeluar bir, wain dan minuman beralkohol menerusi matlamat yang sama untuk menjadi sebahagian daripada usaha menangani pengambilan alkohol yang boleh memudaratkan. Pada peringkat awal, pihak pengeluar memeterai persetujuan terhadap Komitmen tersebut pada Oktober 2012, apabila mereka bersetuju untuk melaksanakan beberapa tindakan sepanjang tempoh lima tahun dengan matlamat untuk mengukuhkan serta mengembangkan usaha sedia ada bagi mengurangkan pengambilan alkohol yang boleh memudaratkan.