omniture

New Silkroutes Group Bentuk Usaha Sama (JV) Bagi Menyediakan Perkhidmatan Pengurusan dan Keselamatan Peribadi Tempahan Khas di Asia

New Silkroutes Group Limited
2016-08-10 09:00 699

SINGAPURA, 10 Ogos, 2016 /PRNewswire/ -- New Silkroutes Group Limited ("NSG" atau "Syarikat") telah membentuk satu usaha sama bersama pemilik firma perunding yang berpusat di London, Rubeus Limited ("Rubeus") bagi menyediakan penyelesaian yang ditempah khas bagi urusan berkaitan risiko dan keselamatan di Asia, menambahkan perkhidmatan kepada portfolio perniagaannya setelah berundur daripada SGX Watchlist pada November 2014.

Diperbadankan pada September 2011, Rubeus menawarkan penyelesaian pengurusan risiko kepada syarikat, agensi kerajaan dan keluarga yang amat tinggi status kewangannya di seluruh dunia. Skop tugasannya melibatkan penyediaan maklumat bagi menembusi pasaran baru muncul atau pasaran sempadan, memantau keadaan di lokasi sepanjang kitar hayat pelaburan dan operasi pengurusan projek, selain menawarkan perkhidmatan pengurusan krisis dan juga khidmat nasihat berkaitan keselamatan infrastruktur nasional yang amat penting. Pelanggan-pelanggannya terdiri daripada syarikat-syarikat minyak, gas dan perlombongan, bank-bank swasta, dana lindung nilai, firma-firma maritim, syarikat-syarikat media serta pejabat keluarga.

Rubeus ditubuhkan oleh En. John Davidson dan rakan kongsinya, Dr Jessica Lincoln. En. Davidson merupakan bekas anggota tentera Angkatan Khas British dengan pengalaman selama lebih 25 tahun dalam situasi krisis yang tinggi intensiti. Beliau pernah berkhidmat dengan kerajaan bagi membangunkan program latihan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan, dan turut terlibat dalam membanteras operasi oleh beberapa kumpulan tertentu dalam konflik bersenjata.

Dr Lincoln merupakan seorang pakar dalam perisikan sumber terbuka dan bekas kakitangan Jabatan Pengajian Peperangan di King's College London serta Jabatan Pengajian Pertahanan di Joint Services Command and Staff College, UK. Beliau dan En. Davidson dibantu oleh sepasukan pakar dalam bidang-bidang seperti teknologi dan penyelidikan.

Usaha sama yang berpangkalan di Singapura, iaitu Rubeus Silk Pte Ltd ("Rubeus Silk") dimiliki sebanyak 51% oleh NSG. En. Davidson dan Dr Lincoln memiliki baki sebanyak 49% itu. Kerjasama baharu ini bermatlamat untuk berkembang ke seluruh Asia dan meningkatkan kepakaran tempatan menerusi setiap pasaran yang ditembusi.

"Rubeus ditubuhkan untuk melindungi orang ramai dan aset mereka. Di Asia, kami yakin perkhidmatan kami dapat memberi manfaat dengan membantu syarikat-syarikat, keluarga yang amat tinggi status kewangannya serta perniagaan mereka mengurus dan melindungi sumber serta pelaburan mereka dengan lebih baik," kata En. Davidson.

Dr Goh Jin Hian, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat bagi NSG berkata, "Rubeus Silk merupakan tambahan terkini kepada segmen perniagaan keselamatan dan pentadbiran NSG, yang setakat ini memberi tumpuan terhadap analitik data besar dan juga penyelesaian perisian perusahaan. Usaha sama ini bukan sekadar dapat memperluas skop perniagaan ini, malah dapat menjadi pelengkap kepada bahagian-bahagian lain dalam NSG."

"Sebagai contoh, ketika perniagaan minyak dan gas kami berkembang, kami seterusnya ingin terlibat dalam aktiviti perniagaan selain perdagangan. Ini mungkin melibatkan pengurusan dan pemilikan kemudahan simpanan minyak di Asia dan Eropah. Pengalaman Rubeus dalam menilai aset tenaga, khususnya dalam pasaran sempadan, adalah amat bernilai."

Buat masa ini, NSG memperoleh kebanyakan hasilnya daripada perdagangan minyak dan gas. NSG juga turut membentuk usaha sama bersama kerajaan Malta bagi memajukan pulau di Eropah Selatan menjadi hab perdagangan tenaga antara Eropah dan Asia.

Digiland Pte Ltd, cabang teknologi milik penuh Syarikat tersebut, menyediakan khidmat runding dan penyelesaian berkaitan analitik data, perkhidmatan e-kerajaan berasaskan awan serta infrastruktur IT untuk tujuan pengurusan perumahan awam, hartanah dan juga kemudahan.

Latar Belakang New Silkroutes Group Limited

New Silkroutes Group (Bloomberg: NSG SP) ialah sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura (ditubuhkan pada 25 Januari 1994), dan tersenarai pada Papan Utama Singapore Exchange Securities Trading Ltd (SGX). Syarikat ini berkembang menjadi sebuah syarikat induk pelaburan dengan kepakaran utama dalam Pembolehan Keupayaan, Peruntukan Modal dan Analisis (Dasar). Syarikat ini, menerusi anak-anak syarikat serta syarikat-syarikat bersekutu, mendapat pendedahan terhadap vertikal sektor utama, termasuk Tenaga/Sumber, Rawatan Kesihatan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Infocomm) dengan fokus terhadap Keselamatan & Pentadbiran.

Hubungi:
New Silkroutes Group Limited
ipr@newsilkroutes.org 

Perunding WeR1
Frankie Ho -- frankieho@wer1.net 
+65-6737-4844

Source: New Silkroutes Group Limited
Related Stocks:
Singapore:BMT
Keywords: Banking/Financial Service Publishing/Information Service Corporate Expansion Joint ventures