BERLIN, 20 September 2016 /PRNewswire/ --
Kenderaan Komersial IAA ke-66 bakal bermula: 332 Tayangan Perdana Dunia – 2013 pempamer Dari 52 Negara – Trend mega: Pendigitan, Mobiliti Elektrik dan Logistik Bandar
Pameran dagangan terpenting di dunia bagi kenderaan, logistik dan mobiliti, Kenderaan Komersial IAA ke-66, membuka pintunya kepada pelawat di Hannover pada hari Khamis, 22 September 2016. Sejumlah 2,013 pempamer dari 52 negara bakal mempamerkan pembangunan terkini mereka sehingga 29 September. Pengunjung IAA bakal menyaksikan sendiri 332 pameran perdana dunia dan 101 pameran perdana Eropah. IAA sudah hampir ditempah sepenuhnya: kawasan yang ditempah, 270,00 meter persegi, merupakan salah satu hasil yang terbaik sejak Kenderaan Komersial IAA menjadi satu pameran berasingan (1992).
IAA dianjurkan oleh Persatuan Industri Automotif Jerman (VDA). Presiden VDA Matthias Wissmann menegaskan sejurus sebelum pembukaan, "Kami amat yakin dengan pameran Hannover. Kami mempunyai keadaan yang tepat dan sesuai untuk menjayakan IAA. Pameran ini, pameran dagangan terpenting di dunia, berkisar khusus dalam topik yang berasaskan masa depan dalam pendigitan, keterhubungan dan pemanduan berautomasi, seiring dengan rangkaian kuasa alternatif. Ia menggambarkan 'pacuan idea' dalam erti kata sebenar."
Sudah sekian lama industri kenderaan komersial menganggap dirinya sebagai penyedia perkhidmatan mobiliti dan logistik: "Pendigitan dan rangkaian tenaga alternatif menawarkan peluang yang besar untuk menjadikan pengangkutan muatan yang semakin meningkat di seluruh dunia lebih cekap dan mesra iklim," tegas Wissmann.
IAA kali ini sememangnya bertepatan dengan aspirasi antarabangsanya. Bilangan pempamer luar negara sudah mencecah 61 peratus. Lima negara luar yang menghantar pempamer terbanyak ialah China (229), Itali (145), Belanda (121), Turki (92) dan Perancis (85). Lebih daripada satu daripada tiga pempamer datang dari Eropah (tidak termasuk Jerman), dan satu daripada lima datang dari Asia. Keseluruhan rantaian nilai antarabangsa bagi kenderaan komersial turut hadir di IAA: pembuat trak berat, van dan bas, treler dan badan treler, termasuk banyak syarikat bekalan dan penyedia perkhidmatan seperti telematik.
Setakat ini, sekitar 1,700 wartawan dari 57 buah negara sudah diakreditasi untuk menghadiri IAA. Hampir separuh daripada mereka datang dari negara-negara lain selain Jerman. Pada hari Rabu, 21 September (Hari Sidang Berita), dan pada hari Khamis, 22 September (Hari Sidang Berita dan Pembukaan), lebih 100 sidang akhbar akan dijalankan, dengan lebih 70 daripadanya diadakan pada hari Rabu.
Wissmann berkata, "Dengan slogan IAA pada tahun ini, 'Pacuan Idea', industri telah menunjukkan trend mega yang mengetengahkan penyelesaian dalam sektor kenderaan komersial: Trend ini termasuk, perkara yang paling utama iaitu pemanduan terhubung dan berautomasi; di sini kita membicarakan tentang "transformasi pendigitan" dalam seluruh industri. Kini terdapat juga rangkaian tenaga alternatif yang sudah menjadi perkara biasa dalam kenderaan komersial dan bas. Pemanduan elektrik dan hibrid, dan gas asli merupakan kata kuncinya di sini. Terdapat juga 'logistik bandar' yang menjadikan pengangkutan dan logistik dalam pekan dan bandar semakin cekap dan mesra alam sekitar."
Bagi menegaskan kepentingan topik ini, buat pertama kalinya kami telah menjadikan topik-topik ini tema khas bagi Kenderaan Komersial IAA menerusi "Logistik Dunia Mobiliti Baharu". Inisiatif baharu ini bermatlamat untuk memberikan fokus yang lebih kukuh kepada rekaan masa depan, konsep, tawaran dan perkhidmatan logistik baharu daripada pempamer, menjadikan mereka lebih dikenali oleh pengunjung, dan menarik minat kumpulan syarikat baharu dan kumpulan pengunjung. Logistik Dunia Mobiliti Baharu ini juga merupakan satu pemangkin kepada topik logistik dan pengangkutan masa depan. "Dari satu segi, kita mecipta satu rangka kerja baharu bagi dialog antara kesemua pihak berkepentingan. Trend dalam inovasi tidak lagi terhad kepada penyedia individu. Di IAA kali ini,industri akan mempamerkan keseluruhan kemajuan dan komitmen yang dilaksanakan dalam bidang inovasi ini," kata Wissmann.
Semua ini dapat dialami sendiri di keseluruhan pameran IAA tahun ini – di reruai pempamer dan kebanyakan persidangan; "SIARAN LANGSUNG Dunia Mobiliti Baharu"di ruang terbuka menawarkan pengunjung IAA demonstrasi pemanduan yang dinamik dan interaktif. Selain itu, ketika Lawatan Berpandu para pempamer kami akan mempersembahkan inovasi mereka kepada pengunjung perniagaan yang mengambil bahagian. Tambahan pula, kira-kira 20 kenderaan elektrik disediakan untuk dipandu uji di tapak pameran, selain lebih 40 kenderaan komersial ringan dan berat untuk dipandu uji di jalan raya.
"Pendigitan ini dipacu oleh pengeluar. Namun begitu, tiada apa yang dapat dilaksanakan tanpa kehadiran pembekal – yang juga turut menunjukkan komitmen yang hebat. Matlamatnya jelas: keterhubungan bakal menjadikan pengangkutan lebih cekap dan lebih selamat. Apabila trak berat masa depan yang terhubung secara digital dipandu secara automatik dalam konvoi di jalan raya – perkara ini digelar 'pemplatunan' – ia akan mengurangkan penggunaan dan mempertingkat keselamatan jalanraya," tegas Wissmann.
Pemanduan elektrik dan hibrid tidak hanya dilaksanakan dalam van dan bas, tetapi juga memastikan penggunaan dan pengeluaran karbon dioksida (CO2) daripada trak berat dapat diturunkan dengan lebih banyak lagi. Bahan api alternatif seperti gas asli juga berpotensi menurunkan CO2 daripada trak. "Keterhubungan dan mobiliti elektrik akan memastikan dalam logistik bandar – 'perbatuan terakhir' – dapat dihabiskan dengan lebih pantas dan dengan emisi sifar," terang Wissmann.
Presiden VDA menegaskan: "IAA kali ini menunjukkan bahawa kita bakal mengalami rangkaian pemanduan yang meluas dan pelbagai di masa depan. Diesel bakal terus memainkan peranan utama dalam perjalanan jarak jauh, iaitu dalam trak berat. Teknologi terkini pascarawatan ekzos bukan sahaja menjadikannya lebih cekap dan menjimatkan, tetapi juga bersih. Hari ini trak dan bas Euro VI mengeluarkan emisi pencemaran yang amat rendah – sewaktu diuji dan di atas jalan raya. Penurunan emisi ini sudahpun berjaya sepenuhnya dalam rangkaian kenderaan komersial."
Namun begitu, trend logistik bandar jelas sekali menuju ke arah rangkaian tenaga alternatif. "Kenderaan hibrid dan elektrik menjadi semakin penting. Ia sudahpun dilaksanakan pada van dan bas – dan tidak lama lagi ia akan turut digunakan pada trak berat dalam urusan pengedaran tempatan," kata Wissmann.
Selain itu, IAA juga merupakan kongres besar dengan 27 acara khas dalam semua topik yang berkaitan. Ini merupakan acara 'klasik' kami seperti Hari Barangan Merbahaya dan pengambilan dan penyimpanan muatan yang selamat, dan juga pelbagai acara pendigitan, keterhubungan – termasuk forum syarikat baharu "Lab16" – dan logistik bandar. Terdapat juga beberapa acara khusus untuk pendidikan dan latihan dalam pengangkutan dan logistik.
Situasi pasaran kenderaan komersial di Eropah Barat menyokong IAA. Pada tahun lepas, pendaftaran baharu trak muatan berat meningkat sebanyak 14 peratus kepada 259,000 dan pasaran ini sudah pun meningkat 12 peratus pada tujuh bulan pertama 2016. Bagi keseluruhan tahun ini, kami menjangkakan pertumbuhan 8 peratus kepada 280,000 unit. China juga turut berkembang, manakala pasaran Amerika Syarikat tidak berganjak selepas pertumbuhan pesat selama enam tahun. Pasaran Rusia dan Brazil masih kekal lemah. Jumlah pasaran global bagi kenderaan komersial (melebihi 6 tan) akan meningkat sebanyak 3 peratus tahun ini kepada 2.8 juta unit.
Hubungi:
Eckehart Rotter
Jabatan Berita
Persatuan Automotif Industri Jerman (VDA)
Tel.: +49-30-897842-120
E-mel: rotter@vda.de
Sumber: German Association of the Automotive Industry (VDA)