BERLIN dan HANNOVER, Jerman, 26 September 2016 /PRNewswire/ --
Anugerah "Bintang Tahun 2017" sempena Malam Media IAA
"Pameran Kenderaan Komersial IAA kali ini membuka peluang yang luas untuk masa depan sektor pengangkutan, logistik dan mobiliti. Ia menunjukkan kami dipacu oleh idea. Kenderaan komersial masa depan akan terhubung secara digital. Ia memberikan lebih keselamatan, lebih kecekapan dan juga lebih keselesaan. Kelebihan kenderaan komersial adalah lebih besar untuk kawasan pekan dan bandar. Logistik bandar akan menjadi lebih bebas daripada pelepasan gas lantaran kebanyakan van dan bas yang beroperasi di kawasan bandar akan dipandu secara elektrik dan hibrid. 'Masyarakat dalam talian' yang menginginkan barangan mereka dihantar ke rumah menjadikan kenderaan komersial ini satu keperluan. Pasaran ini akan terus berkembang di seluruh dunia," tegas Matthias Wissmann, Presiden Persatuan Industri Automotif Jerman (VDA) di Hannover sempena "Malam Media IAA." Beliau berucap di hadapan lebih 600 wakil antarabangsa daripada industri kenderaan komersial dan pihak media.
Lebih 2,000 wartawan daripada 57 buah negara telah diakreditasi sempena acara Kenderaan Komersial IAA kali ke-66 ini. Pada hari Rabu (Hari Berita), sebanyak 70 sidang akhbar telah diadakan di dalam dewan dan Pusat Konvensyen, manakala 30 lagi sidang akhbar akan menyusul pada 22 September (Hari Berita dan Perasmian). Acara Kenderaan Komersial IAA kali ke-66 bakal mengadakan 332 acara perdana dunia dan 101 acara perdana Eropah. Pameran perdagangan paling penting di dunia untuk sektor pengangkutan, logistik dan mobiliti secara rasminya akan membuka tirai pada 22 September dan bakal berlangsung hingga 29 September.
Sejumlah 2,013 pempamer daripada 52 buah negara akan mempamerkan kemajuan terkini mereka di Hannover. Pempamer luar negara adalah sebanyak 61 peratus. Lima buah negara dengan wakil terbanyak ialah China (229 pempamer), Itali (145), Belanda (121), Turki (92) dan Perancis (85). Lebih satu pempamer daripada tiga adalah dari Eropah (tidak termasuk Jerman), manakala satu daripada lima pempamer adalah dari Asia.
Seluruh rantaian penciptaan nilai antarabangsa untuk kenderaan komersial membawakan wakil di IAA: pengeluar trak berat, van dan bas, treler dan badan treler, berserta sejumlah besar firma pembekalan dan juga penyedia perkhidmatan (cth. telematik).
Untuk lebih menonjolkan topik-topik pendigitan yang inovatif, mobiliti elektrik dan juga logistik bandar, buat pertama kali untuk acara Kenderaan Komersial IAA, topik-topik ini diketengahkan sebagai "Logistik Dunia Mobiliti Baharu." Inisiatif baharu ini bertujuan untuk memberi lebih tumpuan terhadap masa depan reka bentuk, konsep logistik baharu, tawaran dan perkhidmatan daripada pihak pempamer, dan untuk menarik minat syarikat-syarikat baharu dan kumpulan pengunjung. Logistik Dunia Mobiliti Baharu juga dapat menjadi pemangkin bagi topik-topik masa depan logistik dan pengangkutan.
"Dunia Mobiliti Baharu SECARA LANGSUNG" di lokasi terbuka menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan demonstrasi pemanduan yang dinamik dan juga interaktif. Selain itu, pempamer akan mempamerkan hasil inovasi mereka kepada pengunjung perdagangan semasa sesi Lawatan Berpandu yang eksklusif. Di samping itu, kira-kira 20 kenderaan elektrik disediakan untuk dipandu uji di tapak pameran, berserta lebih 40 kenderaan komersial ringan dan berat yang boleh dipandu uji di jalan raya.
Wissmann menekankan: "Apabila membincangkan tentang rangkaian kuasa, kita akan mengalami pelbagai gabungan elemen pada masa depan. Minyak diesel akan terus memainkan peranan untuk trafik jarak jauh, iaitu untuk trak berat. Teknologi ekzos pascarawatan yang terkini pula dapat menjadikan trak tersebut bukan sahaja berkesan dan menjimatkan, malah lebih bersih. Trak dan bas Euro VI masa kini hanya melepaskan bahan pencemar yang amat rendah, dengan usaha pengurangan pelepasan gas ini hampir berjaya untuk kenderaan komersial. Walau bagaimanapun, trend bagi logistik bandar semakin jelas menuju ke arah rangkaian kuasa alternatif. Kenderaan hibrid dan elektrik kini menjadi semakin penting. Ia sudah dilaksanakan dalam van serta bas, dan tidak lama lagi juga untuk trak berat dalam pengedaran tempatan."
Sempena acara Malam Media itu, tiga daripada anugerah antarabangsa paling terkenal dalam segmen perniagaan kenderaan komersial disampaikan buat kali ketujuh sejak tahun 2004: "Trak Terbaik Tahunan", "Bas Terbaik Tahunan" dan "Van Terbaik Tahunan". Setiap juri terdiri daripada wartawan kenderaan komersial yang terkemuka serta ketua pengarang dari seluruh Eropah, yang menjalankan pelbagai langkah ujian terhadap produk tersebut. "Trak Antarabangsa Terbaik Tahun 2017" menjadi milik Scania "siri-S". Anugerah "Bas Antarabangsa Terbaik Tahun 2017" pula menjadi milik Solaris Urbino. Pemenang anugerah "Van Antarabangsa Terbaik Tahun 2017" jatuh kepada VW Crafter.
Hubungi: Eckehart Rotter
Persatuan Industri Automotif Jerman (VDA)
Jabatan Akhbar
Tel.: +49-30-897842-120
E-mel: rotter@vda.de
Sumber: German Association of the Automotive Industry (VDA)