omniture

The Consumer Goods Forum Mengumumkan Resolusi Penyejukan Baharu

The Consumer Goods Forum
2016-10-07 03:35 631

PARIS dan NEW YORK, 7 Oktober 2016 /PRNewswire/ --

Peniaga dan pengeluar menegaskan semula komitmen mereka untuk menghentikan penggunaan bahan penyejuk HFC dan membina kejayaan awal sejak lebih enam tahun lalu  

Lembaga The Consumer Goods Forum (CGF) hari ini mengumumkan resolusi penyejukan baharu, bagi menggesa kesemua syarikat barangan pengguna untuk menghentikan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC) yang berbahaya. Komitmen baharu yang bercita-cita tinggi ini dilihat sebagai langkah seterusnya yang penting dalam membantu mencapai matlamat untuk mengekalkan peningkatan suhu purata global di bawah 2°C. HFC menyumbang sebanyak 1.5% potensi pemanasan keseluruhan masa kini, dan dijangka meningkat kepada 6-9% bagi seluruh GHG menjelang tahun 2050 sekiranya tiada sebarang tindakan diambil.

     (Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151201/292056LOGO )

Resolusi ini menumpu kepada empat kategori utama; pemasangan peralatan penyejukan baharu dalam pasaran yang berdaya maju, kerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk mengatasi masalah dalam pasaran yang mana pemasangan peralatan itu kini tidak berdaya maju, pengurangan kesan terhadap alam sekitar melibatkan sistem penyejukan sedia ada serta pembangunan sasaran individu dan juga pelan tindakan untuk mengukur tiga mata pertama.

Pihak Lembaga turut memperakui peranan penting yang dimainkan oleh pengawalseliaan demi memastikan pengurangan penggunaan HFC, serata menggesa penambahan HFC ke dalam protokol Montreal.

Mike Coupe, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sainsbury's, berkata, "Sekali lagi, ahli-ahli CGF memperlihatkan kepimpinan bertaraf global serta menekankan alam sekitar, dan usaha terbaharu ini akan memainkan peranan penting bagi mencapai piawaian kelestarian yang lebih luas untuk industri ini. Setelah kita berjaya mengurangkan penggunaan gas HFC dan memilih amalan perniagaan yang lebih bersih, penting untuk industri barangan pengguna terus memimpin jalan dan kekal berada di hadapan arus kemajuan industri ini."

Alan Clark, CEO SABMiller berkata, "Tindakan positif dengan memimpin syarikat-syarikat barangan pengguna global sejak lebih enam tahun lalu membuktikan kebolehlaksanaan komersial dan operasi sistem penyejukan rendah karbon di kebanyakan tempat di seluruh pelusuk dunia. Sebagai sebahagian daripada matlamat pembangunan mampan Makmur kami, SABMiller mempunyai sasaran 2020 untuk tidak lagi membeli peti sejuk HFC baharu. Resolusi Penyejukan baharu ini akan membantu seluruh industri berusaha ke arah penghapusan sejumlah besar bahan penyejuk yang berpotensi mengakibatkan pemanasan global daripada sektor kami, sebagai sebahagian daripada komitmen kami yang aktif terhadap Perjanjian Iklim Paris."

Resolusi penuh disediakan melalui laman sesawang CGF.

Memulakan Tindakan Berdasarkan Keputusan Industri Berikutan Resolusi Penyejukan 2010 CGF  

Pada tahun 2010, apabila Resolusi Penyejukan asal CGF diumumkan, penyejukan telahpun memainkan peranan penting dalam industri barangan pengguna, namun teknologi rendah karbon untuk menggantikan HFC masih belum terbukti keberkesanannya. Dengan itu, CGF memutuskan untuk memperlihatkan kepimpinan dengan mengambil keputusan untuk menunjukkan komitmen bagi mencuba pendekatan baharu dalam penyejukan menjelang tahun 2015.

Hasilnya, ahli-ahli CGF memasang sistem penyejukan rendah karbon di lebih 4,000 pusat membeli belah, empat juta unit penyejuk ais krim dan minuman di seluruh dunia serta kilang perindustrian yang kebanyakannya terdiri daripada bahan penyejuk semula jadi. Risalah Penyejukan yang baru diterbitkan juga menekankan kejayaan-kejayaan ini dan banyak lagi. Resolusi Penyejukan 2010 ditamatkan pada Januari 2016.

Walau bagaimanapun, CGF mengakui bahawa walaupun ujian rintis dan pelaksanaan awal bahan penyejuk semula jadi memperlihatkan keputusan positif, resolusi baharu yang diumumkan hari ini adalah perlu demi membantu memacu penggunaan selanjutnya serta memastikan HFC tidak lagi digunakan dalam sistem operasi seluruh dunia.

Resolusi Penyejukan kedua ini ialah resolusi alam sekitar keempat yang merupakan sebahagian daripada Teras Kelestarian CGF, dan melengkapi resolusi aktif yang lain berkenaan penerokaan hutan dan juga sisa makanan.

Latar Belakang The Consumer Goods Forum

The Consumer Goods Forum ("CGF") ialah rangkaian industri berasaskan pariti bertaraf global yang digerakkan oleh ahli-ahlinya demi menggalakkan penerimaan amalan dan piawaian global yang digunakan dalam industri barangan pengguna seluruh dunia. Ia menghimpunkan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan pihak pengurusan kanan yang terdiri daripada kira-kira 400 peniaga, pengeluar, penyedia perkhidmatan, serta pihak berkepentingan lain dari 70 buah negara, dan ia turut mencerminkan kepelbagaian industri dari segi geografi, saiz, kategori produk, dan juga format. Syarikat-syarikat ahlinya mempunyai jualan tergabung sebanyak EUR 3.5 trilion dan menggajikan secara terus hampir 10 juta kakitangan, dengan 90 juta tambahan pekerjaan berkaitan sepanjang rantaian nilai. Ia ditadbir oleh Lembaga Pengarahnya, yang terdiri daripada 50 Ketua Pegawai Eksekutif pengeluar dan peruncit.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.theconsumergoodsforum.com

Source: The Consumer Goods Forum
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics Household Products Retail Not for profit