omniture

Infosys Finacle Jalin Kerjasama Dengan Emirates NBD dan ICICI Bank untuk Melancarkan Rangkaian Rintis Blockchain Pertama

Infosys Finacle
2016-10-20 12:33 685

BANGALORE, 20 Oktober 2016 /PRNewswire/ --

Emirates NBD adalah yang Pertama di UAE manakala ICICI Bank adalah Bank Pertama di India untuk Merintis Rangkaian berasaskan Blockchain untuk Kiriman Wang Antarabangsa dan Pembiayaan Perdagangan

EdgeVerve Systems, sebuah anak syarikat produk milik penuh Infosys (NYSE: INFY), Emirates NBD, kumpulan perbankan utama di Timur Tengah dan juga ICICI Bank Limited, bank daripada sektor swasta yang terbesar di India menerusi aset gabungan, hari ini mengumumkan pelancaran rintis rangkaian blockchain untuk perkhidmatan kiriman wang antabangsa dan pembiayaan perdagangan. Emirates NBD dan ICICI Bank menggunakan himpunan penyelesaian Finacle dan memanfaatkan rangka kerja blockchain bagi membolehkan transaksi perniagaan dibuat antara kedua-dua entiti bagi perniagaan kiriman wang dan pembiayaan perdagangan.

(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151104/283829LOGO )

Menerusi Rangka Kerja Blockchain EdgeVerve untuk Perkhidmatan Kewangan, rangkaian itu telah berjaya merintis koridor kiriman wang UAE-India, iaitu salah satu koridor paling sibuk bagi kedua-dua bank. Menurut Bank Dunia, koridor ini merupakan penerima kiriman wang terbesar yang menyumbang hampir 70 Bilion USD daripada lebih 580 Bilion USD dari seluruh dunia.

Dengan ini, Emirates NBD menjadi bank pertama di UAE dan ICICI Bank, bank pertama di India yang merintis usaha rangkaian berasaskan blockchain untuk perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan ini telah bermula lapan minggu yang lalu dan kes-kes penggunaan tambahan turut dikaji untuk projek rintis itu. Kedua-dua institusi kewangan telah memulakan proses ke arah konsortium rangkaian untuk terus menggalakkan penglibatan bank-bank ahli yang berminat bagi meluaskan rangkaian transaksi.

Dengan mengambil kira kedudukannya yang kukuh dalam industri kewangan menerusi himpunan penyelesaian Finacle, Emirates NBD dan ICICI Bank memilih kerjasama dengan EdgeVerve untuk projek rintis itu. Rangka kerja ini merupakan lejar aset agnostik yang mendapat kelulusan, direka khusus untuk sektor perbankan. Aplikasi berasaskan blockchain yang dibangunkan dalam rangka kerja ini, dapat menyediakan fungsi pengautomatan yang dipertingkat dalam seluruh proses.

Maklumat Penting:

  • Dengan adanya rangkaian blockchain, kedua-dua bank mengharapkan fungsi pengautomatan dalam proses-proses antara bank menerusi kontrak pintar, perkongsian dokumen digital yang selamat dan pemantauan kedudukan pada masa sebenar melalui papan pemuka yang bersepadu. Kesannya, ia akan membawa kepada penjimatan kos yang ketara untuk perniagaan
  • Sebagai sebahagian daripada usaha rintis ini, proses kiriman wang, pesanan pembelian pembiayaan perdagangan dan proses pembiayaan invois dilaksanakan melalui rangkaian blockchain. Ia memungkinkan pemindahan invois dan pesanan pembelian dibuat hampir pada masa sebenar melalui cara yang telus dan juga selamat
  • Rangkaian blockchain juga turut diintegrasikan dengan Himpunan Perbankan Sejagat Finacle dan sistem pengehosan lain dalam ekosistem aplikasi untuk kedua-dua bank
  • Model rangkaian diwujudkan agar kurang mengganggu sistem serta proses sedia ada di bank-bank. Ini juga dapat mengurangkan masalah kerumitan memandangkan ia membolehkan bank-bank memasang sistem dan proses mereka dengan lancar agar terhubung dengan rangkaian yang dikuasakan oleh blockchain

Petikan: 

Dr. Vishal Sikka, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan, Infosys  

"Teknologi blockchain menawarkan peluang-peluang luar biasa untuk mengubah sektor perbankan yang kita sedia maklum. Seperti mana teknologi inovatif yang lain, penggunaan aplikasi berasaskan blockchain secara beransur-ansur akan meningkat daripada pengguna awal kepada pihak lain yang akan turut serta berdasarkan faedah yang terbukti dan nyata. Kami berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama dengan ICICI Bank dan Emirates NBD, yang merupakan peneraju inovatif di rantau masing-masing. Menerusi usaha rintis ini, jelas bahawa kami berada selangkah lebih hampir untuk melihat penggunaan aplikasi berasaskan blockchain secara meluas. Kami berharap dapat terus menjalin kerjasama dengan pelanggan kami dan juga bank-bank lain untuk mewujudkan konsortium berasaskan blockchain dalam industri perkhidmatan kewangan."

Yang Amat Mulia Shaikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum, Pengerusi, Emirates NBD: 

 "Projek rintis kami bersama Infosys Finance dan ICICI bank, iaitu yang pertama dalam sektor perbankan di UAE, memperlihatkan potensi hebat blockchain dalam mengubah cara sesebuah organisasi atau kerajaan menjalankan perniagaan. Kami berharap dapat terus menjalin kerjasama dengan sektor awam dan rakan kerjasama kami dalam sektor swasta untuk terus menggunakan teknologi ini di UAE."

Cik Chanda Kochhar, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif, ICICI Bank: 

"ICICI Bank mempunyai warisan sedia diketahui umum dalam memanfaatkan teknologi terkini demi membawakan paradigma baharu dalam sektor perbankan. Seperti mana teknologi rintis yang baharu di negara ini seperti robot perisian, mobiliti dan komunikasi berhampiran lapangan antara lainnya, saya berbesar hati kerana kami merupakan bank pertama di India dan antara segelintir bank di dunia yang menggunakan aplikasi blockchain. Kami turut mencipta kejayaan penting dengan merintis rangkaian blockchain bersama Emirates NBD dan Infosys Finacle sebagai rakan kongsi dan telah berjaya melaksanakan pembiayaan perdagangan akaun terbuka rentas sempadan serta transaksi kiriman wang. Saya dapat melihat bahawa teknologi blockchain yang baru muncul ini akan memainkan peranan penting dalam sektor perbankan pada tahun-tahun mendatang dengan menjadikan transaksi perbankan kompleks secara dua hala dan pelbagai hala kepada perkhidmatan perbankan yang lancar, pantas serta lebih selamat. Pada masa depan, kami juga berhasrat untuk berusaha meluaskan ekosistem blockchain dan menyediakan piawaian kerja yang sama demi menyumbang terhadap penggunaan komersial untuk inisiatif ini."

Latar Belakang EdgeVerve Systems Ltd 

EdgeVerve Systems, sebuah anak syarikat milik penuh Infosys, yang membangunkan produk-produk perisian yang inovatif serta menawarkan kesemua ini di premis atau sebagai platform perniagaan yang dihoskan dalam infrastruktur awan. Produk-produk kami membantu syarikat-syarikat menjalin hubungan yang lebih erat dengan pihak berkepentingan, memperkasa usaha inovasi yang berterusan dan mempercepatkan kemajuan dalam dunia digital. Kami memperhebat kemajuan pelanggan kami dalam bidang-bidang yang berkembang pesat seperti perbankan, pemasaran digital, perdagangan interaktif, perdagangan pengedaran, perkhidmatan kredit, perkhidmatan pelanggan dan juga pembelian perusahaan.

Kini, produk-produk EdgeVerve digunakan oleh syarikat-syarikat bertaraf global dalam perkhidmatan kewangan, insurans, peruncitan dan CPG, sains hayat, pembuatan dan juga telekomunikasi. Finacle, iaitu penyelesaian perbankan sejagat kami menjadi pilihan institusi-institusi kewangan di 84 buah negara dan menyediakan perkhidmatan untuk lebih 547 juta pelanggan, iaitu hampir 16.5 peratus daripada populasi golongan dewasa yang memiliki akaun bank di dunia.

Untuk mengetahui lebih lanjut, layari http://www.edgeverve.com

Kenyataan Perlindungan Selamat 

Beberapa kenyataan dalam siaran media ini berkaitan prospek pertumbuhan masa depan kami merupakan kenyataan jangkaan tentang jangkaan perniagaan masa depan kami yang bertujuan untuk melayakkannya sebagai 'kenyataan perlindungan selamat' di bawah Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Persendirian 1995, yang melibatkan beberapa risiko dan ketidaktentuan yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara ketara berbanding kenyataan jangkaan. Risiko dan ketidaktentuan berkaitan jangkaan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, risiko dan ketidaktentuan membabitkan turun naik pendapatan, turun naik dalam kadar pertukaran asing, kemampuan kami mengurus pertumbuhan, persaingan sengit dalam perkhidmatan IT termasuk faktor-faktor yang boleh memberi kesan terhadap kelebihan kos kami, peningkatan gaji di India, kemampuan kami menarik dan mengekalkan golongan profesional berkemahiran tinggi, masa dan kos berlebihan ke atas harga tetap, kontrak bagi tempoh masa yang tetap, penumpuan pelanggan, halangan imigresen, penumpuan terhadap segmen industri, kemampuan kami mengurus operasi antarabangsa, pengurangan permintaaan terhadap teknologi melibatkan bidang tumpuan utama kami, gangguan terhadap rangkaian komunikasi atau kegagalan sistem, kemampuan kami untuk menyelesaikan dan mengintegrasikan pengambilalihan yang berpotensi dengan jayanya, liabiliti ke atas ganti rugi mengikut kontrak perkhidmatan kami, kejayaan syarikat-syarikat yang menerima pelaburan strategik daripada Infosys, penarikan atau penamatan insentif fiskal kerajaan, ketidakstabilan politik dan konflik serantau, sekatan undang-undang untuk mengumpul modal atau mengambil alih syarikat-syarikat di luar India, dan penggunaan harta intelek kami tanpa kebenaran selain keadaan ekonomi umum yang memberi kesan terhadap industri kami. Risiko-risiko tambahan yang boleh memberi kesan terhadap keputusan operasi masa depan kami diperincikan dengan lebih lengkap dalam fail Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran Amerika Syarikat kami termasuk Laporan Tahunan kami dalam Borang 20-F untuk tahun fiskal berakhir pada 31 Mac 2016. Fail-fail ini tersedia di http://www.sec.gov. Dari semasa ke semasa, Infosys mungkin membuat kenyataan jangkaan tambahan secara bertulis atau lisan, termasuk kenyatan-kenyataan yang terkandung dalam fail syarikat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran serta laporan kami untuk pemegang saham. Di samping itu, sila ambil maklum bahawa tarikh siaran media ini ialah pada 18 Oktober 2016 dan mana-mana kenyataan jangkaan yang terkandung dalam siaran ini adalah berdasarkan andaian yang kami percaya adalah munasabah setakat tarikh ini. Syarikat tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini mana-mana kenyataan jangkaan yang mungkin dibuat dari semasa ke semasa oleh atau bagi pihak syarikat melainkan jika dikehendaki oleh undang-undang.

Sumber: Infosys Finacle

 

Source: Infosys Finacle
Keywords: Banking/Financial Service Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Joint ventures Licensing/marketing agreements