omniture

Global Terrorism Index 2016: Peningkatan Kematian 650% akibat Keganasan Dalam Kalangan Negara Ahli OECD

Institute for Economics and Peace
2016-11-16 13:00 837

LONDON, 16 November 2016 /PRNewswire/ --

  • Penurunan 10% kematian global akibat keganasan pada 2015 dibayangi oleh peningkatan kesan keganasan keseluruhan memandangkan lebih banyak negara mencatatkan rekod jumlah pengganas  
  • Kejayaan ketenteraan terhadap ISIL dan Boko Haram mengurangkan kadar kematian di Iraq dan Nigeria, namun begitu kedua-dua kumpulan melakukan keganasan ke negara-negara jiran dan juga wilayah
  • 23 negara mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat keganasan yang direkodkan, berbanding angka sebelumnya iaitu 17 negara pada 2014
  • 21 daripada 34 negara ahli OECD mengalami sekurang-kurangnya satu serangan keganasan dengan kebanyakan kematian berlaku di Turki dan Perancis 
  • Perancis, Turki, Arab Saudi, Kuwait dan Tunisia mengalami peningkatan yang agak besar terhadap keganasan yang mempengaruhi kemerosotan keseluruhan skor GTI  sebanyak 6%
  • Impak ekonomi global keganasan mencecah nilai  US$89.6 bilion pada 2015

Jumlah kematian yang berpunca akibat keganasan menurun sebanyak 10% iaitu menjadi 29,376 pada tahun 2015, menurut Global Terrorism Index 2016, membalikkan trend menaik empat tahun.

Campur tangan ketenteraan terhadap ISIL dan Boko Haram mengakibatkan 32% penurunan angka kematian di Iraq dan Nigeria, yang menyumbang kepada penurunan angka global keseluruhan. Walau bagaimanapun, walaupun ISIL dan Boko Haram dapat ditumpaskan di negara-negara asalnya, organisasi-organisasi ini telah menular ke negara-negara lain, meningkatkan kesan keganasan di pelusuk dunia dan menyumbang 6% kemerosotan bagi skor GTI keseluruhan tahun ini.

Laporan tahunan ini, dikeluarkan oleh Institute for Economics and Peace (IEP) berdasarkan Pangkalan Data Keganasan Global oleh National Consortium for the Study of Terrorism and Responses to Terrorism (START) selain sumber-sumber lain, menyediakan sumber paling lengkap mengenai trend keganasan global. Ia mendapati bahawa pada peringkat global, jumlah negara yang merekodkan jumlah kematian tertinggi pada tahun 2015 meningkat kepada 23 negara, bertambah enam negara, berbanding 17 negara yang direkodkan sebelumnya. Negara-negara yang mengalami kemerosotan yang amat ketara skor GTI ialah Perancis, Turki, Arab Saudi, Kuwait dan Tunisia. Ia membawa kepada perubahan besar dari segi kedudukan berbanding tahun lalu dan menyumbang kepada kemerosotan keseluruhan skor GTI global memandangkan kemerosotan ini mengatasi penambahbaikan keadaan di Nigeria dan Iraq.

Negara-negara yang dilanda keganasan ISIL dan rakan sekutunya meningkat dua kali ganda negara-negara berbanding sebelumnya, meningkat daripada 13 negara pada 2014 menjadi 28 negara pada 2015, termasuk banyak negara di Eropah. Ia menyebabkan peningkatan jumlah negara yang mengalami kesan kegiatan keganasan tertinggi dalam sejarah mereka sejak 16 tahun lalu. Aktiviti Boko Haram yang menular ke negara-negara jiran Niger, Cameroon dan Chad meningkatkan jumlah mereka yang terbunuh akibat keganasan di ketiga-tiga negara ini sebanyak 157%. Ia mengakibatkan Cameroon dan Niger masing-masing meningkat ke kedudukan ke-13 dan16 dalam GTI.

Steve Killelea, Pengerusi Eksekutif IEP berkata, "Laporan GTI tahun ini menekankan set dinamik paling rumit dalam keganasan dunia sejak 16 tahun lalu. Walaupun dari satu aspek, berlaku penurunan positif kadar kematian, peningkatan tahap keganasan yang berterusan di beberapa negara dan penularannya ke negara lain memerlukan perhatian yang serius dan membuktikan sifat kegiatan pengganas moden yang tidak menentu. Serangan di lokasi-lokasi penting di negara-negara demokrasi barat menegaskan keperluan terhadap tindakan yang pantas dan disesuaikan mengikut perubahan organisasi ini."

Di negara-negara OECD, taktik rentas negara ISIL yang digabungkan dengan serangan individu hasil dorongan kumpulan itu menyumbang peningkatan 650% jumlah kematian. 21 daripada 34 negara OECD mengalami sekurang-kurangnya satu serangan, dengan kebanyakan kematian berlaku di Turki dan Perancis. Denmark, Perancis, Jerman, Sweden dan Turki kesemuanya merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat keganasan dalam tempoh setahun sejak tahun 2000. Lebih separuh daripada 577 kematian berhubung kait dengan ISIL, yang mana serangan di Paris, Brussels dan Ankara adalah antara yang paling dahsyat dalam sejarah negara-negara ini.

Steve Killelea mengulas, "Pejuang asing ISIL yang pernah ke Syria secara umumnya mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi berpendapatan rendah, manakala semakin ramai pejuang menyertai kumpulan ini kerana rasa disingkir oleh negara asal mereka. Usaha memahami faktor pendorong kegiatan keganasan ini adalah penting sekiranya kita ingin mewujudkan strategi untuk memerangi keganasan yang dapat mengatasi penyebaran radikalisasi. Operasi ketenteraan jelas menyumbang terhadap usaha menghalang ISIL di Iraq, namun permintaan berterusan organisasi itu, jelas terbukti daripada serangan hasil dorongan ISIL di Eropah, menunjukkan keterbatasan pendekatan ketenteraan semata-mata."

Dalam negara-negara OECD, laporan tersebut mendapati faktor sosioekonomi seperti pengangguran kalangan belia, kadar jenayah, akses terhadap senjata api dan kesangsian dalam proses pilihan raya merupakan faktor statistik yang paling signifikan berhubung keganasan. Di negara-negara sedang membangun, sejarah konflik, kadar rasuah dan ketaksaksamaan mengikut kumpulan merupakan faktor hubung kait yang paling signifikan dengan kegiatan keganasan.

Impak ekonomi global keganasan mencecah US$89.6 bilion pada tahun 2015: Iraq mengalami impak ekonomi tertinggi akibat keganasan, yang mencecah 17% KDNK pada tahun 2015. Lima negara yang menerima impak ekonomi keseluruhan tertinggi akibat keganasan ialah Iraq, Afghanistan, Nigeria, Pakistan dan Syria. Lima negara ini menyumbang 72% daripada keseluruhan jumlah kematian akibat keganasan pada tahun 2015. Empat kumpulan pengganas paling dahsyat yang bertanggungjawab terhadap 74% daripada seluruh kematian akibat keganasan beroperasi daripada negara-negara ini: ISIL, Boko Haram, Taliban dan al-Qa'ida. ISIL mendahului Boko Haram sebagai kumpulan pengganas paling merbahaya pada tahun 2015 menerusi serangan di 252 bandar berbeza yang mengakibatkan 6,141 kematian.

NOTA UNTUK EDITOR 

Laporan penuh GTI dan peta interaktif disediakan di: www.visionofhumanity.org

Ikuti:    @GlobPeaceIndex #TerrorismIndex

Klik suka:  www.facebook.com/globalpeaceindex

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20141118/717092

Source: Institute for Economics and Peace
Keywords: Publishing/Information Service Public Safety Survey, Polls & Research