SINGAPURA, 24 November 2016 /PRNewswire/ -- Wacom memperkenalkan rangkaian paparan pen kreatif Wacom Cintiq Pro, iaitu Cintiq Pro 13 dan Cintiq Pro 16. Cintiq Pro ini merapatkan jurang yang wujud antara inspirasi dan ekspresi, memperkasa golongan profesional serta pencipta kandungan digital yang serius untuk membawa karya seni mereka ke tahap seterusnya. Memanfaatkan lebih 30 tahun hasil inovasi produk dan maklum balas pengguna, Wacom Cintiq Pro menggabungkan prestasi pen yang paling alami dan tepat setakat ini kepada faktor bentuk yang anggun, nipis dan mudah dibawa bagi membantu pereka, ilustrator, jurugambar atau sesiapa sahaja yang berminat dengan seni untuk menyerlahkan daya kreativiti mereka.
Untuk melihat siaran multimedia penuh, sila klik: http://www.prnasia.com/mnr/wacom_cintiq_pro_201611.shtml
"Wacom percaya dengan potensi tanpa had pelanggan kami dan kami bertekad untuk membantu mereka mencapai matlamat kreatif mereka dengan menghidupkan seni serta rekaan, selain menghubungkan inspirasi dan ekspresi menerusi rangkaian produk yang kami bangunkan untuk kreativiti," kata Masahiko Yamada, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Wacom. "Hasil daripada prestasi pen Cintiq Pro yang mengagumkan dan ciri reka bentuk lain, individu yang berminat untuk meneroka elemen kreativiti dapat menzahirkan apa yang tersimpan dalam hati dan jiwa mereka kepada kanvas digital dengan berkesan."
Pen Berketepatan
Perkara paling utama untuk pengalaman Cintiq Pro ialah Pro Pen 2 baharu, yang menawarkan kawalan kreatif dan ketepatan yang tiada tandingan buat mereka yang memandang serius seni digital mereka. Memberikan empat kali ganda lebih ketepatan dan kepekaan tekanan berbanding Pro Pen edisi terdahulu, Pro Pen 2 yang ditambah baik ini dapat mencipta pengalaman yang intuitif yang lancar, dengan tiada jejak lamban pada permukaan kaca yang memberikan geseran tepat serta disadur untuk mengurangkan pantulan. Di samping itu, proses ikatan optik baharu benar-benar dapat mengurangkan paralaks, memberikan prestasi pen-pada-skrin mirip rasa dan reaksi semula jadi pen atau berus biasa. Kedua-dua model Cintiq Pro turut menampilkan ciri berbilang sentuhan bagi memastikan navigasi yang mudah dan pantas, selain kemampuan untuk mengecilkan, membesarkan dan memutarkan ilustrasi, gambar mahupun model dalam aplikasi perisian kreatif sokongan 2-D atau 3-D.
Reka Bentuk dan Fungsi Lebih Pintar, Lebih Menarik
Wacom Cintiq Pro dapat memperkaya aliran kerja kreatif menerusi reka bentuk baharu yang moden, anggun dan nipis, menjadikannya mudah untuk dimasukkan ke dalam beg komputer riba atau beg galas selain mampu dibawa antara lokasi kerja dan komputer. Kedua-dua model Cintiq Pro mempunyai resolusi tinggi didatangkan dengan ruang kerja kaca berukir sisi-ke-sisi yang dioptimumkan sebagai platform kreatif yang menggalakkan coretan tebal pen dan berus. Cintiq Pro masih mengekalkan ciri terdahulu, iaitu sentuhan Cintiq 13HD, menawarkan Alat Kawalan Jauh ExpressKey™ sebagai aksesori pilihan, agar pengguna dapat menyesuaikan pintasan dan pengubah yang selalu digunakan apabila bekerja dengan aplikasi perisian kreatif. Selain itu, ciri-ciri ergonomik seperti ErgoFlex, kaki boleh ditarik keluar bersepadu sepenuhnya, dan ErgoStand (meja berdiri tiga kedudukan pilihan, tersedia pada Februari), membolehkan pengguna fokus terhadap kerja mereka, dan bukannya sentiasa menyesuaikan kedudukan bagi mencari keselesaan atau melakar menerusi cara yang bertentangan dengan gaya mereka.
Konfigurasi, Harga dan Ketersediaan Produk:
Wacom Cintiq Pro 13 dan 16 serasi dengan komputer Mac dan PC, dan menampikan resolusi HD penuh (1920x1080) dan ultra HD (3840x2160). Kedua-dua konfigurasi Cintiq Pro memberikan warna terang, model 13 inci memberikan 87 peratus, manakala model 16 inci memberikan 94 peratus Adobe RGB. Dengan harga $999.95 USD, Cintiq Pro 13 dijangka tersedia secara dalam talian dan di beberapa lokasi jualan terpilih pada awal Disember ini. Cintiq Pro 16 pula, yang berharga $1499.95 USD bakal dipasarkan pada Februari.
"Daya kreativiti mendorong artis dan pereka untuk membayangkan semula apa yang boleh dilakukan. Tetapi, untuk menjadikan dunia lebih kreatif, orang ramai memerlukan peralatan yang bekerja dengan mereka, dan bukan sebaliknya," kata Ed Neumann, Naib Presiden Kanan Pemasaran untuk Unit Perniagaan Kreatif, Wacom. "Pelancaran Wacom Cintiq Pro meletakkan kuasa produk Cintiq kebanggaan kami menjadi peranti yang amat mudah dibawa dan lebih mudah disesuaikan berbanding sebelum ini – memberikan astis bukan sekadar memberi ketepatan yang lebih baik tetapi juga keanjalan cara dan tempat mereka bekerja."
Latar Belakang Wacom
Diasaskan pada tahun 1983, Wacom ialah sebuah syarikat bertaraf global yang berpengkalan di Jepun (Bursa Saham Tokyo: 6727) yang mempunyai beberapa buah anak syarikat dan pejabat bersekutu di serata dunia bagi menyokong usaha pemasaran dan juga pengedaran di lebih 150 negara. Wawasan Wacom untuk lebih merapatkan manusia dan teknologi melalui teknologi antara muka semula jadi telah menjadikannya sebagai pengeluar utama dunia bagi pen tablet dan paparan yang interaktif, selain stilus dan penyelesaian digital bagi tujuan menyimpan dan juga memproses tandatangan digital. Teknologi maju pada peranti input Wacom yang intuitif digunakan untuk mencipta beberapa seni digital, filem, kesan khas, fesyen dan juga rekaan paling menarik di seluruh dunia, selain memberikan teknologi antara muka utama kepada syarikat dan pengguna di kediaman bagi menzahirkan personaliti mereka. Sila layari www.wacom.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Daphne Tan
Wacom Singapore Pte. Ltd.
(+65) 6258 8640
daphne.tan@wacom.com
Foto - http://photos.prnasia.com/prnh/20161116/8521607500-a
Foto - http://photos.prnasia.com/prnh/20161116/8521607500-b
Foto - http://photos.prnasia.com/prnh/20161116/8521607500-c
Foto - http://photos.prnasia.com/prnh/20161116/8521607500-d