omniture

Lanson Place Bolot 3 Anugerah Industri Di Kuala Lumpur, Shanghai dan Hong Kong

Lanson Place Hospitality Management Limited
2016-11-28 14:00 409

HONG KONG, 28 November 2016 /PRNewswire/ -- Lanson Place Hospitality Management Limited (Lanson Place) dengan bangganya mengumumkan tiga hartanahnya yang berada di rantau pan-Asia telah dianugerahkan dengan tiga penghormatan. Aroma Garden Serviced Suites by Lanson Place (Shanghai) telah meraih anugerah "Kediaman Berservis Baharu Terbaik di China" sempena Anugerah Pengembara Perniagaan China bagi tahun kedua berturut-turut; Kediaman Berservis Lanson Place Bukit Ceylon (Malaysia) pula dipilih sebagai Pemenang Negara bagi Pangsapuri Berservis Mewah sempena Anugerah Hotel Mewah Dunia 2016; dan Lanson Place Hotel, Hong Kong merangkul anugerah "Hotel Bandar Terbaik" bagi Anugerah Kecemerlangan Condé Nast Johansens.

Anugerah Pengembara Perniagaan China memberi pengiktirafan kepada pengendali perhotelan di bandar-bandar pintu utama China. Para pemenang telah memperlihatkan kualiti perkhidmatan yang begitu cemerlang dan turut memberi sumbangan penting serta rangsangan baharu kepada industri ini. Anugerah Hotel Mewah Dunia pula mengiktiraf hotel-hotel mewah dan perkhidmatan perhotelan yang terkemuka di dunia atas kemudahan berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang cemerlang menerusi undian daripada orang awam dan juga penilaian bebas. Anugerah Condé Nast Johansens ialah simbol kepercayaan yang terkemuka di dunia dari segi kualiti, diperakui oleh pengguna mewah dan golongan profesional pelancongan yang serupa, selain turut mengiktiraf dan menganugerahkan hotel serta perkhidmatan perhotelan yang menunjukkan kualiti perkhidmatan yang luar biasa.

En. Marc Hediger, Ketua Pegawai Eksekutif Lanson Place berkata, "Ini merupakan satu penghormatan yang cukup besar untuk tiga hartanah kami di Shanghai, Kuala Lumpur dan Hong Kong atas kemasyhuran serantau yang diiktiraf oleh penggiat industri di Asia. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan pakar perhotelan kami atas sumbangan hebat mereka sepanjang tahun lalu demi menyediakan perkhidmatan yang benar-benar luar biasa selain mencipta kenangan yang terus berkekalan buat tetamu kami." Beliau menambah, "Dengan adanya sebelas hartanah milik kami, kami yakin Syarikat ini akan terus berkembang menjadi salah satu daripada pengendali hotel dan kediaman berservis yang utama di Asia."

Latar Belakang Aroma Garden Serviced Suites by Lanson Place  

Terletak di Puxi, Shanghai, berhampiran dengan lokasi The Bund dan Taman Yuyuan yang tidak jauh letaknya, Aroma Garden Serviced Suites by Lanson Place menawarkan 79 suit berservis dengan pilihan satu hingga tiga bilik tidur, dengan keluasan antara 97 hingga 470 meter persegi, membawakan gaya hidup yang mempesonakan di tengah-tengah bandar Shanghai sejak mula dibuka pada tahun 2015.

Latar Belakang Kediaman Berservis Lanson Place Bukit Ceylon

Sebagai ahli "Small Luxury Hotels of the WorldTM", dan terletak di kawasan Bukit Ceylon, Kuala Lumpur yang meriah, selain mempunyai pelbagai bangunan komersial, pusat membeli belah, tarikan hiburan dan warisan budaya, Kediaman Berservis Lanson Place Bukit Ceylon menggabungkan ciri kemewahan moden, keanggunan bercitarasa dan keselesaan kediaman peribadi di bawah satu bumbung. Ia mempunyai 150 pangsapuri berservis dengan pilihan satu hingga tiga bilik tidur yang direka dengan begitu mewah, lengkap dengan semua sumber, kemudahan dan perkhidmatan peribadi yang tiada tandingan agar dapat memberikan gaya hidup yang selesa serta bergaya buat tetamu yang arif.

Latar Belakang Lanson Place Hotel, Hong Kong

Lanson Place Hotel, Hong Kong menggabungkan keanggunan, gaya dan keselesaan dengan begitu seimbang. Hotel ini terlindung daripada kepesatan hab hiburan dan pusat membeli belah Causeway Bay, Hong Kong. Setiap satu daripada 194 bilik dan suit empernya dilengkapi dapur kecil, melambangkan penginapan mewah yang elegan dengan ciri-ciri ekslusif dan keselesaan seperti di rumah sendiri. Sebagai ahli pertama "Small Luxury Hotels of the WorldTM" di Hong Kong, hotel ini menyajikan para tetamunya dengan perkhidmatan yang meraih anugerah dan kemudahan yang lengkap di tengah-tengah bandar selama lebih satu dekad.

Latar Belakang Lanson Place Hospitality Management Limited

Lanson Place ialah sebuah anak syarikat milik penuh Wing Tai Properties Limited (Wing Tai), iaitu sebuah syarikat senaraian awam di Hong Kong (kod saham HKEx: 369). Wing Tai kini mengurus sebelas hartanah (Wing Tai memiliki entiti dalam dua hartanah tersebut) menerusi jenama Lanson Place, terdiri daripada hotel mewah dan pangsapuri berservis di Shanghai, Chengdu, Kuala Lumpur, Singapura dan Hong Kong.

Umumnya, hartanah Lanson Place terletak berdekatan dengan kawasan pusat perniagaan serta kawasan membeli belah dan juga hiburan. Lanson Place bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang memberi perhatian dan dikhususkan kepada pelanggan dengan ciri-ciri kemudahan hotel mewah berserta keselesaan dan juga privasi kediaman peribadi.

Syarikat ini akan terus mengembangkan jenama "Lanson Place" sebagai jenama pan-Asia dan akan terus meninjau peluang pelaburan dan pengurusan khususnya di bandar-bandar pintu masuk di rantau Asia Pasifik.

Source: Lanson Place Hospitality Management Limited
Related Stocks:
HongKong:00369 HongKong:00369.HK HongKong:0369
Keywords: Commercial Real Estate Hotels and Resorts Leisure/Travel/Hotels Overseas Real Estate (non-US) Real Estate Travel Awards