omniture

Subsidiari Median Group Inc., Grid Mobile Sdn Bhd, Tandatangani Memorandum Persefahaman dengan Mobisphere Sdn Bhd Bagi Kolaborasi Promosi Ekosistem Bayaran Mudah Alih

Median Group Inc.
2016-12-07 12:15 608

KUALA LUMPUR, Malaysia, 7 December 2016 /PRNewswire/ -- Median Group Inc. dengan sukacitanya mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Grid Mobile Sdn Bhd ("Grid Mobile") telah pada 30 November 2016 menandatangani Memorandum Persefahaman ("MOU") dengan Mobisphere Sdn Bhd ("Mobisphere"). Memorandum tersebut membabitkan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk memperkenalkan dan mempromosikan penyelesaian teknologi kewangan ("fintech") berhubung dengan ekosistem pembayaran mudah alih bersepadu yang dilengkapi dengan akaun maya dan dompet digital yang turut membabitkan kad keahlian, debit, prabayar dan/atau kredit untuk ahli Grid Mobile. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa dengan menandatangani MOU ini, ia menjadi bukti langkah pertama mereka dalam usaha memahami dan meninjau potensi serta peluang perniagaan yang tersedia berkaitan tawaran perniagaan masing-masing.

Memorandum ini adalah sah dan akan tamat selepas enam bulan dari tarikh menandatangani atau semasa menandatangani perjanjian kerjasama rasmi, mana-mana yang lebih terdahulu.

Grid Mobile, sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia ialah pengedar produk dan perkhidmatan untuk telekomunikasi mudah alih di Malaysia, manakala Mobisphere ialah penyedia perkhidmatan mudah alih dan platform pembayaran serantau termasuk fungsi ketersambungan dan penyelesaian perisian telekomunikasi mudah alih vertikal.

Menurut MOU ini, Grid Mobile and Mobisphere akan menjalankan segala usaha bagi mencapai pembangunan dan operasi yang lancar menerusi kolaborasi perniagaan itu dan akan merundingkan kesemua terma dan syarat bagi mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh tiga bulan dari tarikh MOU.

MOU ini dan usaha merealisasikan perjanjian kerjasama rasmi ini bakal mengukuhkan lagi hala tuju perniagaan Grid Mobile iaitu untuk menyediakan tawaran teknologi kewangan agar terus seiring dengan industri telekomunikasi yang semakin kompetitif.

Latar Belakang Median Group Inc.

Median Group Inc. ("Median" atau Syarikat) ialah sebuah syarikat yang diperbadankan di Texas dan diurusniagakan dalam pasaran "Over-the-Counter" ("OTC") di Amerika Syarikat. Simbol sahamnya ialah CHMD.

Median Group Inc. menyasarkan untuk menjadi penyedia perkhidmatan mudah alih dan teknologi terkemuka yang memberi tumpuan terhadap komunikasi mudah alih serta aplikasi, teknologi dan perkhidmatan kewangan ("Fintech") selain ruang dalam pasaran digital untuk komuniti kumpulan tertutup. Objektif syarikat ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dengan membangunkan ekosistem teknologi digital. Ibu pejabat Median terletak di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut tentang Median, sila layari: www.mediangroupinc.com atau e-melkan kepada kami di ir@mediangroupinc.com.

Latar Belakang Grid Mobile Sdn Bhd

Grid Mobile, sebuah anak syarikat milik penuh Median ialah sebuah syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang menawarkan produk dan perkhidmatan telekomunikasi menerusi jenama "Grid Mobile". Tawaran yang disediakan merangkumi perkhidmatan telekomunikasi, transaksi masa sebenar, dan platform pembayaran bagi memenuhi aspirasinya demi menjadi peneraju utama bagi produk serta perkhidmatan telekomunikasi, kewangan, hiburan dan pelancongan untuk masyarakat.

Grid Mobile kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ("SKM") untuk menyediakan platform komunikasi dan transaksi ("Platform Pembayaran Mudah Alih") untuk 12,500 koperasi berdaftar dan 7,500,000 ahli koperasi di Malaysia. Grid Mobile juga telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan kumpulan rangkaian yang menyasarkan pendaftaran seramai 1,000,000 ahli di Malaysia dan juga ASEAN.

Latar Belakang Mobisphere Sdn Bhd          

Mobisphere ialah penyedia platform pembayaran mudah alih dan perkhidmatan penukaran kiriman wang untuk rantau ASEAN. Sejak ditubuhkan pada November 2012, syarikat ini telah menjadi bahagian penting dalam menggabungkan perkhidmatan kiriman wang rantau pan-ASEAN antara negara menerusi penyediaan eDompet mudah alih berserta perkhidmatan kiriman wang antara negara.

Objektif utama syarikat ini adalah untuk menyediakan prasarana kiriman wang dan pembayaran pan-ASEAN yang cekap, berkesan kos dan mantap yang dapat dilihat dari segi penyediaan perkhidmatan bukan sahaja demi kepentingan industri kewangan dalam usaha menyediakan ketelusan yang lebih hebat, tetapi juga kepentingan yang lebih utama untuk masyarakat yang luas di negara masing-masing dalam memudahkan penghantaran wang ke negara asal.

Mobisphere kini beroperasi di Indonesia, Malaysia and Singapura untuk menawarkan platform pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kiriman wang menerusi "FlexTM".

Penafian Kenyataan Selamat:

Amaran tentang Bahasa Berkenaan Kenyataan Jangkaan

Siaran media ini mengandungi "kenyataan jangkaan" termasuk maklumat yang berkaitan dengan peristiwa masa depan dan prestasi kewangan serta operasi masa depan. Perkataan-perkataan "boleh", "akan", "bakal", "menjangka", "menganggarkan", "dapat", "percaya", "berpotensi" dan ungkapan-ungkapan serta variasi lain yang serupa, bertujuan untuk mengenal pasti kenyataan jangkaan. Kenyataan jangkaan tidak seharusnya diterima sebagai jaminan prestasi atau keputusan masa depan, dan tidak semestinya memberi indikasi yang tepat pada ketika itu, atau dengannya, yang mana prestasi atau keputusan demikian akan dicapai. Kenyataan jangkaan adalah berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika ia dibuat dan/atau keyakinan utuh pihak pengurusan pada ketika itu berhubung dengan peristiwa masa depan, dan tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan yang boleh menyebabkan prestasi atau keputusan sebenar berbeza dengan ketara berbanding yang dinyatakan atau dicadangkan dalam kenyataan jangkaan itu. Faktor-faktor penting yang boleh menyebabkan perbezaan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada: turun naik berhubung permintaan terhadap produk Median, pengenalan produk baharu, kebolehan Syarikat untuk mengekalkan hubungan perniagaan bersama pelanggan dan bersifat strategik, kesan dan harga produk kompetitif, pertumbuhan dalam pasaran sasaran, kesesuaian melibatkan kecairan dan kekukuhan kewangan Syarikat untuk menyokong pertumbuhannya, dan maklumat lain yang diperincikan dari semasa ke semasa dalam fail Median bersama Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran Amerika Syarikat. Contoh-contoh kenyataan jangkaan dalam siaran media ini termasuk kenyataan-kenyataan berkaitan jualan masa depan, kos dan penerimaan produk dalam pasaran selain tindakan kawal selia pada peringkat Negeri atau Persekutuan. Untuk mendapatkan keterangan yang lebih terperinci tentang faktor-faktor risiko dan ketidakpastian yang memberi kesan terhadap Median Group Inc. sila rujuk fail Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran Syarikat, yang tersedia di www.sec.gov. Median Group Inc. tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula kenyataan jangkaan kepada umum, sama ada hasil daripada maklumat baharu, peristiwa masa depan atau sebaliknya.

Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20161130/8521607818LOGO

 

Source: Median Group Inc.
Keywords: Banking/Financial Service Computer Software Telecommunications Telecommunications Carriers and Services OTC/SmallCap IRW