omniture

Adient perkenal konsep tempat duduk mewah baharu untuk sistem pemanduan automatik tahap-3 dan tahap-4

Adient
2017-01-09 20:00 539

Pendemonstrasi AI17 Syarikat muncul buat julung kali di Detroit dalam Pameran Automotif Antarabangsa Amerika Utara  

DETROIT, 9 Januari 2017 /PRNewswire/ -- Adient (NYSE: ADNT), pembekal tempat duduk automotif global terbesar di dunia, hari ini memperkenalkan sistem tempat duduk pemanduan automatik AI17 yang inovatif bagi menunjukkan sejauh mana pemanduan automatik akan memberi impak kepada pengalaman pemandu dan penumpang dalam kenderaan premium kontemporari sempena Pameran Automotif Antarabangsa Amerika Utara (North American International Auto Show, NAIAS) di Detroit.   

generated by system

Ruang dalaman kenderaan pemanduan automatik akan memainkan peranan penting memandangkan pemandu dan penumpang meluangkan lebih masa terhadap aktiviti-aktiviti bukan memandu. Apabila kenderaan memiliki keupayaan untuk dipandu menggunakan komputer, penumpang akan menuntut lebih kefleksibelan daripada tempat duduk dan ruang dalam kenderaan berbanding sebelum ini.

"Pendemonstrasi AI17 kami menunjukkan sejauh mana kami memanfaatkan peluang untuk mencipta inovasi yang dapat diberikan oleh teknologi kenderaan pemanduan automatik," kata Bruce McDonald, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Adient. "Konsep ini menampilkan hasil inovasi yang meningkatkan kefleksibelan ruang dalaman, di samping turut menyediakan penumpang dengan tahap keselamatan, keselesaan dan kemudahan yang lebih tinggi."

Adient, ditubuhkan ketika segmen perniagaan tempat duduk automotif Johnson Controls dipisahkan menjadi sebuah syarikat bebas pada tahun 2016, berkongsi beberapa konsep dan produk yang sedia untuk dikeluarkan sempena NAIAS tahun ini.

Menurut Richard Chung, naib presiden inovasi Adient, AI17 mempamerkan penyelesaian inovatif untuk kenderaan pandu sendiri tahap-3 dan tahap-4 yang meramalkan betapa ruang dalaman kenderaan masa depan akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

 "Berdasarkan penyelidikan pasaran dan pengguna yang luas, produk-produk dalam pendemonstrasi direka dengan penuh teliti menerusi pendekatan modular untuk disesuaikan dengan pelbagai kenderaan dan membolehkan pembezaan antara segmen dibuat," kata Chung.

Menurut Chung, inovasi-inovasi utama yang tersedia dalam AI17 termasuk:

  • Mod Sapaan/Perbualan — Landasan dasar berputar yang boleh berpusing, membolehkan penumpang tempat duduk hadapan bergerak bebas. Ruang dasar ini menyediakan asas untuk mod sapaan dan perbualan. Bagi mod sapaan, landasan boleh berputar hingga 70 darjah ke luar agar penumpang boleh masuk dan keluar dari tempat duduk kenderaan dengan mudah. Tempat duduk ini juga boleh berputar 15 darjah ke dalam bagi memberikan suasana intim untuk berinteraksi semasa senario pemanduan automatik. Gerakan kuasa segerak pada tempat duduk dapat mengoptimumkan kedudukan setiap penumpang untuk semua mod. Fungsi elektronik bersepadu mampu mengingati kedudukan yang digemari.
  • Tempat duduk hadapan — Para pereka mementingkan aspek keselamatan, keselesaan dan juga kemudahan. Asas utama konsep ini ialah pivot antropometri yang memastikan tempat duduk dapat dibaringkan mengikut tubuh penumpang dan disokong walaupun ia dibaringkan melebihi julat biasa. Komponen-komponen berkaitan – penahan kepala, tempat letak tangan dua sisi, tempat rehat kaki – diselaras untuk bergerak mengikut tubuh dan direka bagi menyokong pengalaman premium yang kontemporari. Teknologi tempat duduk "Petala Selesa" ("Comfort Shell") berpaten memberikan panel yang ringan dan anjal yang disesuaikan mengikut tubuh sepanjang tulang belakang serta turut menyokong bahagian lumbar.
  • Struktur hibrid tempat duduk belakang — Struktur hibrid tempat duduk berjulur mengoptimumkan keselesaan untuk penumpang tempat duduk belakang, tanpa mengira bagaimana mereka menghabiskan masa perjalanan mereka. Sistem tempat duduk ini menyediakan lebih ruang peribadi, memberi keselesaan sehingga 45 darjah posisi baring dan tempat rehat kaki bersepadu yang disimpan di bawahnya.
  • Tempat menyimpan tempat duduk belakang — Bagi membawa muatan yang lebih besar, kusyen dan kerangka tempat duduk belakang dapat disimpan pada kedudukan stadium yang nipis bagi memberikan ruang yang lebih luas.
  • Tempat rehat kaki tempat duduk belakang — Tempat rehat kaki bersepadu untuk tempat duduk belakang diperbuat daripada keluli pegas dan melentur apabila tekanan diberikan daripada betis penumpang, disimpan di bawah kusyen bagi memberikan ruang simpanan yang lebih baik.
  • Konsol Kusyen — Konsep "Konsol Kusyen" AI17 memberikan konsol hadapan yang lancar, yang boleh dipanjangkan ke bahagian ruang penumpang belakang, menyediakan tempat letak tangan yang menyokong seluruh tangan serta memberi ruang untuk menyimpan barangan lebih kecil.
  • Tempat letak tangan — Tempat letak tangan dua sisi tempat duduk hadapan memberi sokongan untuk berehat, tidur dan bersosial. Tempat letak tangan ini bergerak mengikut tubuh sepanjang posisi baringan penuh dan kedudukan tempat duduk berputar.
  • Penahan Kepala — AI17 menampilkan penahan kepala empat arah berkuasa dan manual. Penahan kepala empat arah berkuasa yang mempunyai kelebaran tempat duduk hadapan ini menyokong bahagian kepala penumpang pada posisi baringan penuh dan juga pada kedudukan tempat duduk berputar. Penahan kepala empat arah manual pula menggabungkan pemegang dua sisi yang mudah dipegang, bagi membantu penyelarasan penahan kepala dengan betul.

Pameran Adient di bilik 310B, Pusat Cobo akan dibuka untuk rakan media dan tetamu undangan mulai 9-12 Januari, dan sidang akhbar diadakan pada 6:30 pagi hari Isnin, 9 Januari.

NAIAS – salah satu pameran automotif terunggul dunia – dibuka kepada rakan media dan para pegawai industri pada hari Isnin, 9 Januari. Ia akan dibuka kepada orang awam mulai hari Sabtu, 14 Januari hingga Ahad, 22 Januari. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.naias.com

Latar Belakang Adient:
Adient ialah peneraju dunia bagi tempat duduk automotif. Menggajikan seramai 75,000 kakitangan yang mengendalikan 230 kilang pembuatan/pemasangan di 33 negara seluruh dunia, kami mengeluarkan dan menyediakan tempat duduk automotif untuk semua kategori kenderaan dan semua OEM utama. Bermula daripada sistem tempat duduk lengkap kepada komponen individu, kepakaran kami merangkumi setiap peringkat dalam proses pembuatan tempat duduk automotif. Kepakaran bersepadu dalaman kami membolehkan kami membawa produk kami daripada peringkat penyelidikan dan reka bentuk hingga kepada kejuruteraan dan pembuatan – dan diletakkan di dalam lebih 25 juta kenderaan setiap tahun. Untuk maklumat lanjut tentang Adient, sila layari adient.com

Source: Adient
Related Stocks:
NYSE:ADNT
Related Links:
Keywords: Auto Transportation New products/services Trade show news