omniture

DJI Perkenal Dron Siri M200 Dibangun Untuk Penyelesaian Perusahaan

Platform Tahan Lasak, Versatil Dicipta untuk Pemeriksaan Udara Dan Pengumpulan Data
DJI
2017-02-28 16:37 369

BARCELONA, Sepanyol, 28 Februari 2017 /PRNewswire/ -- DJI, peneraju dunia bagi teknologi udara tanpa pemandu, pada hari Ahad memperkenalkan siri dron Matrice 200 (M200) baharu, yang dibangunkan khas untuk pengguna profesional bagi melakukan pemeriksaan udara dan mengumpul data – menjadikan teknologi dron sebagai alat mampu milik dan mudah digunakan oleh perusahaan yang mengakui sejauh mana pengimejan udara dapat mengubah operasi mereka.

Badan boleh lipat pada siri M200 mudah dibawa dan mudah dipasang, dengan adanya badan pesawat tahan cuaca dan kalis air, ia sesuai untuk operasi lapangan. Ia menawarkan cagak gimbal menghadap atas pertama DJI, membuka sebelah bawah jambatan, menara dan struktur lain untuk tujuan pemeriksaan. Ia serasi dengan kamera hebat X4S dan X5S DJI, serta kamera zum Z30 berkuasa tinggi, dan kamera XT untuk pengimejan haba. Ia mempunyai kamera pandangan diri pertama menghadap depan, membolehkan juruterbang dan pengendali kamera memantau imej berasingan pada dua pengawal. Ciri-ciri keselamatannya termasuk sensor cegah halangan menghadap depan, atas dan bawah, serta penerima ADS-B untuk mendapat maklumat trafik berbentuk nasihat daripada pesawat dipandu manusia berhampiran. Dengan dua pemasangan bateri, platform M200 boleh terbang sehingga 35 minit dengan kamera yang terlekap.

"Dron begitu pantas menjadi bahagian standard bagi kit alat perusahaan dan pengguna industri mula bergantung pada teknologi DJI untuk mengumpul data udara dengan cekap," kata Paul Guo, Pengarah Penyelesaian Perusahaan di DJI. "Dengan siri M200, DJI memperkenalkan satu penyelesaian menyeluruh yang direka khusus untuk para pengguna ini. Kami merevolusikan aliran kerja profesional dengan memungkinkan penggunaan sensor canggih dengan pelbagai kombinasi bagi menjadikan tugas-tugas sofistikated seperti pemeriksaan jambatan, pengukuran tanah serta misi mencari dan menyelamat lebih mudah, lebih selamat dan lebih andal berbanding sebelum ini."

Siri M200 direka untuk golongan profesional yang menggunakan dron untuk tujuan pengumpulan data udara yang lebih tepat, cekap dan selamat. Contoh-contoh kegunaan industri termasuk:

  • Pemeriksaan Infrastruktur Kritikal -- bekerja berhampiran talian kuasa, menara telekomunikasi dan jambatan memberi risiko jatuh dan mengalami kejutan elektrik kepada pemeriksa. Siri M200 DJI meningkatkan keselamatan memandangkan kerja dapat dilakukan dari jauh. M200 boleh mengenal pasti kerosakan bersaiz milimeter dalam bangunan, jalan raya dan jambatan pada masa sebenar, menjadikan operasi-operasi tersebut lebih selamat, cekap dan berkesan.
  • Pemeriksaan Kemudahan Tenaga -- perancangan penyelenggaraan boleh menelan belanja yang tinggi dan memakan masa. Dengan platform M200 yang stabil dan tahan cuaca, rangkaian talian kuasa yang luas boleh divisualkan dengan terperinci yang tiada tandingan dan infrastruktur menegak seperti turbin angin dan pelantar minyak luar pesisir boleh diperiksa dari semua sudut.
  • Pemetaan Tapak Pembinaan - pengukuran dan pemetaan seringkali perlu dijalankan tanpa mengira keadaan cuaca dan faktor-faktor luaran lain. Siri M200 ialah platform tahan lasak yang direka agar dapat bertahan dalam keadaan sukar. Siri M200 memberikan alat yang cekap kepada pengurus tapak pembinaan untuk meninjau kemajuan dan aliran kerja, memastikan penggunaan sumber yang lebih cekap.
  • Keselamatan Awam -- apabila masa menjadi begitu penting dan keadaan cuaca berubah buruk, responder pertama memerlukan platform udara yang versatil dan andal. Membawa sensor visual dan/atau haba, siri M200 memberikan kesedaran situasi bagi keadaan berpotensi berbahaya seperti kebakaran, pencarian dan bencana alam. Komander insiden boleh menggunakan data yang dikumpul oleh M200 untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan lebih baik, melindungi nyawa dan harta benda, di samping mengurangkan risiko keselamatan untuk menyelamatkan kakitangan.

Maklumat lanjut tentang aplikasi M200 disediakan di sini: http://www.dji.com/matrice-200-series/applications

Versi Standard dan Pro
Siri M200 didatangkan dalam tiga versi. Versi standard M200 dilengkapi dengan satu cagak gimbal menghadap bawah. M210 memberi ruang untuk berbilang konfigurasi muatan – satu cagak gimbal menghadap bawah, dua cagak gimbal menghadap bawah yang selari atau satu cagak gimbal menghadap atas. M210 menampilkan port fungsi ketersambungan tambahan untuk menyokong sensor dan aksesori pihak ketiga. M210 berupaya menyokong sensor tambahan pada masa depan dan muatan tambahan boleh dipasang di atas pesawat. M210 RTK disediakan dengan modul D-RTK untuk navigasi ketepatan berukuran sentimeter.

Tahap Keselamatan dan Keandalan Tiada Tandingan
Menerusi pengelasan IP43, siri M200 dibangunkan agar mampu bertahan terhadap persekitaran sukar. Pesawat ini dilengkapi dengan lebih 20 sensor dalaman demi menjamin lebihan dan keandalan maksimum, termasuk kompas, sistem GPS, dua unit pengukuran inersia (IMU) dan juga tiga barometer. Pengawal gimbal disepadukan dalam badan pesawat untuk fungsi perlindungan dan mencegah sesaran. Pesawat ini mempunyai dua sistem stereo-pandangan di bawah dan di hadapan pesawat dan mempunyai sensor inframerah menghadap atas untuk mengelakkan halangan. Sistem bateri lebihan meningkatkan keselamatan dan juga membolehkan pesawat kekal berkuasa ketika bateri ditukar mengikut turutan.

Siri M200 menampilkan DJI AirSense, penerima ADS-B terbina dalam, meningkatkan keselamatan ruang udara dengan menyediakan maklumat masa sebenar secara automatik kepada pengendali tentang kedudukan, altitud dan halaju pesawat dipandu manusia yang berdekatan dilengkapi dengan pemancar ADS-B. AirSense mendayakan penggunaan ruang udara yang lebih selamat dan lebih cekap, khususnya di lokasi-lokasi di mana pesawat panduan manusia mungkin beroperasi.

Siri M200 turut dilengkapi dengan pengawal penerbangan bersepadu, menampilkan dua IMU dan satu unit GNSS, dengan sistem lebihan analisis tambahan. Berfungsi bersama algoritma diagnostik canggih, ia dapat bertukar dengan lancar daripada satu IMU kepada yang lain bagi mengekalkan keandalan serta ketepatan.                        

Pengurusan Penerbangan DJI
Selain aplikasi DJI GO 4, siri M200 turut menyokong aplikasi DJI Pilot serba baharu, yang direka khusus untuk pengguna perusahaan, mengoptimumkan pengalaman pengguna dan prestasi penerbangan. Pengguna juga dapat merancang penerbangan menggunakan aplikasi GS Pro DJI, yang menggunakan antara muka yang jelas dan ringkas bagi mewujudkan misi penerbangan kompleks dengan hanya beberapa ketikan.

Siri M200 serasi dengan Kit Pembangunan Perisian (SDK) Mudah Alih dan Dalam Pesawat DJI, membolehkan pengatur cara menyediakan penyelesaian tersuai untuk perancangan penerbangan, pengumpulan serta analisis data.

Aplikasi DJI Pilot juga serasi dengan DJI FlightHub™, pakej perisian berasaskan web yang membolehkan pasukan berkongsi data masa sebenar dengan pihak-pihak di luar kawasan menerusi Internet. Ini termasuk bilik kawalan situasi kecemasan jarak jauh yang mengawasi pasukan respons pertama atau pusat pengurusan aset yang memeriksa rangkaian infrastruktur global. Menerusi pusat kawalan yang mudah digunakan, DJI FlightHub membolehkan pengguna merancang penerbangan dengan berbilang dron dan mengawasi status setiap pesawat. Bilik kawalan luar kawasan boleh memantau suapan langsung secara serentak dan boleh mengawal gimbal dan kamera dari jauh. Perisian ini membolehkan pengurus merancang penerbangan lebih awal menggunakan titik laluan dan pagar geo yang dinamik.

Ciri-ciri Penerbangan Pintar
Penglihatan komputer siri M200 mendayakan mod penerbangan pintar bagi membantu pengumpulan data. Ciri-ciri ini disediakan untuk berbilang sensor DJI, membolehkan tangkapan canggih seperti pengezuman semasa menjejak objek:

  • Lampu Sorot -- untuk menetapkan kedudukan kamera pada subjek semasa penerbangan ketika pesawat terbang bebas
  • Lokasi Tumpuan -- untuk mengelilingi objek bagi orbit yang lancar
  • Tripod -- untuk menala kedudukan dan sudut bagi menetapkan kedudukan kerangka dan navigasi selamat di kawasan sempit
  • ActiveTrack (Penjejakan Aktif) -- untuk mengikut individu atau objek sambil mengekalkannya dalam kerangka

Aksesori
Siri M200 digandingkan dengan DJI Goggles, memaparkan pandangan 85 darjah daripada dron dalam 1080p penuh untuk pemandangan dari udara bagi dunia yang berada di bawah.

Siri M200 menggunakan sistem Lightbridge 2 hebat daripada DJI, menyokong jarak sehingga 4.3 batu (7 km), dengan kebenaran undang-undang dan peraturan tempatan, pada resolusi pandangan langsung sehingga 1080p. Jarak pengawal tuan dan hamba dapat dilanjutkan sehingga 328 kaki dan pengguna boleh menukar frekuensi antara 2.4 GHz dan 5.8 GHz untuk menyingkirkan sebarang hingar untuk kestabilan isyarat yang lebih hebat.

Siri M200 menawarkan dua versi bateri – versi 95 Wh standard dan versi 174 Wh yang lebih hebat dengan masa penerbangan mencecah sehingga 38 minit.

Muatan M200
Siri M200 menyediakan tiga konfigurasi muatan yang berbeza – satu kamera menghadap bawah (M200), dua kamera menghadap bawah (M210) dan / atau satu kamera menghadap atas (M210).

Siri kamera Zenmuse DJI yang dinaik taraf turut dioptimumkan untuk pengimejan udara dan berhubung terus dengan gimbal pesawat dan pengawal penerbangan. Bagi situasi yang memerlukan keseimbangan antara berat dan kualiti imej, X4S Zenmuse mempunyai sensor 1-inci 20-megapiksel dengan 11.6 hentian julat dinamik dan panjang fokus bersamaan 24 mm. X4S Zenmuse menawarkan kawalan apertur (f2.8-11) dan pengatup mekanikal yang mampu memberi kelajuan pengatup sehingga 1/2000, menghapuskan gangguan pengatup beralun apabila mengambil gambar subjek yang pantas bergerak atau apabila membuat penerbangan dengan kelajuan tinggi. X5S Zenmuse mempunyai sensor Micro Four Thirds lebih besar dengan 20.8 megapiksel dan 12.8 hentian julat dinamik, selain menyokong lapan kanta bermula dengan sudut luas hinggalah zum.

XT Zenmuse DJI dikuasakan oleh FLIR, menyediakan pengimejan haba tinggi sensitiviti yang sesuai untuk tujuan analisis dan telemetri. Z30 Zenmuse DJI ialah kamera udara bersepadu pertama dengan fungsi zum optik sehingga 30x dan digital sehingga 6x, menjadikan pengumpulan data imej jauh lebih pantas sambil dapat mengurangkan risiko bahaya kepada kakitangan mahupun peralatan.

Harga dan Ketersediaan Produk
Siri M200, M210 dan M210 RTK boleh dipratempah daripada pengedar rasmi DJI Enterprise dan akan mula dihantar pada Suku Kedua 2017. Butiran harga dan maklumat berhubung lokasi untuk membeli siri M200 akan diumumkan dalam masa terdekat. Untuk maklumat lanjut tentang siri M200, sila lihat di sini: http://www.dji.com/matrice-200-series/

Foto dan video M200 tersedia untuk dimuat turun di pautan ini: http://bit.ly/2lXFQty

Latar Belakang DJI
DJI ialah peneraju global dalam membangunkan dan mencipta teknologi dron serta kamera yang inovatif untuk kegunaan peribadi dan juga profesional. DJI ditubuhkan dan dikendalikan oleh individu yang amat berminat dengan helikopter kawalan jauh serta pakar dalam bidang teknologi kawalan penerbangan dan juga kestabilan kamera. Syarikat ini dikhususkan untuk menjadikan fotografi udara dan peralatan serta platform pembikinan filem lebih mudah diakses, andal dan lebih mudah untuk digunakan oleh pencipta serta penginovasi di seluruh dunia. Operasi global DJI kini mencakupi benua Amerika, Eropah dan Asia, manakala produk dan penyelesaiannya yang revolusioner menjadi pilihan pelanggan yang berada di lebih 100 negara untuk digunakan dalam industri pembikinan filem, pembinaan, tindak balas kecemasan, pertanian, pemuliharaan dan banyak industri lain.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang kami: http://enterprise.dji.com 
Ikuti DJI Enterprise melalui Twitter: https://twitter.com/DjiEnterprise
Langgan Saluran YouTube kami: www.youtube.com/DJI

Source: DJI
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics New products/services