omniture

Jam Tangan Kecergasan Pintar Lengkap Kini Muncul dengan HUAWEI WATCH 2

Huawei Consumer Business Group
2017-02-28 23:02 659

BARCELONA, Sepanyol, 28 Februari 2017 /PRNewswire/ --

Huawei Consumer Business Group (CBG) hari ini menakrif semula kategori baharu teknologi boleh pakai menerusi HUAWEI WATCH 2. Memanfaatkan hasil penyelidikan dan pembangunan terkini daripada penginovasi teknologi Huawei, jam tangan ini menggabungkan fungsi ketersambungan telefon pintar, aplikasi gaya hidup lebih pintar pada jam tangan pintar premium serta kejurulatihan dan pengesanan prestasi terperinci bagi alat pengesan sukan utama, semuanya dalam bentuk jam tangan klasik yang bergaya.

generated by system

generated by system

HUAWEI WATCH 2 mewarisi reka bentuk klasik HUAWEI WATCH asal, di samping memperkenalkan inovasi baharu dalam setiap kategori agar lebih memperkasa semangat eksplorasi pengguna dan membantu mereka menikmati gaya hidup aktif.

Jam tangan ini akan mula dijual di Sepanyol. Perancis, Itali, Jerman dan China pada Mac ini, dengan harga bermula 329 € bergantung pada reka bentuk dan ciri-ciri yang dipilih. Ia akan turut disediakan di negara-negara lain termasuk AS, UK, Rusia dan Australia mulai bulan April. Untuk mengetahui butiran lengkap tentang jadual pelancarannya, lihat nota untuk editor di bawah.

Dalam dunia yang mana teknologi menjadi semakin bersepadu ke dalam kehidupan kita, HUAWEI WATCH 2 ialah produk buat mereka yang inginkan kebebasan meneroka sambil kekal terhubung, tanpa perlu bergantung pada telefon pintar. Dikuasakan oleh pemproses Qualcomm® Snapdragon™ Wear 2100, HUAWEI WATCH 2 (versi sokongan 4G) mempunyai fungsi ketersambungan bebas, membolehkan pengguna menghantar pesanan ringkas atau membuat panggilan tanpa menggunakan telefon bimbit. Ia juga menampilkan ciri keserasian untuk aplikasi gaya hidup pintar terkini. Menyediakan sokongan untuk rangkaian selular dan beroperasi melalui Android Wear[TM] 2.0 baharu memastikan ketersambungan untuk pengguna Android[TM] dan iOS, dan ini bermakna HUAWEI WATCH 2 merangkumi semangat kebebasan dan eksplorasi untuk semua.

Fungsi ketersambungan bebas memenuhi semangat eksplorasi anda 

Dengan HUAWEI WATCH 2 (versi sokongan 4G), pengguna boleh meninggalkan telefon bimbit mereka di rumah dan keluar berlari, berbasikal atau sekadar meneroka sambil kekal terhubung. Hasil daripada fungsi ketersambungan mudah alih bebas dan cip GPS terbina dalam, pengguna boleh menjawab panggilan dan pesanan ringkas, selain menggunakan aplikasi bebas seperti Uber, Foursquare dan Telegram. Reka bentuk inovatif ini bermakna fungsi ketersambungan tambahan ini didatangkan tanpa mengorbankan kualitinya. Sokongan VoLTE dan penghapusan hingar dwimikrofon dapat membantu memastikan pengalaman telefon yang stabil dan jelas, di samping penyepaduan antena pada bahagian atas muka jam untuk fungsi 4G, GPS, Wi-Fi, Bluetooth dan NFC berganda dalam peranti, mengukuhkan ketersambungan dengan ketara, membolehkan HUAWEI WATCH 2 kekal kompak, sambil menjamin penerimaan isyarat yang baik.

Selain versi SIM yang berfungsi dengan syarikat telekomunikasi rangkaian mudah alih, HUAWEI WATCH 2 turut menyediakan versi eSIM (disediakan untuk negara-negara tertentu sahaja).

Selain itu, beberapa syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan satu-nombor-berbilang-SIM. Tidak perlu untuk mendapatkan nombor baharu, memandangkan jam tangan dan telefon bimbit anda boleh berkongsi nombor yang sama. Berperanan melangkaui sekadar rakan kongsi kepada telefon pintar, HUAWEI WATCH 2 (versi sokongan 4G) menyediakan fungsi ketersambungan anjal yang diperlukan dalam kehidupan moden yang aktif dan membolehkan semuanya dikawal pada satu tangan.

Rakan kesihatan dan senaman lengkap 

HUAWEI WATCH 2 juga merupakan peranti kecergasan tinggi spesifikasi yang menggunakan berbilang sensor dengan algoritma canggih demi menyediakan penyelesaian kecergasan dan menjadikan senaman lebih cekap dan berkesan. Sensor pintar terbina dalam dapat mengumpul data komprehensif tentang aktiviti pengguna, termasuk jarak, kelajuan, langkah, kadar degupan jantung, julat kadar degupan jantung, kalori, gaya berjalan, laluan dan banyak lagi.

Dengan satu klik pada bahagian mahkota HUAWEI WATCH 2 dapat membuka Aplikasi senaman untuk memulakan latihan serta merta. Mod berlari mula pantas "larian bakar lemak" dan "larian kardio" membolehkan pelari mula berlari serta merta dan jam tangan ini akan membimbing kelajuan anda agar berada dalam zon kadar degupan jantung yang betul. Larian menggunakan HUAWEI WATCH 2 membolehkan anda mendapatkan bimbingan masa sebenar termasuk pemberitahuan mengenai jarak, status melengkapkan sasaran serta amaran jantung berdegup kencang dan berdasarkan pelan senaman yang dirancang, HUAWEI WATCH 2 juga dapat memaklumkan anda secara dinamik sama ada untuk mempercepat atau memperlahankan larian bagi membimbing anda melalui setiap peringkat larian anda. Dengan sokongan GPS HUAWEI WATCH 2 dan sistem pengesanan kadar degupan jantung, HUAWEI WATCH 2 mengukur VO2max anda bagi setiap larian. Setelah berlari sewajarnya, jam tangan ini memberi laporan secara automatik yang menasihatkan tentang tempoh pemulihan dan kesan latihan.

Elemen-elemen sokongan lain termasuk GPS terbina dalam yang mengesan laluan senaman anda. HUAWEI WATCH 2 juga membolehkan anda menambah muzik kepada senaman anda menggunakan aplikasi Muzik Google Play[TM]. Pengguna boleh memuat turun lagu, menstrim muzik dan mengakses senarai main mereka.

Selain senaman, HUAWEI WATCH 2 turut menggalakkan kehidupan yang sihat sepanjang hari. Daily Tracking App mengesan langkah berjalan harian pengguna dengan tepat, merekod masa yang diambil untuk melakukan senaman dengan kadar intensiti sederhana hingga tinggi, dan mengesan kekerapan anda berdiri setelah tempoh tidak aktif yang panjang. Semua maklumat ini dilaporkan melalui bar perkembangan bagi menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dan lebih aktif. Pemantauan kadar degupan jantung yang berterusan dapat mengesan kadar degupan jantung anda di belakang aplikasi dan melaporkan kadar degupan jantung pada enam jam lalu dalam garis melengkung. HUAWEI WATCH 2 turut mengukur Kadar Degupan Jantung Ketika Rehat, yang direkodkan dalam aplikasi pemantauan aktiviti.

Reka bentuk jam tangan kronograf

HUAWEI WATCH 2 memiliki reka bentuk jam tangan klasik yang menyepadukan ciri-ciri pintar dengan fungsi sukan, sambil mengekalkan wajah yang bergaya. Dibuat daripada bahan-bahan sofistikated, reka bentuk dwimahkota memberikan citarasa premium. Di samping mengekalkan gaya klasik, jam tangan ini mampu disesuaikan mengikut personaliti pemakai, dengan pilihan reka bentuk klasik dan sporty. Paparan berdefinisi tinggi juga boleh disesuaikan dengan pelbagai reka bentuk muka jam, membolehkan pengguna mengakses aplikasi kegemaran mereka dan aplikasi yang paling kerap digunakan dengan pantas. Selain reka bentuk kronograf, HUAWEI WATCH 2 membawakan bezel seramik yang memberi kualiti hebat, sambil menawarkan pengalaman pemakaian yang selesa.

Jam tangan ini juga direka untuk keselesaan dan sesuai semasa bersenam, bermakna ia berbentuk melengkung agar dapat diletakkan sempurna pada pergelangan tangan. Saiznya lebih kecil dan lebih padat berbanding Jam Tangan HUAWEI generasi terdahulu dengan komponen pada satu bahagian mengambil 88% daripada ruang keseluruhan pada jam tangan ini.

Jam Tangan Pintar Porsche Design HUAWEI

Penginovasi teknologi Huawei dan jenama gaya hidup premium Porsche Design melanjutkan kerjasama mereka dengan pengumuman Jam Tangan Pintar Porsche Design HUAWEI baharu. Bagi melengkapi Porsche Design HUAWEI Mate 9, yang dilancarkan pada November 2016, produk ini memperkayakan lagi pengalaman pengguna. Sekali lagi, kolaborasi ini menyatukan hasil inovasi terkini dalam teknologi dengan reka bentuk paling berfungsi, memberikan nilai estetika dan fungsi yang seimbang. Ia menggabungkan ciri pengesanan aktiviti terkini dengan fungsi pengurusan kecergasan bersama fungsi ketersambungan dan teknologi pintar pada peranti boleh pakai pintar terkemuka. Bagi mereka yang inginkan gaya dan elemen, Jam Tangan Pintar Porsche Design HUAWEI menyediakan ciri pengesanan kecergasan bertaraf profesional, iaitu fungsi pintar terkini dan juga reka bentuk sofistikated – semuanya pada pergelangan tangan.

Jam tangan pintar inovatif tersebut merupakan yang pertama seumpamanya direka oleh Porsche Design dan merupakan sebahagian daripada pelancaran berterusan peranti pintar, yang bakal diperkenalkan dalam bulan-bulan akan datang.

Richard Yu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Consumer Business Group berkata mengenai pelancaran itu: "Dalam era maklumat berpecah-pecah masa kini, fungsi sebenar teknologi adalah untuk menyediakan kemudahan dan sambungan tanpa mengganggu kehidupan harian anda. Kami ingin mencipta produk yang sesuai untuk individu yang berharap dapat meneroka keterbatasan ekspresi mereka sendiri, sambil terus terikat dengan keperluan untuk kekal terhubung. Dengan produk ini, tidak perlu lagi untuk sentiasa bergantung pada telefon pintar anda. Fungsi ketersambungan yang bebas dan aplikasi pintar yang boleh digunakan pada pergelangan tangan anda bermakna anda boleh berlari atau berbasikal dan meninggalkan telefon bimbit anda, dengan rasa kebebasan mengetahui yang anda tidak akan ketinggalan sebarang pesanan penting."

Kesihatan dan kesejahteraan adalah penting untuk pengguna moden, namun peranti pemantauan tradisional adalah amat rumit dan seringkali terbiasa buat beberapa lama dan kemudiannya diketepikan. Kami ingin membawakan kesemua teknologi pemantauan paling terkini ke dalam satu pakej yang bergaya dan pintar, menjadikan alat ini bukan sahaja dapat memastikan anda kekal sihat, tetapi juga bergaya dan membantu menjadikan kehidupan harian anda lebih mudah."

Ketersediaan dan Aksesori 

HUAWEI Watch 2 akan mula tersedia di lebih 20 negara dan rantau. Ini termasuk:

Dilancar pada Mac - Sepanyol, Perancis, Portugal, Itali, Jerman, China.

Dilancar pada April - AS, UK, Holland, Belgium, Switzerland, Ireland, Negara-negara Nordic, Thailand, Australia, New Zealand, Rusia, India, Afrika Selatan, Poland, Austria, Araba Saudi, Jepun, UAE

Dilancar pada Mei - Malaysia

Hubungi: Fiona Hughes, Fiona.Hughes@hkstrategies.com, +44(0)207-413-3036

Source: Huawei Consumer Business Group
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics Telecommunications New products/services Trade show news