omniture

DJI Perkenal Aksesori Prestasi Tinggi Baharu dan Pelan Perkhidmatan Bantu Pelanggan Profesional Manfaatkan Sepenuhnya Produk DJI

Alat Kawalan Jauh Boleh Disesuaikan, Antena Gandaan Tinggi, Paparan Keamatan Tinggi dan Sokongan Pelanggan Terunggul Tawar Faedah Baharu untuk Golongan Profesional
DJI
2017-04-25 17:08 408

LAS VEGAS, 25 April 2017 /PRNewswire/ -- DJI, peneraju dunia bagi teknologi kamera kreatif, pada hari Ahad memperkenalkan perkakasan berprestasi tinggi baharu dan program sokongan pelanggan terunggul bagi membantu pelanggan profesional memanfaatkan sepenuhnya peralatan pengimejan udara dan pegangan tangan mereka. Alat kawalan jauh Cendence baharu, antena gandaan tinggi DJI Tracktenna dan monitor CrystalSky menyediakan kawalan peribadi dan prestasi lebih baik untuk kegunaan paling mendesak, manakala DJI Circle memberikan tahap sokongan terunggul baharu untuk produk-produk DJI dan mereka yang bergantung padanya untuk melaksanakan tugas mereka.

"Bermula dengan pasukan penyelamat kepada pembangun perisian, daripada pembikin filem kepada kontraktor, pelanggan profesional DJI menuntut prestasi tertingi daripada platform udara serta penstabil pegangan tangan kami," kata Paul Pan, Pengurus Kanan Produk DJI. "Kami komited untuk memberikan mereka peralatan yang mereka perlukan untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik, agar mereka dapat mencapai matlamat mereka dengan lebih kuasa, ketepatan dan kawalan berbanding sebelum ini."

Alat Kawalan Jauh Boleh Disesuaikan

Alat kawalan jauh Cendence baharu ialah pengawal berbilang platform pertama daripada DJI untuk golongan profesional yang memerlukan kefleksibelan, kecekapan dan personalisasi pada hujung jari mereka. Reka bentuk ergonomik yang intuitif terletak begitu sempurna pada tangan anda, membolehkan akses mudah kepada butang dan dail fungsi yang boleh diprogram.

Pengguna boleh memprogram dan menyimpan konfigurasi butang tersuai untuk pilihan penerbangan dan rakaman berbeza, dan boleh menggunakan dua dail bagi melaraskan gimbal anggul dan rewang secara serentak. Dengan Cendence, juruterbang mendapat akses segera kepada fungsi-fungsi seperti ISO, ketajaman, kelajuan pengatup, fokus dan banyak lagi, tanpa perlu menavigasi tetapan menu sentuh pada peranti mudah alih mereka. Cendence membawakan port penghantaran video SDI dan HDMI terbina dalam bagi tujuan penyiaran HD secara langsung dan aplikasi penstriman, dan boleh disesuaikan dengan mudah untuk menggunakan teknologi penghantaran video Lightbridge atau WiFi daripada DJI.

Pengawal ini boleh dipasang pada telefon pintar, tablet dan monitor CrystalSky kecerahan tinggi daripada DJI, dan turut menampilkan skrin kedua yang lebih kecil bagi memaparkan data telemetri kritikal. Hayat bateri yang panjang sehingga 4 jam dan kebolehan menukar bateri dengan mudah menjadikan pengurusan kuasa yang lebih mudah dan penerbangan yang lebih lama. Cendence serasi dengan dron Matrice 200 dan Inspire 2 DJI. Cendence bakal disediakan menjelang akhir tahun ini, dengan harga $999 (USD).

Untuk maklumat lanjut: http://www.dji.com/cendence

Komunikasi Penerbangan dan Data Dipertingkat

DJI Tracktenna ialah antena gandaan tinggi yang membantu dalam era baharu komunikasi tanpa wayar berjarak jauh dengan meningkatkan keandalan isyarat pada jarak jauh dan menghindar gangguan. Sensor terbina dalamnya dan gimbal dua paksi menunjuk antena ke arah pesawat secara automatik setiap masa, mengukuhkan sambungan walaupun ketika pengendali sedang bergerak atau berada dalam kenderaan.

Apabila dipasang pada pengawal Cendence baharu dalam keadaan optimum, DJI Tracktenna dapat meningkatkan penghantaran isyarat ke lebih 6.2 batu (10 km), memberikan tahap respons dan keyakinan yang dipertingkat kepada golongan profesional apabila membuat penerbangan rumit seperti misi mencari dan menyelamat, pemeriksaan talian kuasa, pemeriksaan saluran paip, penyiaran HD secara langsung, pembikinan filem dan banyak lagi. Juruterbang perlu sentiasa memahami dan mengikut sebarang undang-undang dan peraturan yang dikenakan berhubung jarak penerbangan.

DJI Tracktenna menyokong kelajuan penghantaran sehingga 10 Mbps dalam jarak 1.24 batu (2 km) bagi aplikasi intensif data. Ia menyokong jalur frekuensi 2.4 GHz dan 5.8 GHz, memberikan tahap kestabilan isyarat yang lebih hebat. Harga dan ketersediaan DJI Tracktenna akan diumumkan pada satu tarikh kelak.

Monitor Khusus Lebih Cerah

Rangkaian monitor khusus CrystalSky menawarkan skrin paparan yang lebih cerah dan lebih andal untuk juruterbang, jurugambar dan pembikin filem yang memerlukan maklumat visual yang lebih mantap berbanding yang disediakan pada telefon pintar dan tablet. Siri CrystalSky menyediakan paparan sehingga 2000 cd/m2, iaitu empat kali ganda lebih cerah berbanding telefon pintar dan tablet biasa, memberikan penglihatan skrin yang jelas walaupun pada waktu siang.

Monitor CrystalSky disediakan dalam saiz 5.5-inci dan 7.85-inci. Monitor ini dipasang terus pada pengawal Cendence baharu, dan menggunakan pendakap lekapan khusus baharu untuk dipasang pada pengawal DJI yang lain. Ia direka untuk beroperasi dalam julat suhu -4 hingga +104 darjah Fahrenheit, dan boleh beroperasi sehingga 6 jam dalam keadaan ideal menggunakan bateri luaran kedua.

CrystalSky beroperasi bagi versi dioptimum aplikasi DJI GO, DJI GO 4 dan DJI Pilot, dan menyediakan dua slot kad mikroSD bagi penyimpanan dan main balik pantas untuk video 4K dikodkan. CrystalSky akan disediakan tidak lama lagi dengan tiga konfigurasi: versi 5.5-inci, 1000 cd/m2 berharga $469 (USD); versi 7.85-inci, 1000 cd/m2 berharga $699 (USD); dan versi 7.85-inch, 2000 cd/m2 berharga $999 (USD).

Untuk maklumat lanjut: http://www.dji.com/crystalsky

Khidmat Pelanggan Terunggul

Bagi golongan profesional dan pelanggan moden yang mempunyai keperluan mendesak, program DJI Circle baharu menyediakan program sokongan pelanggan terunggul khusus untuk menjamin perkhidmatan bertaraf dunia apabila bantuan diperlukan. Program ini menawarkan liputan luas bagi tempoh dua belas bulan untuk lima produk DJI, termasuk siri dron Inspire, M600, Mavic Pro dan Phantom, serta siri penstabil pegangan tangan Ronin dan Osmo.

Setiap ahli DJI Circle menerima perkhidmatan kerja rencam peribadi DJI bagi membimbing mereka mendapatkan banyak faedah daripada program ini, dan untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan ciri-ciri kemudahan tersebut dengan mudah dan cekap. Perkhidmatan kerja rencam boleh mengurus khidmat sewaan bateri yang dipercepat, mengutamakan penghantaran produk, menjawab pertanyaan sokongan teknikal lapangan, menyediakan maklumat khusus untuk keperluan tertentu ahli, dan mengundang mereka menyertai acara-acara eksklusif DJI yang membolehkan mereka menjalin hubungan dengan pengurus produk DJI serta pakar-pakar industri. Dengan satu pusat hubungan tunggal dari serata dunia – termasuk perkhidmatan rencam sandaran yang tersedia sepanjang masa, setiap hari dalam setahun – ahli-ahli DJI Circle bebas memberi tumpuan terhadap keperluan kreatif mereka.

Faedah-faedah DJI Circle termasuk:

  • Khidmat Sewaan Bateri -- Berdasarkan permintaan, bateri-bateri akan dihantar bagi memastikan peranti DJI anda sentiasa mempunyai kuasa sebanyak yang diperlukan bagi menyelesaikan projek anda. Perkhidmatan ini turut membantu mengelakkan sekatan perjalanan udara yang dikaitkan dengan beberapa teknologi bateri DJI.
  • Khidmat Pembaikan dan Sandaran Peranti -- Mendapat perlindungan untuk membaiki kerosakan tanpa sengaja bagi produk-produk DJI, sehingga $15,000 (USD) setiap tahun. Apabila menghantar produk kepada DJI untuk dibaiki, anda akan menerima peranti ganti sementara untuk digunakan sehingga pembaikan selesai, meminimumkan kelewatan agar anda dapat memenuhi tarikh akhir projek.
  • Khidmat SOS Global -- Mendapat akses perkhidmatan perubatan kecemasan sekiranya anda sakit atau mengalami kecederaan ketika melancong, membolehkan anda menjalankan projek-projek dengan yakin di lokasi-lokasi terpencil di serata dunia.
  • Faedah Keahlian Eksklusif -- Jadilah yang pertama menerima produk-produk DJI baharu, selain mendapat akses eksklusif ke acara-acara DJI dan peluang-peluang perangkaian, membantu anda kekal terhubung dan berada di barisan hadapan bagi teknologi pengimejan udara.
  • Akses Ruang Menunggu Lapangan Terbang -- Mengembara dengan selesa menerusi akses percuma ke lebih 850 ruang menunggu lapangan terbang di seluruh dunia.

Demi menjamin kualiti perkhidmatan terunggul, DJI Circle disediakan buat pertama kali mulai bulan Mei berdasarkan jemputan hanya untuk pelanggan di Amerika Syarikat dan tanah besar China, bermula pada harga $4,699 (USD) untuk tempoh 12 bulan. Bagi memohon jemputan untuk peluang-peluang menjadi ahli DJI Circle di masa depan, emelkan kepada djicircle@dji.com.

DJI di NAB 2017 

Cendence, DJI Tracktenna dan CrystalSky akan dipamerkan di reruai DJI sempena Pameran NAB di Las Vegas, Nevada mulai 24-27 April, berserta penstabil profesional Ronin 2 baharu dan seluruh rangkaian produk teknologi kamera kreatif DJI. Para peserta persidangan boleh mengunjungi reruai DJI #C2807 di Dewan Utama, Pusat Konvensyen Las Vegas.

Foto-foto Sedia Dimuat Turun:

Untuk maklumat tambahan, sila hubungi:

Adam Lisberg, pr@dji.com

Latar Belakang DJI

DJI, peneraju dunia bagi teknologi dron awam serta pengimejan udara, ditubuhkan dan dikendalikan oleh individu yang amat berminat dengan helikopter kawalan jauh serta pakar dalam bidang teknologi kawalan penerbangan dan juga kestabilan kamera. Syarikat ini dikhususkan untuk menjadikan fotografi udara dan peralatan serta platform pembikinan filem lebih mudah diakses, andal dan lebih mudah digunakan oleh pencipta serta penginovasi di seluruh dunia. Operasi global DJI kini mencakupi benua Amerika, Eropah dan Asia, manakala produk dan penyelesaiannya yang revolusioner menjadi pilihan pelanggan yang berada di lebih 100 negara untuk digunakan dalam industri pembikinan filem, pembinaan, tindak balas kecemasan, pertanian, pemuliharaan dan banyak lagi industri lain.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi kami di:

Laman sesawang: www.dji.com 
Facebook: www.facebook.com/DJI
Instagram: www.instagram.com/DJIGlobal
Twitter: www.twitter.com/DJIGlobal 
Langgan Saluran YouTube kami: www.youtube.com/DJI

Source: DJI
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics Multimedia/Online/Internet MultiVu Photo MultiVu Video New products/services