LONDON, 18 Mei 2017 /PRNewswire/ -- Program ijazah sarjana muda dalam bidang sains biologi di Xian Jiaotong-Liverpool University telah dianugerahkan akreditasi antarabangsa oleh Royal Society of Biology dalam satu majlis yang diadakan di Houses of Parliament, UK.
XJTLU ialah universiti kedua di dunia yang menerima akreditasi antarabangsa daripada RSB bagi program ijazah sarjana muda.
Akreditasi ini memperakui kecemerlangan dalam pengajaran, penyediaan kurikulum dan pembangunan kemahiran teknikal, selain kapasiti program dalam meningkatkan kemahiran kebolehpasaran siswazah.
Berucap dalam majlis penyampaian anugerah, Profesor Dame Jean Thomas, presiden Royal Society of Biology berkata: "Akreditasi ini memperakui institusi-institusi yang menawarkan pendidikan biosains yang cemerlang dan melengkapkan para siswazah dengan kemahiran yang diperlukan untuk meningkat maju dalam pasaran global.
"Memperjuangkan piawaian yang tinggi dalam bidang pendidikan adalah amat penting demi menyediakan asas untuk komuniti biosains antarabangsa yang kolaboratif, dan kami berbangga RSB dapat memainkan peranan dalam mengiktiraf dan menyokong usaha ini," kata beliau.
Majlis ini dihadiri oleh Profesor David O'Connor, ketua Jabatan Sains Biologi di XJTLU, dan Chun-Yen Lu, seorang siswazah program tersebut yang kini melanjutkan pelajaran peringkat PhD di University of Cambridge.
Profesor O'Connor (gambar seperti di atas) mengulas: "Sains Biologi di XJTLU berusia kurang daripada sedekad, jadi kami terkejut dan gembira bercampur baur dalam masa yang sama."
"Akreditasi ini memperlihatkan betapa besarnya kerja keras yang berdedikasi oleh beberapa individu yang amat berbakat di Jabatan kami, dan kami berharap mereka berbangga dengan apa yang dicapai oleh mereka dalam tempoh yang singkat," tambah beliau.
Chun-Yen Lu berkata: "Saya berasa berbesar hati kerana diberi peluang menerima anugerah ini bagi pihak pelajar yang sedang mengikuti atau pernah mengikuti program ini di XJTLU. Saya masih ingat lagi dengan penuh rasa gembira serta saya bersyukur dengan asas cemerlang dalam bidang sains biologi yang diberikan oleh program ini kepada saya."
Anugerah ini diberikan setelah menjalani semakan menyeluruh terhadap seluruh aspek dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi, termasuk kurikulum, kelayakan akademik, kemudahan makmal dan perpustakaan, serta kaedah penilaian dan proses pentadbiran dan juga jaminan kualiti.
Diasaskan pada tahun 2006, Xi'an Jiaotong-Liverpool University ialah sebuah universiti usaha sama antarabangsa terbesar di China, satu perkongsian antara Xi'an Jiaotong University dan University of Liverpool. Visi kami adalah untuk menjadi universiti bertaraf antarabangsa yang dipacu penyelidikan di China dan juga universiti Cina yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atas ciri-ciri uniknya.