SHARJAH, UAE, 27 Mei 2017 /PRNewswire/ --
Bee'ah, syarikat pengurusan alam sekitar terkemuka negara, dan Masdar, syarikat tenaga boleh diperbaharui Abu Dhabi, secara rasminya menjalin usaha sama, Emirates Waste to Energy Company (EWEC) bagi membangunkan loji sisa-kepada-tenaga di seluruh rantau Timur Tengah, seperti yang diumumkan hari ini.
Sejajar dengan visi Yang Amat Mulia Sheikh Dr. Sultan bin Muhammad Al Qasimi, Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah, berhubung cabaran terhadap alam sekitar dan cara mengekalkan alam sekitar yang bebas daripada pencemaran, projek pertama melibatkan Kemudahan Sisa-kepada-Tenaga Pelbagai-Bahan Api Sharjah. Loji ini akan menjadi yang pertama di rantau ini dan bakal merawat lebih 300,000 tan sisa pepejal bandaran (MSW) dalam fasa pertamanya pada setiap tahun dan mempunyai kapasiti kuasa sekitar 30 megawatt (MW).
Bee'ah menetapkan sasaran yang tinggi untuk Sharjah bagi mencapai objektif sifar sisa ketika syarikat ditubuhkan pada tahun 2007. Pada masa ini, emiriah mengalihkan 70% sisanya daripada tapak pelupusan. Setelah kemudahan baharu ini siap, tidak lama lagi Sharjah bakal menjadi bandar pertama di Timur Tengah yang mencapai sasaran 100% pengalihan sisa daripada tapak pelupusan.
Bee'ah dan Masdar berkata projek pertama EWEC akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat untuk memberi laluan kepada kemajuan kemudahan sisa-kepada-tenaga di UAE dan rantau ini, menyediakan penyelesaian komersial bagi menangani cabaran pelupusan sisa pepejal dan permintaan terhadap tenaga bersih yang semakin meningkat.
Salim Al Owais, Pengerusi Bee'ah berkata: "Ketika kami mengumumkan penubuhan kemudahan canggih ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa hari ini merupakan hari bersejarah, bukan sahaja untuk Bee'ah dan Masdar, tetapi juga untuk seluruh UAE. Bersama-sama rakan strategik kami, Masdar, kami telah menetapkan matlamat yang tinggi untuk menjadikan UAE sebagai panduan amalan alam sekitar terbaik di Timur Tengah. Kami juga berhasrat untuk menjadi contoh kepada dunia, bagaimana sebuah negara yang secara tradisinya banyak bergantung pada bahan api fosil boleh menerima perubahan dan menjadi peneraju bagi teknologi hijau, melalui visi, kesungguhan dan kerja keras."
Komentar Al Owais turut dipersetujui oleh Mohamed Jameel Al Ramahi, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar.
"Masdar benar-benar yakin dengan kolaborasi industri sebagai cara paling berkesan untuk memajukan penggunaan teknologi berdaya maju secara komersial, di samping menyokong matlamat UAE terhadap pembangunan ekonomi yang mampan. Perkongsian kami dengan Bee'ah pertama kali diumumkan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2016, dan saya amat berbesar hati pada hari ini apabila dapat menyaksikan kenyataan hasrat yang berani dibuktikan melalui pelancaran rasmi usaha sama kami, Emirates Waste to Energy Company."
Apabila ia mula beroperasi, kemudahan usaha sama baharu di Sharjah mampu memproses sehingga 300,000 tan sisa pepejal setiap tahun yang biasanya ditanam di tapak-tapak pelupusan, mencungkil potensi sumber tenaga yang belum diteroka. Selain mendapatkan semula bahan-bahan bernilai untuk tujuan kitar semula, loji baharu tersebut akan membakar sehingga 37.5 tan sisa pepejal setiap jam, seterusnya menjana 30MW tenaga.
Loji sisa-kepada-tenaga baharu itu direka agar dapat memenuhi piawaian alam sekitar yang paling ketat, mematuhi Teknik Sedia ada Terbaik Kesatuan Eropah yang diiktiraf secara meluas sebagai penetap piawaian seluruh dunia. Pembinaan loji dan pengesahan perjanjian ini akan berperanan untuk meningkatkan profil UAE sebagai peneraju dunia bagi kemampanan dan teknologi hijau, memanfaatkan amalan terbaik dan melaksanakannya, demi faedah penduduk dan juga seluruh dunia.