omniture

Ulmart Ketuai Perbincangan Faedah dan Risiko Internet Komunikasi Benda di SPIEF 2017

Ulmart
2017-06-12 09:00 479

ST PETERSBURG, Rusia, 12 Jun 2017 /PRNewswire/ --

Pendidikan pengguna kunci kejayaan  

Ulmart, peruncit dalam talian utama Rusia, telah menghimpunkan sejumlah pakar terkemuka peringkat antarabangsa dan Rusia dalam Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) bagi membincangkan kaedah untuk menjadikan Internet Komunikasi Benda (IoT), salah satu konsep yang paling hangat diperkatakan dalam dunia teknologi masa kini, dapat berfungsi secara berkesan demi memberi manfaat kepada seluruh peserta pasaran.

generated by system

generated by system

generated by system

generated by system

Barisan panel 'Internet Komunikasi Benda: Mengatasi Halangan', satu sesi khas anjuran Ulmart dan Yayasan Roscongress serta dipengerusikan oleh Mike Butcher, Editor Bebas Utama TechCrunch, bersetuju bahawa saling hubungan produk tidak lama lagi akan menjadi bahagian penting dalam kehidupan harian kita serta ekonomi dunia. Walau bagaimanapun, mereka mengakui terdapat beberapa halangan yang mungkin menyekat Internet Komunikasi Benda daripada meningkat maju dan memberi manfaat kepada pengguna dan juga syarikat.

Peluang: 

Dmitry Kostygin, Pengerusi Lembaga Pengarah Ulmart mengulas: "Tidak syak lagi bahawa Internet Komunikasi Benda adalah masa depan kita, dan mempunyai risiko serta faedahnya yang tersendiri. Kita boleh menggelarnya sebagai konsep 'Barangan Internet' apabila semakin sedikit barangan masa kini yang masih kekal bersifat bukan digital. Ulmart selaku perintis bagi revolusi digital di Rusia dan peneraju pasaran bagi sektor e-dagang negara ini memahami bahawa peluang yang luas disertai dengan tanggungjawab yang ketat. Teknologi berubah lebih pantas berbanding mana-mana rangka kerja undang-undang dan moral yang diperlukan untuk mengurusnya, dan kita perlu berupaya menggunakan Data Besar dan instrumen lain secara berkesan demi melindungi pengguna sambil menumpu pada potensi pertumbuhan selanjutnya."

"Dalam tempoh sepuluh tahun Internet Komunikasi Benda bakal mewujudkan pasaran yang bakal bersaiz seluas ekonomi China, dengan segmen komersial mencakupi dua pertiga daripada nilainya," kata Vladimir Cernavskis, Rakan Kongsi, Ketua Amalan Telekomunikasi, Media dan Teknologi di Rusia, McKinsey & Company.  

"Internet Komunikasi Benda adalah lebih daripada sekadar komunikasi antara benda. Ia menggabungkan teknologi dan platform yang menjamin pengumpulan serta penyimpanan maklumat. Wajar untuk memajukan Internet Komunikasi Benda tanpa perlu menunggu piawaian khusus untuk dibangunkan, dengan hanya menyelaraskan teknologi mengikut keperluan pelanggan," kata Andrey Kuzyaev, Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengurusan, Ahli Lembaga Pengarah, ER-Telecom Holding.

"Peranti semakin pantas dan pintar, manakala kepintaran buatan pula meningkat maju dengan cepat, dengan itu, tidak mustahil peranti akan mencipta protokol dan bahasanya sendiri," ulas Mark Gazit, Ketua Pegawai Eksekutif ThetaRay.

Halangan: 

Keselamatan siber, peraturan dan kurangnya pendidikan pengguna disenaraikan sebagai cabaran-cabaran utama bagi menjamin kejayaan pertumbuhan IoT. Beberapa halangan teknologi dan operasi juga perlu disingkirkan demi memastikan penyepaduan dan saling hubungan benda yang lancar, menurut barisan panel.

"Orang ramai menggunakan Internet, media sosial dan sistem bayaran elektronik tanpa rasa bimbang terhadap serangan penggodam kerana peluang yang diberikan biasanya lebih besar berbanding risiko. Penting untuk mula mendidik orang ramai tentang keselamatan siber. Apabila peranti mula berkomunikasi antara satu sama lain, kelemahan yang wujud bukanlah di dalam peranti, sebaliknya pada manusia yang menggunakannya," ujar Mike Butcher.

"Isu-isu moral dan undang-undang berkisarkan IoT mungkin kelihatan tidak begitu jelas masa kini, pada tahun 2017, namun dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, kita akan begitu asyik dalam IoT yang mungkin sudah terlambat untuk kita bertindak. Kita perlu sekurang-kurangnya mula dari sekarang dengan mencetuskan persoalan-persoalan ini," ulas Brian Kean, Ketua Pegawai Antarabangsa Ulmart.

"Terdapat isu-isu berhubung keselamatan data, serangan siber dan privasi komunikasi, pada masa yang sama pengguna tidak semestinya dimaklumkan tentang risiko yang mungkin berlaku," kata Irmgard Glasmacher, Pengarah Urusan, Ketua Accenture Strategy di Timur Tengah, Afrika, Rusia, Turki.

"Penting untuk kita berupaya menganalisis dan menggunakan Data Besar dengan betul, selain memastikan keserasian teknikal peranti bagi merealisasikan potensi penuh Internet Komunikasi Benda," ulas Vladimir Cernavskis. "Peranti perlu berupaya berkomunikasi dalam bahasa yang sama antara satu sama lain."

"Sebagai pengguna sistem Internet, saya menyediakan data saya untuk sistem sedemikian dan saya tidak lagi mampu mengawalnya. Orang ramai perlu dididik tentang keselamatan siber dan teknologi baharu seawal di bangku sekolah," kata Sven Wagenknecht, Ketua Editor, BTC-ECHO.

"Saya percaya hanya evolusi yang akan dapat membantu menyediakan tahap keselamatan siber yang mencukupi," kata Andrey Kuzyaev. "Peraturan yang berlebihan boleh menyekat Internet Komunikasi Benda daripada meningkat maju, oleh itu, usaha memastikan keseimbangan yang betul antara keselamatan dan kemajuan adalah kuncinya. Manusia dan komputer perlu dilatih untuk berkomunikasi dengan berkesan antara satu sama lain."

Latar Belakang ULMART  

Ulmart ialah syarikat Internet milik persendirian terbesar di Rusia yang mengkhusus dalam e-dagang. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2008, dan ibu pejabatnya terletak di St. Petersburg. Ulmart mempunyai lebih 450 kemudahan prasarana (pusat pelaksanaan dan lokasi pengambilan) di lebih 240 bandar dan pekan di seluruh Rusia.

http://www.ulmart.ru

Hubungi: Brian Kean, Ketua Pegawai Antarabangsa Ulmart, +7-812-336-37-77 samb. 4575

Source: Ulmart
Keywords: Computer/Electronics Internet Technology Trade show news