- Bantu pelanggan cari, peroleh produk dengan mudah dalam inventori Reaxys
- Kurangkan halangan untuk pelanggan bangunkan kimia baharu, percepat penyelidikan
DARMSTADT, Jerman, 26 Jun 2017 /PRNewswire/ -- Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi utama, hari ini mengumumkan satu kolaborasi dengan Elsevier, sebuah syarikat analitik maklumat yang mengkhusus dalam bidang sains dan kesihatan, untuk menambah produknya ke dalam pangkalan data kimia Elsevier, Reaxys.
Para penyelidik dan ahli kimia yang menggunakan Reaxys kini boleh mengakses tambahan 43,000 sebatian sains hayat dan bahan kimia Merck dengan data disediakan terus daripada pihak pembekal. Kolaborasi ini bermakna pengguna akan mendapat akses segera kepada ketersediaan produk Merck.
"Gabungan ini lebih memudahkan proses membuat keputusan harian penyelidik sewaktu mereka mencari jalan untuk mengurangkan masa yang diambil bagi membeli sebatian yang mereka perlukan," kata Udit Batra, Ahli Lembaga Eksekutif Merck dan Ketua Pegawai Eksekutif, Life Science. "Kami bersama-sama memberikan kemudahan kepada pelanggan berhubung kualiti produk yang dibangunkan, suatu yang penting dalam industri yang amat berdaya saing ini."
Kolaborasi dengan Elsevier ini memberikan proses pembelian yang lebih cekap kepada pengguna Reaxys yang bekerja dalam bidang penemuan ubatan farmaseutikal, penyelidikan & pembangunan (R&D) bahan kimia dan bidang-bidang lain. Para pelanggan serta merta boleh membandingkan kos pembelian sebatian berbanding membuatnya di dalam makmal, yang memberikan peruntukan sumber serta penjimatan masa yang lebih baik.
"Merck diiktiraf sebagai peneraju industri, maka kolaborasi ini merupakan satu penambahan hebat kepada Reaxys," kata Christian Boehm, Pengarah Penyelesaian Kimia di Elsevier.
Reaxys mengandungi kandungan kimia yang tiada tandingan sejak lebih 240 tahun, termasuk 105 juta sebatian organik, tak organik dan organologam, 42 juta tindak balas kimia, 500 juta fakta ujikaji yang diterbitkan, 16,000 terbitan berkala berkaitan kimia dan enam sumber pengindeksan bagi pandangan kimia rentas bidang.
Semua siaran berita Merck diedarkan melalui emel dan turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan anda atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini.
Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Kira-kira 50,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan – bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2016, hasil jualan Merck mencecah € 15 bilion di 66 negara.
Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti syarikat korporat senaraian awam ini. Syarikat memegang hak global nama dan jenama "Merck". Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, memandangkan syarikat beroperasi sebagai EMD Serono, MilliporeSigma dan EMD Performance Materials.