omniture

Cardinal Health Selesaikan Pengambilalihan Perniagaan Pemulihan Pesakit Medtronic

Cardinal Health
2017-07-31 07:00 357

DUBLIN, Ohio, 31 Julai 2017 /PRNewswire/ -- Cardinal Health (NYSE: CAH) hari ini mengumumkan ia telah menyelesaikan pengambilalihan segmen-segmen perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan Medtronic bernilai $6.1 bilion. Pengambilalihan ini dibiayai dengan gabungan sebanyak $4.5 bilion nota tidak bercagar senior baharu, tunai dan pinjaman sedia ada di bawah pengaturan kredit sedia ada kami.

"Perniagaan ini menyediakan pelanggan kami dengan lebih banyak tawaran produk dan termasuk beberapa jenama mantap yang sememangnya sesuai dalam portfolio kami dan menjadi pelengkap kepada perniagaan produk perubatan sedia ada. Kami arif tentang produk-produk ini dan juga tentang kebanyakan kakitangan kami, dan menyaksikan ahli-ahli pasukan berkongsi komitmen yang sama terhadap kualiti, khidmat pelanggan dan pesakit yang menerima perkhidmatan kami semua," kata George Barrett, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Cardinal Health. "Kami berasa amat teruja untuk mengalu-alukan rakan sekerja baharu kami dari seluruh dunia ke dalam Cardinal Health."

Segmen-segmen perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan mencakupi 23 kategori produk merentasi berbilang tapak pasaran penjagaan, termasuk pelbagai jenama yang terkemuka dalam industri, seperti Curity, Kendall, Dover, Argyle dan Kangaroo – jenama-jenama yang digunakan hampir di setiap hospital A.S.

Syarikat ini turut mengumumkan sebelum ini bahawa ia menjangkakan pengambilalihan ini akan menokok kepada pendapatan dicairkan bukan-GAAP¹ sesaham daripada operasi berterusan sebanyak lebih $0.21 sesaham pada tahun fiskal 2018, selepas perbelanjaan faedah berkaitan kewangan tahunan tambahan dan termasuk sehingga $100 juta kos kenaikan inventori semasa beberapa suku pertama selepas penutupan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, syarikat masih menjangkakan pengambilalihan ini akan menokok kepada pendapatan dicairkan bukan-GAAP sesaham sebanyak lebih $0.55 sesaham pada tahun fiskal 2019, dan semakin meningkat sesudah itu. Menjelang akhir tahun fiskal 2020, syarikat menjangkakan sinergi melebihi $150 juta.

Perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan akan menjadi sebahagian daripada segmen Perubatan Cardinal Health, yang dipimpin oleh Don Casey, ketua pegawai eksekutif segmen. Usaha-usaha penyepaduan bermula dengan jayanya dan dijangkakan bahawa semua kerja integrasi dan peralihan bakal siap dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Goldman, Sachs & Co. dan Perella Weinberg Partners LP bertindak sebagai penasihat kewangan Cardinal Health bagi urus niaga ini, manakala Skadden, Arps, Slate, Meagher & Flom LLP dan Jones Day bertindak sebagai penasihat undang-undang.

Ukuran kewangan bukan-GAAP (termasuk nota kaki)

Nota kaki (1) Jangkaan tokokan terhadap pendapatan dicairkan bukan-GAAP sesaham daripada operasi berterusan menunjukkan: (A) pendapatan daripada operasi berterusan, tidak termasuk (1) caj/(kredit) LIFO, (2) penstrukturan semula dan pemecatan pekerja, (3) pelunasan dan kos berkaitan pengambilalihan, (4) kemerosotan dan (keuntungan)/kerugian daripada pelupusan aset, (5) litigasi (pemulihan)/caj, bersih dan (6) kerugian daripada penghapusan hutang, setiap selepas cukai, (B) dibahagikan dengan purata wajaran dicairkan saham diterbitkan.

Cardinal Health menyediakan pendapatan dicairkan bukan-GAAP sesaham daripada operasi berterusan atas dasar berpandangan ke hadapan. Ukuran GAAP berpandangan ke hadapan yang paling tepat dapat dibandingkan ialah pendapatan dicairkan sesaham daripada operasi berterusan. Cardinal Health tidak berupaya menyediakan penyelarasan kuantitatif bagi ukuran bukan-GAAP berpandangan ke hadapan ini terhadap ukuran GAAP berpandangan ke hadapan yang paling tepat dapat dibandingkan, kerana Cardinal Health tidak dapat meramal dengan andal caj/(kredit) LIFO, penstrukturan semula dan pemecatan pekerja, pelunasan dan kos berkaitan pengambilalihan (Cardinal Health menjangkakan peningkatan ketara hasil pengambilalihan segmen-segmen perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan), kemerosotan dan (keuntungan)/kerugian daripada pelupusan aset dan litigasi (pemulihan)/caj, bersih, yang sukar diramal dan dianggar. Sila ambil perhatian bahawa item penyelarasan yang tidak tersedia boleh memberi impak ketara terhadap keputusan kewangan masa depan Cardinal Health. Item ini boleh menyebabkan pendapatan sesaham dan tokokan terhadap pendapatan sesaham berbeza dengan ketara berbanding jangkaan bukan-GAAP syarikat.

Latar Belakang Cardinal Health

Cardinal Health Inc. ialah sebuah syarikat perkhidmatan dan produk penjagaan kesihatan bersepadu bertaraf global, menyediakan penyelesaian tersuai untuk sistem hospital, farmasi, pusat pembedahan ambulatori, makmal klinikal dan pejabat pakar perubatan di seluruh dunia. Syarikat ini menyediakan produk perubatan dan farmaseutikal yang terbukti secara klinikal serta penyelesaian berkesan kos yang dapat meningkatkan kecekapan rantaian bekalan. Cardinal Health menghubungkan pesakit, penyedia, pembayar, ahli farmasi dan pengeluar demi koordinasi penjagaan bersepadu dan pengurusan pesakit yang lebih baik. Menerusi pengambilalihan perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan Medtronic, syarikat akan mempunyai kira-kira 50,000 kakitangan yang mencakupi hampir 60 negara. Cardinal Health tersenarai dalam kedudukan 15 terbaik dalam senarai Fortune 500. Untuk maklumat lanjut, layari cardinalhealth.com, ikuti @CardinalHealth melalui Twitter dan berhubung melalui LinkedIn di linkedin.com/company/cardinal-health.

Peringatan Berhubung Kenyataan Jangkaan

Hebahan ini mengandungi kenyataan jangkaan yang mengemukakan rancangan Cardinal Health untuk mengambil alih perniagaan Penjagaan Pesakit, Trombosis Vena Dalam dan Kekurangan Zat Pemakanan Medtronic dan kenyataan-kenyataan lain tentang jangkaan masa depan, prospek, anggaran dan hal-hal lain yang bergantung pada peristiwa atau pembangunan masa depan. Kenyataan-kenyataan ini boleh dikenal pasti melalui perkataan-perkataan seperti "menjangka", "menganggar", "berhasrat", "merancang", "percaya", "bakal", "patut", "boleh", "akan", "meramal", "terus", "berkemungkinan" dan ungkapan yang serupa, dan termasuk kenyataan-kenyataan yang memperlihatkan keputusan masa depan, trend atau panduan, kenyataan-kenyataan tinjauan dan akruan perbelanjaan. Hal-hal ini tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza dengan ketara berbanding yang diramal, dianggar atau dicadangkan. Risiko dan ketidaktentuan ini termasuk: keupayaan untuk mengekalkan pelanggan dan kakitangan perniagaan yang diambil alih, keupayaan untuk menggabungkan perniagaan yang diambil alih dengan jayanya ke dalam operasi Cardinal Health, dan keupayaan untuk mencapai sinergi yang dijangkakan serta tokokan dalam pendapatan; tekanan persaingan dalam pelbagai saluran perniagaan Cardinal Health; jumlah atau kadar kenaikan dan deflasi harga farmaseutikal generik dan berjenama serta tempoh dan faedah daripada pengenalan farmaseutikal generik; keupayaan untuk mengekalkan faedah daripada usaha sama penyumberan generik dengan CVS Health; risiko tidak boleh diperbaharui atau kemungkiran di bawah satu atau lebih pelanggan penting atau pengaturan pembekal atau perubahan kepada terma-terma atau tahap pembelian di bawah pengaturan tersebut; ketidaktentuan disebabkan oleh perubahan penjagaan kesihatan kerajaan termasuk cadangan untuk mengubah suai atau memansuhkan Akta Penjagaan Berpatutan; ketidaktentuan berhubung cukai atau undang-undang perdagangan A.S., termasuk cadangan berkaitan "cukai pelarasan sempadan" atau tarif import baharu; perubahan pola pengedaran atau kadar bayaran balik bagi produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan; kesan sebarang penyiasatan atau tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa kawal selia; dan perubahan kadar mata wang asing dan kos komoditi seperti resin berasaskan minyak, kapas, lateks dan bahan api diesel. Cardinal Health tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan tambahan yang dinyatakan dalam laporan Borang 10-K, Borang 10-Q dan Borang 8-K Cardinal Health dan dipaparkan dalam laporan tersebut. Hebahan ini menonjolkan pandangan pihak pengurusan setakat 31 Julai 2017. Kecuali sekiranya dikehendaki oleh undang-undang yang terpakai, Cardinal Health tidak memikul sebarang tanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak mana-mana kenyataan jangkaan. 

Source: Cardinal Health
Related Stocks:
NYSE:CAH
Keywords: Banking/Financial Service Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Acquisitions, mergers, takeovers Earnings projections or forecasts