omniture

Hampir US $500 Juta Pelaburan oleh Expedia, East Ventures, Hillhouse Capital Group, JD.com dan Sequoia Capital Serlahkan Keyakinan terhadap Traveloka dan Potensi Pasaran Pelancongan Asia Tenggara

Traveloka
2017-08-02 11:25 548

JAKARTA, Indonesia, 2 Ogos 2017 /PRNewswire/ -- Traveloka hari ini mengumumkan syarikat telah mengumpul kira-kira $500 juta melalui pelaburan daripada peneraju pelancongan dalam talian bertaraf global Expedia, Inc. (NASDAQ: EXPE), East Ventures, Hillhouse Capital Group, JD.com dan Sequoia Capital sepanjang tahun lalu. Pelaburan oleh Expedia, Inc. akan memperkukuh kerjasama sedia ada dari segi bekalan hotel, membolehkan Traveloka menyediakan pilihan inventori penginapan antarabangsa yang lebih luas kepada para pelancong Asia Tenggara.

"Jalinan kerjasama dengan syarikat pelancongan dalam talian yang terkemuka di dunia akan membolehkan kami menumpu pada pertumbuhan berterusan kami dalam bidang pelancongan dalam talian demi memenuhi matlamat kami untuk menyediakan pengembara dengan pilihan pelancongan terbaik serta pengalaman tempahan berkualiti tertinggi," kata Ferry Unardi, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Traveloka. "Perkongsian yang diperluas ini memberikan pengembara Traveloka akses kepada set penginapan antarabangsa unik yang pelbagai dan kami berharap dapat bekerjasama dengan Expedia untuk meluaskan perkhidmatan kami di Asia dan seluruh dunia."

"Traveloka ialah peneraju pelancongan dalam talian yang ternama di Indonesia dan berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara. Perkongsian kami akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengetahuan tempatan kedua-dua pihak, selain mempercepat pertumbuhan bersama kami," kata Dara Khosrowshahi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Expedia, Inc. "Kami berasa amat teruja dapat terus memperluas kehadiran kami di Asia, belajar daripada pasukan Traveloka yang berbakat serta membuka lebih banyak tawaran pilihan pelancongan untuk para pengembara Traveloka dan Expedia di seluruh dunia."

Expedia, Inc. ialah syarikat pelancongan dalam talian antarabangsa yang diiktiraf di peringkat global dan pelaburan terkini dalam Traveloka ini mengesahkan keluasan dan minat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap sektor pelancongan Asia Pasifik. Asia Tenggara khususnya dijangka untuk mencapai $83 bilion dalam pendapatan pelancongan di rantau ini menjelang akhir tahun 2017 menurut ASEAN.

Menerusi pusingan pelaburan terbaharu ini, Traveloka akan terus memberi tumpuan untuk memberikan pengalaman pelancongan terbaik dengan membangunkan projek-projek Penyelidikan & Pembangunan menerusi keupayaan kepintaran buatan dan pembelajaran mesin, selain memberi tumpuan yang teliti terhadap tingkah laku pelanggan yang unik mengikut negara masing-masing, serta memanfaatkan data demi memberikan pengalaman pelancongan dalam talian yang lebih baik. Syarikat ini mengkhusus dalam menyetempatkan tawaran, seperti kaedah pembayaran disetempatkan, serta khidmat pelanggan tempatan dalam bahasa ibunda mereka. Pembangunan produk dan perkhidmatan hujung-ke-hujung yang terbaik adalah kunci kejayaan Traveloka.

Latar Belakang Traveloka

Traveloka ialah syarikat pelancongan dalam talian yang terkemuka di Asia Tenggara yang menyediakan pelbagai produk pelancongan dalam satu platform. Syarikat ini menjalin kerjasama dengan lebih 100 syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa berkos rendah dan berkhidmat penuh, serta menyediakan perkhidmatan kepada lebih 200,000 laluan berbeza di Asia Pasifik dan Eropah. Syarikat pelancongan dalam talian ini mempunyai inventori penginapan terus yang terbesar di Asia Tenggara, bermula daripada hotel, pangsapuri, rumah tamu, inapan keluarga, resort dan juga vila. Traveloka menawarkan lebih 40 pilihan pembayaran setempat yang berbeza untuk pengguna di Indonesia, Thailand, Vietnam, Malaysia, Singapura dan Filipina, berserta khidmat pelanggan dalam bahasa ibunda. Aplikasi mudah alih Traveloka telah dimuat turun sebanyak lebih 20 juta kali, menjadikannya aplikasi tempahan pelancongan paling popular di rantau ini. Untuk maklumat lanjut tentang syarikat, layari press.traveloka.com.

Untuk maklumat lanjut:

Andre Ananta Pianaung 
Edelman Indonesia 
Andre.pianaung@edelman.com
P: +62-21-72159000 / M: +62-878-8989-6441

Source: Traveloka
Keywords: Banking/Financial Service Hotels and Resorts Leisure/Travel/Hotels Travel Financing agreements