omniture

Saluran Paip Beroperasi di Air Products Taman Perindustrian Batu Kawan Untuk Dibekalkan kepada HP Malaysia

Saluran Paip Pertama Taman Perindustrian Berkembang daripada Jaringan Syarikat di Prai
Air Products
2017-08-17 12:16 511

LEHIGH VALLEY, Pennsylvania, 17 Ogos 2017 /PRNewswire/ -- Air Products, syarikat gas industri yang terkemuka di dunia, hari ini mengumumkan bahawa saluran paipnya di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang, telah pun beroperasi untuk HP, syarikat pencetakan yang terkemuka di dunia. Sebagai saluran gas pertama Taman Perindustrian tersebut, yang berkembang daripada jaringan sedia ada Air Products di Prai, pelaburan infrastruktur ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap pembangunan sosial dan ekonomi di Utara Malaysia dan seluruh negara.

"Kami berbangga dapat menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan HP Malaysia," kata Alex Tan, presiden Asia Tenggara, Gas Industri, Air Products. "Air Products telah berkhidmat untuk Malaysia selama lebih 40 tahun dengan meraih kedudukan yang kukuh di Utara Malaysia. Kami menyediakan bekalan gas yang lebih dipercayai dan kos efektif, saluran paip baharu ini akan mengukuhkan sokongan kami terhadap usaha inovasi HP dan membantu mendorong pertumbuhan pengeluar-pengeluar lain di Taman Perindustrian tersebut."

Taman Perindustrian Batu Kawan yang dirancang secara komprehensif itu berkembang pesat menjadi salah satu hab perindustrian utama di Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan lokasi yang strategik, ia menawarkan kebolehcapaian yang terbaik dan kemudahan infrastruktur yang tinggi piawaiannya. Kemudahan HP di Taman Perindustrian tersebut berperanan sebagai ibu pejabat perniagaan dakwat pengguna global syarikat dan mengeluarkan bekalan dakwat dengan memanfaatkan teknologi yang inovatif serta mesra alam.

"Sistem bekalan baharu Air Products di Taman Perindustrian Batu Kawan dapat meningkatkan kepercayaan, kualiti dan kos efektif bagi operasi-operasi HP, di samping membantu kami mengurangkan jejak karbon kami," kata Sunil Chandiramani, Pengurus Besar/Naib Presiden, Perniagaan Dakwat Pengguna (Operasi IPH WW), Operasi/IPS Bekalan Jet Dakwat di HP. "Sebagai sebahagian daripada infrastruktur biasa Taman Perindustrian tersebut yang memberi manfaat kepada semua pengeluar di sini, ia menandakan permulaan pertumbuhan industri yang mampan di Batu Kawan."

Air Products telah berkhidmat di Malaysia sejak tahun 1974 dan diiktiraf atas kecemerlangannya dalam aspek keselamatan, kepercayaan dan operasi. Kemudahan pengeluaran yang canggih dan depot yang terletak secara strategik di seluruh negara, syarikat ini mengeluarkan gas-gas industri yang berkualiti and tinggi ketulenannya untuk pelbagai pasaran termasuk keluli, elektronik, pemprosesan bahan kimia, pemprosesan logam, makanan, kaca dan sebagainya.

Hari ini, Air Products telah mengukuhkan kedudukan utamanya di bahagian Utara Malaysia. Di Pulau Pinang, dua unit permisah udaranya di Taman Perindustrian Prai, berserta jaringan bekalan yang luas, yang berkembang ke Taman Perindustrian Bukit Minyak dan Taman Perindustrian Batu Kawan, menyediakan bekalan gas yang amat dipercayai untuk para pelanggannya. Di bahagian Tengah dan Timur Malaysia, kilang hidrogen Air Products di Banting, Pelabuhan Barat dan Kuantan meletakkan syarikat sebagai salah satu pembekal hidrogen terbesar di Malaysia.

Latar Belakang Air Products

Air Products (NYSE:APD) adalah syarikat Gas Industri yang terkemuka di dunia yang beroperasi lebih daripada 75 tahun. Perniagaan gas industri utama Syarikat adalah menyediakan gas-gas atmosfera dan proses serta peralatan berkaitan pasaran pengilangan, termasuk penapisan dan petrokimia, logam, elektronik serta makanan dan minuman. Air Products juga merupakan pembekal terkemuka dunia bagi teknologi dan peralatan proses gas asli cecair. 

Syarikat memiliki jualan tahun fiskal 2016 sebanyak $7.5 bilion daripada operasi-operasi berterusan di 50 negara dan mempunyai permodalan pasaran semasa bernilai kira-kira $30 bilion. Sekitar 16,000 kakitangan berusaha menjadikan Air Products sebagai syarikat gas industri yang paling selamat dan berprestasi terbaik di dunia, menyediakan tawaran yang lestari dan perkhidmatan cemerlang untuk semua pelanggan. Untuk maklumat lanjut, layari www.airproducts.com.

NOTA: Siaran media ini mungkin mengandungi kenyataan jangkaan dalam peruntukan perlindungan selamat Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Persendirian 1995. Kenyataan jangkaan ini adalah berdasarkan kepada jangkaan dan anggapan yang munasabah daripada pihak pengurusan pada tarikh siaran ini berhubung faktor-faktor risiko yang penting. Prestasi sebenar dan keputusan kewangan mungkin berbeza dengan ketara daripada unjuran dan anggaran yang dinyatakan dalam kenyataan jangkaan oleh kerana banyak faktor yang tidak dijangkakan oleh pihak pengurusan, termasuk faktor-faktor risiko yang disebutkan dalam Borang 10K Syarikat bagi tahun fiskal berakhir pada 30 September 2016.

Pertanyaan Media:

(Asia) Jessica Cheng, tel: (852) 2863-0585; e-mel: chengjs@airproducts.com 
(A.S.) Debbie Bauer, tel: +1 (610) 481-8061; e-mel: bauerda@airproducts.com

Pertanyaan Pelabur:

Simon Moore, tel: +1 (610) 481-7461; e-mel: mooresr@airproducts.com

Source: Air Products
Keywords: Gas Utilities Corporate Expansion New products/services