omniture

Haji 2017 Tiba ke Penghujung

Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi
2017-09-06 13:35 444

MEKAH, Arab Saudi, 6 September 2017 /PRNewswire/ -- Lebih 2.35 juta jemaah haji telah selesai menunaikan ibadah Haji tahun ini, memenuhi kewajipan agama dalam keamanan dan perpaduan di bandar paling suci dalam agama Islam, Mekah.

Arab Saudi menerima penduduk dunia bagi menunaikan ibadah haji selama lima hari, salah satu tiang agama Islam, dengan jemaah haji dari berpuluh-puluh negara berhimpun dalam perhimpunan yang umumnya dianggap sebagai kemuncak kehidupan rohaniah mereka.

generated by system

generated by system

Secara keseluruhan, seramai 2,352,122 jemaah haji berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini, 1.75 juta adalah mereka dari luar Kerajaan Arab Saudi. Hanya lebih 1 juta adalah mereka dari Asia manakala hampir 400,000 jemaah melakukan perjalanan dari negara-negara bukan-GCC. Hampir 200,000 jemaah haji tiba dari negara-negara Afrika. Kira-kira 100,000 jemaah haji pula melakukan perjalanan dari negara-negara Eropah, manakala Amerika Syarikat dan Australia bersama-sama menyumbang sekitar 25,000 jemaah haji. Hampir 33,000 jemaah haji adalah dari negara-negara GCC.

"Sambutan jemaah haji dari seluruh dunia adalah penghormatan dan kewajipan Arab Saudi, di bawah naungan dan bimbingan langsung daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammad bin Salman. Kami berusaha bersungguh-sungguh dan tidak lokek berbelanja bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadah Haji yang aman dan memuaskan," kata Dr. Awwad Alawwad, Menteri Kebudayaan dan Maklumat.

"Sama ada penyediaan penginapan di Mina atau pengendalian kemudahan kesihatan mahupun memberikan gelang maklumat berguna kepada jemaah haji, kami melakukan segala yang boleh bagi menjaga mereka yang berangkat ke Mekah. Usaha kami untuk meningkatkan pengalaman ini adalah tetap dan berterusan," tambah Dr. Alawwad.

Logistik Ibadah Haji 

Sebagaimana biasa, pewujudan bandar sementara bagi menampung lebih dua juta individu bermakna sekali lagi Arab Saudi perlu berusaha sedaya upaya untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji.

Terdapat 15 pusat perubatan di Mekah dan tempat-tempat Suci berdekatan, dikendalikan oleh lebih 30,000 ahli profesional perubatan terlatih. Sepanjang musim Haji, para doktor menjalankan lebih 2,600 prosedur pembedahan percuma manakala hampir 60,000 jemaah haji menerima rawatan perubatan.

Daripada kalangan rakyat asing yang berkunjung ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah Haji, lebih 1.6 juta individu tiba melalui udara, kebanyakannya melakukan perjalanan melalui Jeddah dan Madinah yang menyediakan terminal khas yang dikhususkan eksklusif untuk mengendalikan jemaah Haji.

Kemudahan ini, dibayar dan dibangunkan oleh Arab Saudi, ialah satu contoh hasil daripada puluhan bilion dolar yang dilaburkan oleh Arab Saudi sejak tahun 1950-an untuk menambah baik dan meningkatkan akses ke Mekah, pemeliharaan Masjidil Haram dan pengalaman ibadah Haji itu sendiri.

Sebagaimana biasa, tumpuan utama Haji ialah bandar khemah yang luas di Mina, yang mana jemaah haji menginap di khemah berhawa dingin yang dibina daripada bahan-bahan rencat api. Di bandar khemah ini, para jemaah haji dikumpulkan mengikut warganegara.

Pastinya, melaksanakan kewajipan yang amat besar seperti ibadah Haji kadang kala boleh menjadi suatu yang membingungkan dan mengelirukan buat jemaah haji, dan atas sebab inilah tahun 2017 menandakan tahun kedua berturut-turut jemaah haji diberikan gelang pengenalan elektronik individu.

Setiap gelang mengandungi maklumat peribadi jemaah haji dan sebarang keperluan perubatan khas yang mungkin diperlukan oleh mereka. Peranti ini, yang kalis air dan mengandungi data GPS, turut digunakan untuk menyediakan maklumat terkini kepada jemaah haji berhubung jadual solat dan butiran lain berkaitan Haji.

Gelang tersebut juga boleh digunakan untuk dihubungkan dengan meja bantuan berbilang bahasa yang mana pertanyaan lain yang lebih terperinci boleh ditanya dan dijawab.

Penggunaan gelang tangan ini ditambah dengan maklumat terkini tentang Haji yang dihantar secara berkala oleh penganjur Saudi kepada peranti mudah alih jemaah haji. Semua maklumat turut dikemas kini dalam dua laman sesawang khusus untuk Haji 2017: SaudiWelcomesTheWorld.org dan Hajj2017.org.

Senarai berikut merupakan contoh wakil bagi sumber yang dikerahkan oleh Pihak Berkuasa Saudi untuk memastikan keselamatan dan kelancaran musim Haji:

  • 51,700 anggota kakitangan mewakili lebih 20 entiti kerajaan bertugas sepanjang masa
  • 14,000 anggota kakitangan daripada Lembaga Pembangunan Wilayah Mekah memudahkan pergerakan pejalan kaki di tempat-tempat suci serta mengendalikan dan mengekalkan 'metro Haji'
  • 6,300 anggota kakitangan daripada Majlis Tertinggi Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyediakan air Zamzam sejuk untuk jemaah haji di tempat-tempat solat
  • 4,480 anggota kakitangan menyediakan perkhidmatan perbandaran untuk jemaah haji, rakyat dan penduduk di Mekah dan tempat-tempat Suci
  • 4,470 anggota kakitangan daripada Jabatan Am Pasport untuk menyediakan dan melengkapkan tempat masuk bagi menerima jemaah haji
  • 3,706 pengakap menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pandu arah untuk jemaah haji yang sesat
  • 2,935 sukarelawan di bawah Kementerian Haji daripada warganegara dan latar belakang berbeza
  • 2,280 anggota kakitangan Pertahanan Awam untuk memadam kebakaran dan operasi menyelamat kecemasan, memantau langkah-langkah keselamatan serta menyumbang kepada pemindahan perubatan
  • 1,650 ahli profesional media menyediakan perkhidmatan media dan liputan langsung untuk lebih 104 saluran TV dan 19 stesen radio
  • 1,500 juruteknik
  • 1,307 anggota kakitangan dan juruteknik daripada National Water Company
  • 279 anggota kakitangan daripada Lembaga Makanan & Ubatan Saudi bagi menjamin keselamatan makanan
  • 240 pemeriksa daripada Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial untuk memeriksa pihak berkuasa
  • 130 meja bantuan dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan bagi menjawab persoalan jemaah haji dalam semua bahasa
  • 67 pusat Pertahanan Awam di Mekah, Madinah dan tempat-tempat Suci

Semangat Ibadah Haji 

Ibadah Haji, pastinya adalah lebih daripada sekadar nombor; setiap jemaah haji mempunyai pengalaman peribadi tersendiri yang mendalam. Jemaah haji turut mempunyai perspektif unik mereka sendiri bagi menunaikan kewajipan agama ini.

Salah seorang jemaah haji paling tua ialah Ibu Mariah Marghani Muhammad yang berusia 104 tahun, dari Indonesia, yang tiba di Jeddah pada 26 Ogos dan seminggu kemudian berkata di Mekah bahawa perjalanan ibadah Haji beliau merupakan satu "pengalaman yang tidak akan dilupakan".

Seorang lagi jemaah haji Indonesia, Mochammad Kahmim Setiawan, berjalan kaki sejauh 9,000 km dalam satu "pengembaraan rohaniah" selama setahun sebelum beliau tiba untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini.

Ini hanyalah antara ribuan kisah peribadi yang menggambarkan kepentingan ibadah Haji kepada umat Islam di seluruh dunia.

Semangat menunaikan ibadah Haji ini mungkin paling baik digambarkan oleh ulama kanan Arab Saudi Sheikh Saad Al Shathri dalam satu khutbah yang disampaikan pada 31 Ogos di Gunung Arafah, yang menyatakan bahawa salah satu niat utama menunaikan ibadah Haji adalah "untuk memupuk sifat suka membuat kebaikan dalam hati umatnya. Ini bukanlah tempat untuk melaungkan slogan partisan atau gerakan mazhab."

Tatkala jemaah haji mula kembali ke negara-negara asal mereka, Arab Saudi telahpun mula merancang untuk ibadah Haji tahun hadapan. Usaha mengelolakan dan menganjurkan perhimpunan tahunan terbesar dunia ini tidak akan berhenti.

Maklumat Perhubungan Media 

Pusat Komunikasi Antarabangsa (CIC): Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi, Telefon: +966- 53-839-3535, Emel: cic@moci.gov.sa, Twitter: @CICSaudi

Sumber: Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi

Source: Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi
Keywords: Travel Religion