omniture

Ascensia Diabetes Care Lancar Pertandingan Inovasi Global Cari Penyelesaian Digital Bantu Tangani Epidemik Diabetes Jenis 2

Ascensia Diabetes Care
2017-09-14 18:35 689

LISBON, Portugal, 14 September 2017 /PRNewswire/ -- Hari ini, sempena Mesyuarat Tahunan Persatuan Kajian Diabetes Eropah (EASD) kali ke-53, Ascensia Diabetes Care mengumumkan pelancaran Cabaran Ascensia Diabetes, satu pertandingan inovasi peringkat global yang mencari penyelesaian digital inovatif untuk menyokong pengurusan diabetes dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka yang menghidap diabetes jenis 2. Cabaran ini bertujuan untuk mencari cara baharu bagi membantu menangani pengurusan epidemik sejagat bagi diabetes jenis 2 dengan mencari penyelesaian yang belum ditemui daripada para penginovasi diabetes. Finalis, naib juara dan pemenang, kesemuanya akan menerima hadiah wang tunai bagi menyokong pembangunan idea-idea mereka yang selanjutnya dengan jumlah hadiah wang tunai bernilai EUR200,000.

Menerusi cabaran ini, Ascensia bermatlamat untuk menyokong syarikat-syarikat yang sedang mengusahakan langkah penting seterusnya untuk mara ke hadapan dalam penyelesaian digital yang dapat memudahkan pengurusan diabetes jenis 2 dengan lebih baik selain membantu meringankan beban yang ditanggung oleh individu, sistem penjagaan kesihatan dan juga masyarakat. Meskipun penyelesaian dan terapi dalam bidang ini terus meningkat saban tahun, banyak teknologi baru muncul yang sedang dibangunkan pada masa kini memerlukan pelaburan selanjutnya bagi memastikan ia dapat memainkan peranan penting dalam usaha membantu para pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 agar dapat mengurus diri sendiri dengan lebih baik dalam semua aspek keadaan mereka.

"Di Ascensia, kami berasa teruja dapat melancarkan cabaran ini, memandangkan kami ingin menggalakkan usaha inovasi dalam bidang kami dan memikirkan semula sejauh mana teknologi digital dapat membantu pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 menjalani kehidupan harian mereka," kata Michael Kloss, Ketua Pegawai Eksekutif Ascensia Diabetes Care. "Cabaran ini menonjolkan pendekatan moden bagi mencari penyelesaian inovatif untuk pesakit yang menghidap diabetes, berserta penyelidikan & pembangunan (R&D) kami sendiri. Cabaran ini juga tidak dapat menyelesaikan sendiri epidemik diabetes ini, namun ia merupakan langkah kritikal dalam usaha membangunkan penyelesaian diabetes baharu. Ia bertujuan untuk mencari, menyokong dan memupuk idea-idea daripada syarikat-syarikat baharu yang berpotensi untuk merevolusikan pengurusan diabetes. Kami berharap cabaran ini akan mencetuskan idea-idea baharu daripada sumber-sumber yang belum ditemui, dan menerusi sokongan daripada Ascensia kami ingin membantu membawakan idea-idea tersebut kepada populasi pesakit dunia."

Pertandingan ini mencari penyertaan daripada Eropah, benua Amerika dan Asia Pasifik dan tarikh penyertaan bermula mulai 1 Oktober 2017 untuk Eropah manakala 6 November 2017 untuk Asia Pasifik dan benua Amerika. Semua penyertaan boleh dihantar melalui portal dalam talian di ascensiadiabeteschallenge.com.

Panel hakim, melibatkan pakar-pakar bebas daripada bidang diabetes dan kesihatan digital dari serata dunia, selain ahli-ahli pasukan Ascensia Medical, R&D dan Komersial, akan menilai penyertaan dan menentukan finalis serta pemenang. Dr. William Polonsky, ahli psikologi klinikal, Dr. Masood Nazir, pengamal umum dengan minat khusus terhadap diabetes dan kesihatan digital, serta Robin Swindell, penulis blog diabetes jenis 2, telah disahkan sebagai tiga hakim pertama, manakala hakim-hakim tambahan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dr. William Polonsky, Presiden dan Pengasas Bersama Behavioral Diabetes Institute, San Diego, AS, menjelaskan, "Intervensi tingkah laku merupakan kunci untuk meningkatkan pengurusan kendiri bagi diabetes jenis 2, dan penyelesaian digital amat diperlukan sebagai cara untuk melibatkan pesakit dalam tempoh jangka panjang dan mendayakan perubahan kelakuan yang berterusan. Malangnya, penyelesaian digital masa kini masih belum dapat menangani sepenuhnya keperluan pesakit atau menyokong pengurusan kendiri dengan berkesan serta perubahan kelakuan untuk tempoh jangka panjang. Saya berasa teruja dapat menjadi sebahagian daripada Cabaran Ascensia Diabetes untuk mencuba dan mencari inovasi seterusnya demi meringankan beban pesakit diabetes jenis 2."

Robin Swindell, seorang individu yang menghidap diabetes jenis 2 dan penulis blog yang aktif dari UK berkata, "Sama seperti kebanyakan pesakit yang menghidap diabetes jenis 2, saya hanya berjumpa ahli profesional penjagaan kesihatan untuk beberapa jam setahun, yang paling lama. Baki waktu yang lain, kami bergantung pada pengurusan kendiri. Kami perlu mencari penyelesaian digital inovatif yang dapat menyokong pengurusan kendiri dengan lebih baik untuk kami. Penyelesaian ini perlulah mampu diperibadikan dan sesuai dengan kehidupan mereka. Mereka juga harus menyediakan data kuantitatif yang dapat membantu kami memahami dengan lebih baik dan mengurus keadaan kami selain memberikan motivasi. Penyelesaian digital mampu menangani keperluan ini. Saya berbesar hati dapat terlibat dalam cabaran ini dan berharap ia dapat menemui inovasi baharu yang dapat memberi impak sebenar buat saya dan juga pesakit-pesakit lain."

Ascensia bekerjasama dengan yet2, sebuah syarikat perkhidmatan inovasi terbuka, bagi melancarkan cabaran global ini. yet2 akan mengurus proses penyerahan dan semakan awal penyertaan. Mereka akan memanfaatkan pengalaman mereka dalam cabaran inovasi terbuka untuk memudahkan semakan penyertaan, mengurus pemeriksaan harta intelek dan menyokong proses penghakiman.

Michael Kloss menambah, "Sebagai sebuah syarikat yang menumpu pada diabetes, kami ingin mendorong agenda dalam inovasi diabetes, menunjukkan sokongan berterusan kami terhadap komuniti diabetes sebagai rakan kongsi dipercayai serta memperlihatkan komitmen kami terhadap penyelidikan berterusan, inovasi dan pembangunan penyelesaian baharu."

Untuk maklumat lanjut tentang Ascensia Diabetes Care, layari: http://www.ascensia.com.
Untuk maklumat lanjut tentang yet2, sila layari: http://www.yet2.com.

Maklumat Perhubungan Media:
Joseph Delahunty
Naib Presiden, Ketua Bahagian Komunikasi Global
Ascensia Diabetes Care
E-mel: joseph.delahunty@ascensia.com
No. Telefon: +41-79-422-9286

Sumber: Ascensia Diabetes Care

Source: Ascensia Diabetes Care
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Corporate Social Responsibility