omniture

Huawei jalin kerjasama dengan Dubai Airports Bangunkan Lapangan Terbang Pintar

Sang Gergasi sepanjang Jalan Sutera Maritim
Huawei
2017-10-12 19:52 1140

SHENZHEN, China, 12 Oktober 2017 /PRNewswire/ -- Sebuah kapal kargo yang dimuatkan dengan komoditi keluaran China berlepas dari Shenzhen ke Dubai, sebuah bandar yang terletak di bahagian pantai tenggara Teluk Arab dan merupakan hentian penting di Jalan Sutera Maritim Abad ke-21. Barangan komoditi yang dibawa kebanyakannya terdiri daripada produk-produk sains teknologi termasuk komputer dan telefon bimbit, dan bukannya sutera, barangan tembikar dan teh yang dieksport ke negara-negara dan wilayah-wilayah sepanjang Jalan Sutera purba sejak beribu-ribu tahun lalu. Terdapat juga beberapa kontena dengan logo Huawei yang dimuatkan di dalam kapal. Kontena-kontena ini membawa pusat data modular pasang siap Huawei di dalamnya. Setelah belayar sepanjang tempoh sebulan setengah lamanya, kapal ini tiba di Pelabuhan Jebel Ali di Dubai, pelabuhan kontena ketujuh terbesar di dunia. Pada awal pagi, kargo dan kontena dipunggah dan dihantar ke destinasi terakhir – tapak pembinaan pusat data berhampiran Terminal 2 Dubai International (DXB). Juruteknik dan jurutera daripada Dubai Airports, Huawei dan rakan kongsi Huawei, ALEC, telah lama menantikan pusat data modular pasang siap dan telah membuat persiapan sejak empat bulan lalu.

Hakikatnya, ini merupakan projek pusat data yang amat mencabar. Beberapa tahun kebelakangan ini, dipacu oleh pertumbuhan perniagaan yang pesat, usaha ke arah memberikan pengalaman penumpang yang lebih baik, selain peningkatan tanggungjawab sosial melibatkan kemesraan eko dan juga pemuliharaan tenaga, pusat-pusat data menjadi bahagian penting dalam transformasi digital Dubai Airports. Dubai Airports mempunyai beberapa pusat data, dengan peranti-peranti disediakan oleh banyak vendor, pengurusan yang rumit, dan kapasiti penyejukan yang terhad. Dengan itu, sebuah pusat data baharu perlu dibangunkan untuk terus memperluas perkhidmatan lapangan terbang dan menggabungkan perkhidmatan pusat-pusat data legasi. Pusat data baharu ini direka agar mempunyai 100 kabinet perkhidmatan, sehingga 10 kW/rak dalam satu cabinet. Bagi menjamin keandalan yang tinggi, Dubai Airports dijangka akan membangunkan Kompleks Pusat Data Modular (MDCC) pertama dunia dalam tempoh setahun yang akan diperakui oleh Uptime Institute bagi pensijilan Tahap III untuk reka bentuk dan juga pembinaan. Keperluan ketumpatan kuasa 10 kW/rak, berserta suhu yang amat tinggi di Dubai, menimbulkan cabaran lebih hebat terhadap pelesapan haba; walau bagaimanapun, bangunan yang sesuai untuk menempatkan MDCC sebesar itu masih belum disediakan. Setelah mempertimbangkan dengan teliti berhubung pelaksanaan secara pantas, peluasan kapasiti yang mudah, pemuliharaan tenaga dan ciri-ciri penting yang lain, Dubai Airports memilih penyelesaian pusat data modular pasang siap daripada Huawei.

Pusat Data Modular Pasang Siap

Penyelesaian pusat data modular pasang siap FusionModule1000B daripada Huawei diguna pakai bagi membina pusat data baharu untuk Dubai Airports. Penyelesaian ini terdiri daripada 23 modul pasang siap bersaiz kontena, dilengkapi dengan penyaman udara dengan ketepatan mengikut baris dan produk-produk UPS modular yang tinggi kecekapan. Jumlah kuasa adalah sehingga 1 MW. Bagi mendapatkan pensijilan penuh Tahap III daripada Uptime Institute bagi kedua-dua aspek reka bentuk dan pembinaan, pusat data ini perlu memastikan ketersediaan sebanyak 99.98% dan masa henti tahunan dalam lingkungan 1.6 jam. Projek ini dijangka siap dalam masa 10 bulan, memenuhi kehendak Dubai Airports bagi penyerahan pantas serta menangani masalah kekurangan ruang untuk membangunkan pusat data tradisional. Penyelesaian pusat data modular ini menjimatkan hampir separuh masa dan kos pembinaan yang diperlukan untuk membangunkan kemudahan tradisional.

FusionModule1000B Huawei mengguna pakai pelbagai teknologi pusat data canggih bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Penyaman udara dengan frekuensi berubah-ubah dan mengikut baris, UPS modular yang tinggi kecekapan serta pembendungan lorong dapat mengurangkan kadar keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) yang dihasilkan kepada kurang daripada 1.6, iaitu 30% lebih rendah berbanding pusat data tradisional. Reka bentuk ini juga lebih sesuai dengan cuaca panas terik di Timur Tengah. Selain itu, Huawei melengkapi pusat data baharu ini dengan sistem pengurusan pintar NetEco bagi memudahkan O&M dan mengurangkan kos pengurusan. Saiz modul pasang siap ini turut mematuhi piawaian ISO. Oleh yang demikian, kapasitinya boleh diperluas dengan mudah dengan cara menambah modul yang diperlukan. Berbanding pusat-pusat data tradisional, hal ini dapat melaksanakan peluasan yang anjal dan menjimatkan kos kejuruteraan serta kawasan lantai.

Program DXB Plus

Dubai Airports telah menyusun rancangan dan persediaan rapi untuk membangunkan pusat data berskala besar. Sejak tahun 1960, DXB berkembang menjadi lapangan terbang nombor satu dunia bagi trafik penumpang antarabangsa dan salah satu hab pemindahan logistik yang terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, dengan Ekspo Dubai 2020 yang bakal diadakan dalam masa terdekat, lapangan terbang ini berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat untuk melaksanakan operasi yang lebih cekap dan lancar. Trafik penumpang tahunan bagi lapangan terbang ini dianggarkan meningkat daripada 83.6 juta pada tahun 2016 kepada 118 juta pada tahun 2025. Bagi memenuhi peningkatan jangkaan pelanggan dan menampung kadar pertumbuhan trafik yang berterusan, Dubai Airports melancarkan Program DXB Plus yang bertujuan untuk memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi meningkatkan kapasiti hab.

Peter R Moore, Pengarah Pembangunan (Reka Bentuk) di Dubai Airports mengulas: "Dengan hanya sedikit ruang yang diperlukan untuk membina infrastruktur utama selanjutnya di lapangan terbang, Dubai Airports berganding bahu dengan pihak berkepentingan utama untuk menghasilkan inovasi produk dan penambahbaikan operasi yang akan melaksanakan impian sektor ini dan memastikan sumbangan berterusan kepada ekonomi Dubai. Tumpuan DXB Plus adalah untuk menggabungkan usaha sektor bagi memenuhi kehendak syarikat penerbangan dan menjamin pengalaman pelanggan bertaraf dunia dari 'awan hingga ke bahu jalan ' – yang penting bagi mewujudkan pertumbuhan sektor tanpa kekangan."

MDCC di DXB memperlihatkan hasil ciptaan inovasi yang dihasilkan bersama-sama antara Dubai Airports, Huawei dan pihak pengusaha lain dalam ekosistem ini. MDCC memenuhi keperluan infrastruktur maklumat yang ditentukan dalam DXB Plus, membantu Dubai Airports mencapai operasi yang stabil dan cekap, selain perniagaan digital dan berasaskan awan sepanjang tempoh sepuluh tahun akan datang.

Pengalaman Pelanggan Paling Utama

Salah satu lapangan terbang paling terkenal di dunia menyediakan bukan sahaja infrastruktur perkakasan yang dinaik taraf, tetapi juga pengalaman pelanggan yang optimum. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjalankan satu tinjauan di seluruh dunia pada tahun 2016 bagi menyediakan beberapa rujukan dan cadangan untuk lapangan terbang. Keputusan tinjauan tersebut menunjukkan 64% responden memilih menaiki pesawat menggunakan pas masuk elektronik melalui telefon bimbit mereka, 39% memilih tag beg elektronik manakala 61% berharap dapat mengesan bagasi mereka sepanjang perjalanan, sama seperti yang dibuat oleh syarikat-syarikat kurier yang membolehkan mereka mengesan bungkusan. Selain itu, 47% responden berharap masa penurunan bagasi dapat dihadkan kepada satu hingga tiga minit, manakala 52% berkata tempoh beratur yang sesuai di pusat imigresen adalah antara 5 hingga 10 minit.

Dubai Airports sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan. Syarikat ini berusaha mengoptimumkan pengalaman pelanggan menerusi pendekatan tiga serampang: produk, operasi dan infrastruktur lapangan terbang. Dari segi produk, berdasarkan pengetahuan mendalam tentang trend masa depan, tingkah laku dan jangkaan pelanggan, Dubai Airports menggabungkan produk dan perkhidmatan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang tekal serta menerajui inovasi bagi produk dan perkhidmatan masa depan yang dapat meningkatkan hospitaliti dan hubungan bermakna. Bagi operasi pula, Dubai Airports bermatlamat untuk meningkatkan kebolehramalan operasi lapangan terbang, memastikan penggunaan aset-aset sedia ada dengan berkesan kos, menyediakan produk yang andal, berdaya tahan dan diselaraskan pada setiap titik sentuh pelanggan, selain menjamin perjalanan tanpa tekanan untuk pelbagai kelompok pelanggan. Akhir sekali, Dubai Airports akan melaksanakan reka bentuk dan pembangunan infrastruktur serta ekosistem yang bertumpu pelanggan, menyediakan kapasiti yang mencukupi bagi menampung syarikat penerbangan yang mampan dan juga pertumbuhan pengendali, di samping mengekalkan integriti infrastruktur sedia ada.

Dubai Airports terus mengoptimumkan pengalaman pelanggan secara proaktif dalam pelbagai aspek, termasuk khidmat pelanggan dan pemprosesan, pemprosesan bagasi dan kargo, operasi, ruang udara dan landasan, reruai dan infrastruktur. Usaha bersungguh-sungguh telah dilaksanakan bagi menyediakan Wi-Fi percuma, Pintu Pagar Pintar, pengumpulan dan perkongsian data, Aplikasi lapangan terbang, ramalan keperluan, pengurusan dan penyelenggaraan aset, serta pengurusan kadar ketepatan penerbangan, antara lain.

Pintu Pagar Pintar digunakan di DXB bagi mempercepatkan prosedur kawalan pasport, memudahkan proses keluar masuk yang lancar dan pantas di lapangan terbang. Penumpang yang memegang kad pengenalan Emiriah atau pasport biometrik boleh melangkau barisan yang panjang dan menyiapkan proses imigresen dalam masa beberapa saat. Perkhidmatan Pintu Pagar Pintar dapat menjimatkan masa penumpang dan membantu lapangan terbang mengekalkan aliran penumpang yang lebih lancar.

ICT Baharu Bangunkan Lapangan Terbang Pintar

Menurut Societe Internationale de Telecommunications Aeronautiques (SITA), teknologi-teknologi canggih diperlukan untuk mengoptimumkan sistem-sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), dan dengan itu membangunkan lapangan terbang pintar yang bersifat dinamik, cekap, kolaboratif dan inovatif bagi menampung keperluan masa depan. Bagaimana kita dapat menggunakan teknologi-teknologi ICT untuk menyokong pembinaan lapangan terbang pintar? Sebagai contoh, pengkomputeran awan dan Data Besar menjadikan lapangan terbang lebih pintar. Teknologi-teknologi rangkaian termaju pula memastikan sambungan merata. Teknologi LTE dapat membantu menyediakan liputan rangkaian dalam seluruh ruang udara lapangan terbang. Internet Komunikasi Benda (IoT) menyokong peranti saling hubung dan peranti pintar. Menerusi teknologi-teknologi ICT baharu ini, semua perniagaan akan menjadi digital tatkala tahap perkhidmatan meningkat. Kesemua pencapaian ini tidak dapat dipisahkan daripada penyimpanan data, penghantaran dan pengkomputeran. Dalam erti kata yang lain, semua ini tidak akan berlaku tanpa pusat data.

Setelah dilancarkan secara rasmi, MDCC yang dibangunkan oleh Huawei di DXB akan menjalankan perkhidmatan yang mencakupi hampir setiap aspek lapangan terbang, termasuk maklumat penerbangan dan operasi lapangan terbang, pengangkutan penumpang dan perkhidmatan bagasi, fungsi ketersambungan dan perkhidmatan Internet, pengawasan video, operasi perniagaan perusahaan, dan penyelenggaraan. Menampilkan ciri berdaya tahan, pelaksanaan pantas, keandalan, pemuliharaan tenaga, penyelenggaraan mudah dan keberkesanan kos, MDCC menyediakan sokongan hebat untuk melaksanakan operasi perniagaan yang tinggi kecekapan di Dubai Airports.

Ketua Pegawai Maklumat di Dubai Airports berkata, "Teknologi merupakan kunci bagi meningkatkan kebolehan kami untuk meningkat maju, berinovasi dan seterusnya meningkatkan pengalaman pelanggan. Dalam masa yang sama, kami akan menambah baik tahap keandalan sistem dalam kedua-dua lapangan terbang dan mengurangkan kos operasi."

Dengan semua usaha ini, Dubai Airports akan memberikan pengalaman pelanggan yang optimum dan tahap mobiliti tertinggi, kelestarian dan peluang-peluang untuk pengunjung dari seluruh dunia berkunjung ke Ekspo Dubai 2020, dan menunjukkan kepada mereka segala yang dapat ditawarkan oleh lapangan terbang pintar yang terbaik di dunia.

Source: Huawei
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Transportation Joint ventures