Kritik Keingkaran Negara Terhadap Bon Tanah Berdaulat, Pelaporan Kewangan yang Kurang Mantap, Kedaulatan Undang-undang yang Lemah, dan Pematuhan Terhadap "Nilai Teras" OECD
WASHINGTON, 4 Disember 2017 /PRNewswire/ -- Satu laporan yang menyerang pencalonan Peru sebagai ahli dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) disiarkan minggu ini, yang menyatakan tindakan negara tersebut berhubung keingkaran selektif yang berlarutan terhadap bon tanah berdaulat harus menghalangnya daripada menyertai persatuan eksklusif yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin ekonomi dunia itu.
Laporan sepanjang 37 halaman, ditulis oleh mantan pakar ekonomi terkemuka dalam OECD, menyimpulkan bahawa "Peru tidak seharusnya dianggap sebagai calon yang layak bagi keahlian penuh dalam OECD" dan menyebutkan pelbagai alasan, termasuk:
"Tindakan Peru umumnya memperlihatkan kurangnya kesediaan Peru berhubung kebolehannya untuk mengambil bahagian dalam proses penyertaan OECD, khususnya kebolehannya untuk menggalakkan prinsip-prinsip utama OECD," menurut laporan tersebut. "Di sebalik kemajuan ekonomi Peru, negara tersebut tidak memenuhi beberapa keperluan penting bagi keahlian dalam OECD, disebabkan oleh obligasi hutang berlarutan yang berulangkali gagal untuk ditangani atau didedahkan olehnya."
Laporan tersebut ditulis oleh Dr. Hans J. Blommestein, yang merupakan ketua Pengurusan Hutang Awam dalam OECD dari tahun 2001 hingga 2016 dan menyelia Bahagian Hal Ehwal Kewangan pertubuhan tersebut dari tahun 1998 hingga 2000.
Laporan tersebut menumpu pada pengambilalihan tanah seluas 23 juta ekar oleh Peru daripada rakyatnya antara tahun 1969 dan 1979 serta Bon Reformasi Agraria yang memaksa rakyat untuk menerimanya sebagai pertukaran tanah mereka. Dalam banyak situasi, bon-bon tersebut tidak pernah dibayar balik, dan sebanyak 20% bon tertunggak kini dipegang oleh pihak pelabur antarabangsa, termasuk kira-kira 200 dana pencen A.S.
Laporan tersebut diarahkan oleh Pemegang Bon Peru-Amerika untuk Keadilan (PABJ) dan Persatuan Pemegang Bon Hutang Agraria (ABDA). Kedua-duanya dan enam lagi kumpulan pemegang bon yang lain menghantar laporan tersebut serta surat iringan kepada Setiausaha Agung OECD Ángel Gurría. Kumpulan-kumpulan pemegang bon tersebut bersama-sama mewakili ribuan pemegang bon Peru dan Peru-Amerika. Salinan laporan dan surat berkenaan dihantar semalam kepada lebih 60 pegawai OECD, duta-duta OECD di Paris, Duta negara-anggota OECD di Peru dan Menteri Kewangan Peru Claudia Cooper Fort.
"Kami amat berharap Peru akan mengeluarkan penafian menyeluruh dan cuba melabelkan isu ini sebagai 'pertikaian penilaian' dengan beberapa pemegang bon tertentu, berbanding keingkaran bon berterusan yang menjejaskan ribuan pemegang bon (dibantu oleh perbuatan jenayah oleh peringkat tertinggi dalam badan kehakiman dan cawangan eksekutif) selain cubaan sengaja dan bermatlamat untuk tidak melaporkan hutang Bon Reformasi Agraria," menurut surat pemegang bon kepada Gurría. Ia menggesa beliau untuk menjalankan "analisis yang saksama dan objektif" berhubung isu berkenaan dan juga kajian penuh terhadap laporan tersebut, dengan menambah "Peru gagal memenuhi piawaian ketelusan OECD dan sebaliknya melakukan segala yang mungkin untuk menyembunyikan isu ini daripada pengetahuan umum."
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Ramon Remolina
Persatuan Pemegang Bon Hutang Agraria
Atau
Pemegang Bon Peru-Amerika untuk Keadilan
info@perubonds.org