omniture

UNHCR dan Alghanim Industries Lancar Inisiatif Pendidikan Pelarian Syria Serantau

Alghanim Industries
2018-02-01 14:58 751

BANDAR KUWAIT, 1 Februari 2018 /PRNewswire/ --

  • Inisiatif baharu menumpu pada pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan
  • Alghanim Industries bakal sumbang $1.5 juta, dan pimpin usaha kumpul tambahan $8.5 juta
  • Sasar capai 100,000 pelarian belia dan kanak-kanak menjelang 2020

Alghanim Industries, salah sebuah syarikat milik persendirian yang terbesar di rantau MENA, hari ini mengumumkan pelancaran inisiatif baharunya, dikenali sebagai Inisiatif Pemimpin Dermawan MENA untuk Pelarian Belia dan Kanak-kanak. (The MENA Philanthropy Leaders Initiative for Refugee Youth and Children). Inisiatif ini bertujuan untuk mengumpul sekurang-kurangnya $10 juta dalam dana sektor swasta bagi membantu mendidik dan melatih pelarian Syria di rantau MENA.

Inisiatif ini telah dipersetujui secara rasminya semasa Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, antara Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Filippo Grandi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Alghanim Industries, Omar K. Alghanim. Pengumuman ini  meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) 2017 yang ditandatangani antara Alghanim Industries dan UNHCR. MoU tersebut menyasarkan untuk membiayai dan menyokong beberapa program pendidikan dan kesedaran sosial, termasuk kemahiran berbahasa dan kumpulan sokongan kerja rumah, bagi membantu pendidikan kanak-kanak dan belia Syria serta mempersiapkan mereka untuk menjadi ahli-ahli penyumbang kepada negara-negara tuan rumah atau apabila mereka kembali ke Syria.

Sasaran pembiayaan awal ialah $10 juta, dengan komitmen serta merta sebanyak $1.5 juta daripada Alghanim Industries, yang akan diikuti oleh usaha-usaha untuk menyokong komitmen sektor swasta tambahan daripada komuniti perniagaan di rantau MENA. Inisiatif ini akan diterajui oleh Omar K. Alghanim, yang akan menyelaraskan usaha-usaha untuk mengumpul dana-dana yang amat diperlukan daripada pemimpin-pemimpin syarikat serantau dan juga para dermawan yang mempunyai visi yang sama untuk menghalang kehilangan generasi.

Sasaran pembiayaan sebanyak $10 juta akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti termasuk pendidikan vokasional dan akademik, latihan kemahiran dan sokongan untuk pelarian dan golongan muda daripada orang pelarian dalaman. Matlamat inisiatif ini adalah untuk mendekati kira-kira 100,000 pelarian muda dan menawarkan mereka intervensi yang akan membantu mereka menjadi pembina kemajuan ekonomi dan sosial apabila mereka kembali ke negara asal mereka.

Ketika mengumumkan inisiatif ini, Omar K. Alghanim berkata: "Pemimpin-pemimpin daripada sektor swasta di rantau kami harus memainkan peranan untuk membantu membangunkan semula ekonomi dan masyarakat yang terjejas akibat krisis pelarian. Kita perlu menumpu perhatian bagi memastikan pelarian kanak-kanak dan belia mendapat akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang diperlukan. Usaha ini penting sekiranya mereka ingin menjadi pemikir kritis yang konstruktif dan individu yang dapat menyelesaikan masalah besar - generasi pemimpin perniagaan, sosial dan politik akan datang."

Beliau meneruskan dengan berkata, "Alghanim Industries memegang rekod prestasi yang lama dalam menyediakan golongan lain dengan sokongan yang mereka perlukan untuk menjadi usahawan dan ini memperlihatkan peluang untuk meluaskan usaha-usaha kami terhadap pelarian yang berdepan kepayahan, dan memberi harapan kepada negara-negara yang telah mengalami tragedi konflik dan perpindahan secara terpaksa. Selain menyumbang sebanyak $1.5 juta bagi memulakan inisiatif, saya akan menyelaraskan usaha-usaha untuk mengumpul sekurang-kurangnya $8.5 juta daripada sumber-sumber kebajikan yang lain. Kemudian, kami akan bekerjasama dengan UNHCR bagi memastikan dana tersebut digunakan bagi memberi kesan maksimum."

Memuji inisiatif ini, Filippo Grandi berkata: "Inisiatif penting oleh Omar Alghanim ini sejajar dengan hala tuju strategik UNHCR ke arah pendekatan masyarakat secara menyeluruh; individu dan syarikat berganding bahu untuk memastikan mereka yang dipaksa melarikan diri berupaya membina semula kehidupan mereka dan mengawal masa depan mereka. UNHCR mengalu-alukan komitmen yang bermurah hati ini, yang menekankan kepentingan komuniti perniagaan MENA dalam menyokong komuniti pelarian di rantau ini."

Omar K. Alghanim menyatakan komitmen beliau untuk memperkasa mereka yang kurang bernasib baik, menyokong pendidikan dan menggalakkan keusahawanan, yang membentuk tonggak Tanggungjawab Sosial Korporat Alghanim Industries. Selain perkongsiannya bersama UNHCR, syarikat merupakan penyokong terbesar bagi INJAZ-Kuwait, dan berkolaborasi dengan AMIDEAST untuk menyediakan sokongan bahasa kepada kanak-kanak di rumah anak yatim Children's Home di Kuwait.

Latar Belakang Alghanim Industries  

Alghanim Industries ialah salah sebuah syarikat milik persendirian yang paling lama bertapak dan terbesar di rantau MENA. Ditubuhkan sejak lebih seabad lalu di Kuwait, hari ini, syarikat menggaji lebih 15,000 kakitangan dalam 30 perniagaan di 40 negara di Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah Timur dan Asia.

Alghanim Industries ialah peneraju pasaran dalam hampir setiap sektor utama operasinya, termasuk: kejuruteraan, peruncitan, jualan dan perkhidmatan automotif, penebatan dan struktur bangunan keluli prarekayasa, logistik dan pergudangan, barangan pengguna yang cepat habis, makanan & minuman, minyak & gas, automasi pejabat, pengiklanan, insurans, kredit pengguna dan pelancongan. Syarikat bergiat aktif meluaskan portfolio jenamanya, dengan menumpu pada rakan-rakan kongsi global tersohor. Antaranya, Avis, British Airways, British Petroleum, Cathay Pacific, Daewoo, Honda, Saint-Gobain dan Toshiba. Di samping itu, Alghanim Industries menjalankan beberapa perniagaan serantau yang berjaya, termasuk X-cite (barangan elektronik pengguna) dan Safat Home (perabot gaya hidup dan kediaman). Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Alghanim Industries, sila layari http://www.alghanim.com.

Sumber: Alghanim Industries

Source: Alghanim Industries
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Education Utilities Corporate Social Responsibility