omniture

Aeroflot bakal Tandatangani Pesanan Tetap Dengan Rostec untuk 50 Pesawat MC-21 Buatan Rusia Terkini

Aeroflot
2018-02-02 19:19 535

MOSCOW, 2 Februari 2018 /PRNewswire/ -- Aeroflot bakal menjadi pelanggan terbesar bagi pesawat jarak sederhana buatan Rusia yang terkini, MC-21. Kontrak penting untuk 50 pesawat penumpang canggih itu akan ditandatangani hari ini antara Aeroflot dan Rostec.

Di bawah pesanan tetap ini, subsidiari sewaan Rostec, Aviacapital-Service akan menyediakan 50 pesawat MC-21-300 kepada Aeroflot bagi sewaan operasi. Dengan itu, Aeroflot akan menjadi penyewa Rusia terbesar bagi pesawat buatan Rusia yang terkini. Bayaran sewaan dan bekalan untuk tujuan penyelenggaraan berjumlah lebih USD 5 bilion.  

Pesawat akan dikonfigurasikan bagi membolehkan Aeroflot membawa 169 penumpang, dengan 16 tempat duduk kelas perniagaan dan 153 kelas ekonomi. Dalam fasa pertama kontrak, pesawat akan diserahkan bersama enjin-enjin yang dikeluarkan di luar Rusia. Bermula dengan pesawat ke-26, Aeroflot mempunyai pilihan untuk menerima pesawat dengan enjin PD-14 buatan Rusia baharu, yang kini sedang menjalani ujian pensijilan.

Pesawat pertama dijadual untuk diserahkan kepada Aeroflot pada suku pertama tahun 2020, dan pesanan ini dirancang untuk dipenuhi sepenuhnya menjelang tahun 2026. Setiap pesawat akan disewakan selama 12 tahun, dengan pilihan lanjutan dua tahun sewaan, tidak lebih daripada tiga kali lanjutan. Aeroflot merancang untuk mengendalikan pesawat pada laluan domestik dan juga antarabangsa.

Sergey Chemezov, Ketua Pegawai Eksekutif Rostec, berkata:

"Perjanjian ini menekankan bahawa industri penerbangan awam Rusia kini membuat kemunculan semula dan menempa namanya dalam kalangan pengeluar-pengeluar global yang terkemuka. MC-21 memperlihatkan pencapaian penting yang sebenar untuk industri penerbangan. Pesawat ini menggunakan bahan-bahan yang canggih dan sistem-sistem generasi terkini, dicipta oleh syarikat-syarikat Rusia yang tersohor. Elemen-elemen dalam MC-21 yang dihasilkan oleh Rostec termasuk komponen-komponen titanium dan komposit, barangan elektronik dalam pesawat, komponen casis, sistem-sistem lain dan 'jantung' pesawat – enjin PD-14. Kami percaya enjin ini akan dipilih oleh Aeroflot sebagai pusat kuasa utama untuk MC-21."

Vitaly Saveliev, Ketua Pegawai Eksekutif Aeroflot, berkata:

"Penandatanganan pesanan tetap untuk 50 pesawat MC-21 ialah peristiwa penting bukan sahaja untuk kedua-dua syarikat kami, malah untuk negara kami. Pengeluar Rusia telah mencipta pesawat penumpang generasi seterusnya yang pertama, memperlihatkan kemunculan semula Rusia sebagai peneraju global dalam industri penerbangan. Perlu dinyatakan bahawa penandatangan pesanan tetap berkenaan antara Aeroflot dan Rostec bertepatan dengan pencapaian yang tidak kurang pentingnya, iaitu kemunculan Aeroflot dalam segmen elit penerbangan global, sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan yang terbesar di dunia. Dalam konteks geopolitik masa kini, kami percaya kepentingan kewujudan teknologi buatan Rusia yang kompetitif, dan ia menyediakan kualiti tertinggi serta berharga kompetitif. Atas sebab ini, perkongsian kami dengan Rostec, rakan kongsi terbesar kami dan pemegang saham Aeroflot, adalah amat penting."

Pesawat jarak sederhana, berbadan kecil MC-21 dikeluarkan oleh Irkut Corporation (sebahagian daripada United Aircraft Corp., UAC) dengan kerjasama pengeluar-pengeluar Rusia yang terkemuka. Subsidiari-subsidiari Rostec yang terlibat dalam pengeluaran pesawat tersebut ialah VSMPO-AVISMA, United Engine Corporation, Technodinamika, Concern Radio-Electronic Technologies dan RT-Chemcomposite.

Pesawat MC-21 mempunyai kabin ergonomik yang inovatif untuk juruterbang dan keupayaan yang dipertingkat hasil penyelesaian kejuruteraan unik yang dimanfaatkan. Ia merupakan pesawat pertama dalam kategori ini di dunia yang memanfaatkan komposit polimer dalam pembinaan sayap pesawat. Komposit ini menyumbang sebanyak lebih 30% daripada pesawat MC-21, yang meningkatkan beban berguna dengan ketara.

Pesawat MC-21 akan menyediakan penumpang dengan tahap keselesaan baharu hasil fiuslaj paling luas dalam kategori pesawat berbadan kecil (dengan saiz diameter 4.06 meter). Kabin pesawat mempunyai lorong yang diperluas dan ruang simpanan condong-ke hadapan dengan tambahan kapasiti. Pihak pengeluar merancang untuk menyediakan semua pesanan MC-21-300 Aeroflot dengan perkhidmatan Wi-Fi bagi membolehkan penumpang mengakses internet.

Source: Aeroflot
Related Stocks:
RTS:AFLT
Keywords: Airlines/Aviation Passenger Aviation Transportation Travel Contracts